SAYA mulakan dengan dua kisah yang signifikan untuk membuka lembaran tulisan ini. Kisah pertama berlaku apabila saya melangkah masuk ke kampus, kami diwajibkan untuk mengambil kursus kesenian tradisional. Di dalam teater tersebut kami diajar sejarah dan serba sedikit asas mengenai teater Melayu seperti Makyung, wayang kulit, Bangsawan, Awang Batil, Menora, dan lain-lain. Ketika pengajian sedang berlangsung, beberapa nama tokoh telah diketengahkan oleh pensyarah kami, Pak Nik. Satu hari, Pak Nik ada menyebut nama seorang tokoh akademik dalam perwayangan apabila menerangkan perihal wayang kulit. Pada ketika itulah kali pertama saya mendengar nama Amin Sweeney. Nama Sweeney ini seperti disebut sepintas lalu – tidak seperti Patricia Matusky (nama ini disebut sehingga semester dua) dan Mubin Sheppard yang nama mereka ini dan beberapa tokoh lain disebut berulang kali.
Kisah kedua apabila saya hadir ke kuliah Cereka Melayu. Seperti biasa kami diajar teori dan sejarah pada mulanya. Kami diajar bahawa kesusasteraan Melayu mempunyai dua method – sastera lisan dan sastera tulisan. Kemudian kami diajar sejarah dan teori-teori sastera tulisan, tanpa menyentuh sastera lisan. Saya memahami garis panduan kursus tersebut diajarkan mengenai cereka moden dan lazimnya ceraka moden sudah berbentuk tulisan dan hanya sastera klasik sahaja berbentuk lisan. Pada ketika itu saya terdetik dalam hati apakah kira-kira budaya lisan Melayu?
Dengan dua kisah pendek di atas, ia telah bercantum dan kemudian menemui titik temu yang mana saya telah menjumpai seorang tokoh linguistik dari England telah berjasa besar kepada Malaysia mengenai kesusasteraan lisan Melayu.
Kepakaran Prof. Amin Sweeney terletak pada kajiannya mengenai budaya lisan Melayu maka lahirlah dua monograf penting iaitu Authors and Audiens in Traditional Malay Literature (1980) dan Malay Shadow Puppets: The Wayang Siam of Kelantan (1980) yang mana kedua-duanya disatukan dan telah diterjemahkan kepada bahasa Melayu dan diterbitkan kembali oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan tajuk Budaya Lisan Melayu: Konsep dan Amalan.
Sebelum ini saya tidak mengetahui apakah kesusasteraan Melayu dan bagaimanakah ia berfungsi dan bertindak sebagai alat penghibur masyarakat ketika itu. Ya, saya mengetahui kita mempunyai cerita-cerita rakyat (folklore) tetapi ia sekadar sebuah cerita dongeng ataupun cerita pandir.
Dalam buku pertama, Pengarang dan Khalayak Dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional menyatakan fungsi-fungsi dan kearifan lokal yang wujud pada ketika itu yang mana saya tidak pernah mendengarnya di tempat lain. Sweeney ialah sarjana yang membawa idea yang betul-betul kemas dan tulen berdasarkan ketelitiannya terhadap masyarakat setempat.
Kehadiran Sweeney sinis dan tajam menempelak pengkaji-pengkaji Barat di Tanah Melayu ketika itu yang menyatakan bahawa kesusasteraan Melayu sebagai rendah mutunya; lewah; melencong; banyak perkataan atau ayat yang berulang-ulang; dan orang Kelantan sebagai kaum primitif dan malas bercakap dengan betul. Kritikan-kritikan pedas Sweeney kepada sarjana seperti C. C. Brown dan Wilkinson ini telah membuka satu laluan baru di dalam diri saya supaya membaca sesebuah karya dengan kritis dan tidak berpandukan telahan-telahan Barat semata-mata tanpa merujuk kepada kearifan lokal pada ketika itu.
Antara perkara paling menarik yang saya dapat kongsikan di sini ialah perbezaan kesusasteraan tulisan rakyat dan tulisan istana. Sebagai contoh tulisan istana ialah Hikayat Hang Tuah, dan Sejarah Melayu; manakala tulisan rakyat seperti kisah-kisah pandir. Saya mengetahui bagaimana ia ditulis dan beberapa sarjana lain seperti Jan Van der Putten menyatakan telahan yang sama dengan Sweeney berkenaan sastera istana sebenarnya ingin berkhidmat untuk raja pada ketika itu. Perbahasan ini sangat panjang, tetapi apa yang menarik ialah Sweeney membawa sudut pandang dari rakyat biasa, bukannya dari sudut istana dan pembesar. Boleh dikatakan pada ketika itu, tidak wujud istilah ‘khalayak pembaca’ secara literalnya! Jadi dengan itu, mereka tidak dihidangkan dengan Hikayat Hang Tuah atau lainnya, sebaliknya hidangan-hidangan cerita mereka dari turun temurun yang berasal entah dari antah berantah dan ia telah didengari oleh sekalian masyarakat. Sweeney membahaskan panjang lebar mengenai bagaimana kesusasteraan tulisan yang ada pada ketika itu, dibaca dan diperdengarkan kepada khalayak dengan intonasi-intonasi dan gaya tertentu yang mengakibatkan cerita-cerita tersebut berbeza apabila diceritakan kembali kepada pendengar kedua, ketiga, dan seterusnya.
Kajian ini kelihatan lekeh dan membosankan, tetapi dalam buku ini Amin Sweeney banyak menempelak sarjana Barat (dan juga lokal) yang mengambil teori-teori kesusasteraan Barat dan dibandingkan dengan sastera tanah air yang mana perbuatan itu tidak bertepatan dengan keadaan dan struktur masyarakat pada ketika itu.
Beberapa bab selanjutnya yang saya kira perlu diberikan perhatian ialah Sweeney menceritakan bagaimana ia meyakinkan stesen TV pada ketika itu ingin membuat rakaman wayang kulit tetapi tok dalang dan pasukannya tidak mahu melakukan raptai. Kejadian itu dikisahkan di dalam buku ini dan Sweeney menerangkan bahawa mereka tidak perlukan raptai, cukup sekadar mengetahui tema cerita. Bagi saya, itulah tema asas buku ini; bagaimana seorang tok dalang yang mendapat taklimat tiga minit dari stesen TV dan boleh mempersembahkan teater wayang kulit selama tiga jam tanpa apa-apa kesalahan. Skema-skema inilah yang dibahas panjang oleh Amin Sweeney menerangkan bagaimana kesusasteraan lisan ini bergerak dari satu tok dalang kepada tok dalang yang lain.
Buku kedua, Wayang Kulit Melayu mengisahkan sedikit asal usul wayang kulit, dan keseluruhan bagaimana wayang kulit tersebut dimainkan. Pada bab akhir, penulis juga menceritakan kisah hikayat penuh Ramayana yang menjadi cerita pokok kepada Wayang Kulit Siam. Dalam buku ini diceritakan secara terperinci bagaimana persembahan wayang kulit ini dilakukan dan peranan-peranan tok dalang sebagai penggerak persembahan. Bukan itu sahaja, struktur dan gaya fikir masyarakat pada ketika itu juga dibongkar oleh Sweeney untuk tatapan para pembaca.
Untuk diri saya sendiri, pengalaman membaca Amin Sweeney telah membuka mata untuk membaca naskhah karya tradisional lisan atau tulisan dengan kritis dan tidak hanya bergantung pada teori-teori Barat semata-mata.
Jika dilihat secara rambang, Amin Sweeney tidak begitu popular dan tidak diangkat di Malaysia. Walhal, skop kajian-kajiannya tidak semua sarjana mampu capai. Disertasi kedoktoran beliau di Universiti London bertajuk The Rama Tree in the Wayang Siam (dibukukan oleh UKM dengan tajuk The Ramayana and the Malay Shadow Play) membuktikan bidang kajian beliau memang seputar budaya lisan masyarakat Melayu.
Bagi pembaca di luar sana yang meminati sastera khususnya sastera klasik, saya menyarankan kalian membaca naskhah penting ini untuk mengetahui sisi pandang lain terhadap kesusasteraan lisan yang tidak banyak sarjana ketengahkan. Aktiviti wacana pemikiran Amin Sweeney sepatutnya dibawa ke sfera publik untuk masyarakat mengenali sosok yang semakin dilupakan ini. Sebelas tahun selepas pemergiannya, perlu ada gerakan-gerakan atau wacana yang dibuat khusus untuk menggali idea-idea pemikiran dan buku-bukunya juga perlu diulang cetak dan diterjemahkan supaya tidak ditelan zaman.
Naim Al-Kalantani, graduan ijazah sarjana muda dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini menyambung pengajian di peringkat sarjana seni di universiti yang sama.