HARI ini kita di tahun 2020. Tahun yang kita selalu kaitkan sebagai tahun futuristik, kemajuan pesat dan teknologi terhebat.
Tahun ini menjadi perhatian apabila pada tahun 1991 ketika Perdana Menteri pada ketika itu yang secara ironinya, Perdana Menteri pada ketika ini, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Wawasan 2020 ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam pada 1991.
Wawasan ini sering dikaitkan dengan kepesatan teknologi dan kalau dilihat kembali sejak Wawasan ini diumumkan lukisan dan gambaran mengenai dunia sangat berbeza. Ia sama seperti yang dibayangkan Zemeckis dalam Back To The Future II pada tahun 2015 atau Luc Besson dalam The Fifth Element atau lebih awal oleh Stanley Kubrick dalam 2001: A Space Odyssey.
Kereta terbang merupakan gambaran yang sering dibincangkan apabila bercakap tentang Wawasan 2020, ia datang mungkin dari imaginasi melihat kemajuan dari sudut material dan bagaimana kenderaan menjadi kaitan terpenting dalam membincangkan kemajuan masyarakat.
Kenderaan ialah status sosial, ia bukan semata-mata sebagai medium pengangkutan, justeru tidak hairan apabila disebut tentang Wawasan 2020, disebut tentang kehandalan teknologi maka secara automatik kita memberikan gambaran paling ekstrem tentang fitrah sebuah kereta, ia boleh terbang!
Namun apabila sampai ke tahun 2020, maka cakap-cakap tentang kereta terbang ini sudah berubah menjadi sesuatu yang berlainan. Ia sudah menjadi buah sindirian dan tidak lagi digambarkan sebagai sesuatu yang boleh direalisasikan.
Sebagai sebuah negara yang masih membangun dari sudut industri automatif, sewajarnya mimpi tentang kereta terbang ini dihentikan seketika untuk kita memberi tumpuan lebih banyak dan penting terhadap industri automatif yang lebih real, yang berada di daratan, yang bergerak menggunakan tayar.
Tidak salah untuk bermimpi tentang kereta terbang pertama negara, namun lebih molek untuk kita sama-sama mengukuhkan ekosistem industri automotif negara dahulu dan kemudian kita bersembang pula tentang terbang tak terbang ini.
Namun tulisan ini bukanlah mahu bercakap tentang kereta terbang, sebaliknya mahu mengungkap kembali mengenai Wawasan 2020.
Secara asasnya Wawasan 2020 ini terbina dengan sembilan cabaran seperti berikut:
Cabaran 1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Cabaran 2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.
Cabaran 3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.
Cabaran 4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.
Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.
Cabaran 7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.
Cabaran 8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.
Cabaran 9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.
Jadi sebelum kita bercakap tentang kepesatan teknologi, kita harus melihat setiap cabaran yang digariskan ini dan bagaimana agaknya kedudukan kita sebagai masyarakat Malaysia di tahun 2020.
Melalui cabaran yang disenaraikan ini, amat jelas bahawa Wawasan 2020 bukannya tentang kepesatan teknologi, kemajuan material atau imaginasi kereta terbang semata-mata.
Namun ia merangkumi tatacara kehidupan dan bagaimana sebuah masyarakat lebih baik dapat dibentuk dalam persekitaran yang kian hari kian mencabar.
Saya tertarik dengan Cabaran 4 untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
Tahukah kawan-kawan di malam sambutan ambang tahun baru 2020 di sekitar Kuala Lumpur pada 31 Disember 2019 dan 1 Januari 2020 yang lalu, pihak Alam Flora telah mengutip 9 tan sampah yang dibuang rakyat Malaysia semasa meraikan kemunculan tahun 2020?
Pihak Alam Flora mengambil masa sehingga 8 jam untuk membersihkan semua sampah berkenaan.
Empat tan sampah di KLCC, 2.5 tan di Bukit Bintang dan 2.5 tan di Dataran Merdeka.
Tapi kita masih bising-bising, sindir-sindir tentang kereta terbang dan dalam masa sama kita menghumbankan 9 tan sampah di Kuala Lumpur pada malam kita meraikan tahun yang kononnya melambangkan kita sudah maju.
Kalau begini sikap kita, lagi 100 tahun pun belum tentang kita mampu jadi negara maju.
Kemajuan negara datang dengan kemajuan pemikiran rakyatnya. Jika pemikiran dapat dimaju, dibuka dan dibebaskan, maka kemajuan dalam bentuk lain termasuk teknologi dan material akan datang dengan sendirinya.
Seperti kata khatib di mimbar, saya menyeru diri saya dan semua rakyat Malaysia, uruskanlah sampah anda sendiri dan jangan jadikan kota yang kita cintai ini sebagai sarang sampah akibat sikap mengecewakan.
Anda mahu melihat kereta terbang? Buang sampah di tempat yang betul dahulu, selepas itu baru kita bercakap tentang kereta terbang.
Daniyal Kadir adalah seorang penjawat awam yang juga rajin mengulas tentang seni perfileman. Beliau juga merupakan penulis buku Membedah P. Ramlee selain kerap muncul dalam acara bicara perfileman, baik sebagai panelis atau moderator. Di masa lapang, Daniyal juga terlibat dalam pembikinan filem pendek.