Waspada Muslihat Produk Alternatif Rawatan Kanser

Internet telah menjadi salah satu sumber penting bagi maklumat berkaitan kesihatan. Dengan adanya Internet, maklumat yang meliputi pelbagai topik boleh dicapai dengan mudah. Selain itu, penggunaan meluas media sosial seperti Facebook, TikTok dan WhatsApp memudahkan lagi penyebaran maklumat dan membolehkan maklumat dikongsi bersama-sama rakan, keluarga dan sesiapa sahaja yang menghadapi masalah kesihatan yang sama.

Risiko Maklumat Yang Salah Daripada Internet

Walaupun memberi manfaat, namun Internet juga berisiko menyebabkan penyebaran maklumat yang salah. Contohnya, semasa pandemik COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan suatu krisis yang dipanggil infodemik, iaitu kebanjiran maklumat tentang wabak tersebut daripada pelbagai sumber dalam talian. Penyebaran maklumat palsu tentang COVID-19 dan vaksinasi telah menyebabkan orang ramai menolak vaksin dan memilih rawatan yang tidak terbukti keberkesanannya.

Seperti COVID-19, maklumat yang salah turut berisiko mendatangkan kemudaratan kepada pesakit yang menghidapi penyakit kronik. Misalnya, maklumat tidak tepat berkaitan rawatan kanser telah menyebabkan pesakit memilih rawatan alternatif yang tidak terbukti dan meninggalkan rawatan di hospital.

Maklumat Yang Salah Dan Promosi Produk Rawatan Kanser

Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji tahap sebaran maklumat yang salah tentang rawatan kanser payudara dalam salah satu platform media sosial. Selepas 6,000 hantaran (posting) disaring dan dianalisis, didapati 84% daripada hantaran dalam Bahasa Melayu yang menyampaikan maklumat tentang kanser adalah salah. Informasi yang tidak tepat ini juga didapati terkandung dalam 28% hantaran dalam Bahasa Inggeris. Bukan itu sahaja, kajian ini juga menunjukkan bahawa hantaran berkaitan promosi produk alternatif adalah tujuh kali ganda lebih banyak ditulis dalam Bahasa Melayu berbanding Bahasa Inggeris. Tambah membimbangkan lagi, kajian ini juga menunjukkan hantaran yang ditulis oleh penjual produk kesihatan adalah empat kali lebih berisiko untuk mengandungi maklumat yang salah.

Maklumat yang salah juga sering kali disebarkan melalui iklan penjualan produk alternatif untuk rawatan kanser. Produk alternatif ini dipromosikan secara meluas dalam media sosial dan sangat mudah menarik perhatian orang ramai. Sebagai contoh, kebelakangan ini media sosial dipenuhi dengan promosi pelbagai “penawar kanser” seperti pokok belalai gajah, minyak cannabidiol, keladi tikus dan bahan yang dikatakan sebagai vitamin B17 (juga dipanggil dengan nama suplemen biji aprikot, amygdalin atau laetrile). Dakwaan yang menyatakan produk yang dijual berkesan dan selamat turut menyebabkannya mendapat perhatian masyarakat.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pesakit yang mengambil produk alternatif dan meninggalkan rawatan kanser yang dimulakan oleh doktor dikaitkan dengan risiko kematian hingga lima kali ganda lebih tinggi. Malangnya, ramai pesakit yang masih tidak menyedari akan bahaya ini. Produk alternatif sering diiklankan sebagai ubat semula jadi yang selamat dan tidak mempunyai kesan sampingan. Namun, dakwaan ini sebenarnya tidak tepat. Contohnya, biji aprikot mengandungi hidrogen sianida dan boleh menyebabkan keracunan sianida pada dos yang tinggi. Malahan, risiko keracunannya adalah lebih tinggi jika diambil secara oral berbanding dengan kaedah suntikan. Keracunan sianida boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti kerosakan hati dan saraf, koma serta kematian.

Kualiti Kajian Saintifik Bagi Rawatan Alternatif Kanser

Sebagai cara meningkatkan kepercayaan orang awam kepada produk yang dijual, penjual produk rawatan alternatif kanser sering mengiklankan produk mereka dengan data daripada kajian tertentu. Namun, kajian yang digunakan dalam promosi tersebut biasanya merupakan kajian praklinikal yang melibatkan uji kaji menggunakan haiwan dan sel di dalam makmal. Keputusan yang positif daripada uji kaji menggunakan haiwan dan sel tidak dijamin berkesan kepada manusia.

Keberkesanan sesuatu produk rawatan perlu disokong dengan dapatan kajian klinikal. Kajian klinikal tersebut perlu dijalankan dengan teliti, melibatkan peserta kajian dalam jumlah yang mencukupi dan mematuhi protokol penyelidikan yang ketat untuk memastikan kejituan hasil kajian. Penggunaan haiwan dan sel untuk menguji keberkesanan rawatan merupakan pembuktian klinikal yang tidak kukuh.

Panduan Untuk Pesakit Dan Orang Awam

Kesan negatif maklumat yang tidak tepat kepada pesakit kanser menunjukkan bahawa mereka harus lebih berhati-hati dalam mendapatkan informasi berkaitan penyakit yang dihidapi dan rawatannya. Pesakit dan orang awam secara keseluruhannya dinasihatkan agar merujuk sumber maklumat yang mempunyai kredibiliti kerana informasi yang disampaikan adalah lebih berkualiti dan boleh dipercayai. Antaranya ialah maklumat kesihatan dan ubat-ubatan daripada ahli profesional kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi yang terlibat dalam rawatan pesakit sendiri.

Selain itu, pesakit dan orang awam juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) sekiranya mempunyai pertanyaan tentang ubat-ubatan, khususnya berkaitan rawatan kanser. NPCC boleh dihubungi menerusi talian bebas tol 1-800-88-6722 dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, setiap Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum). Bukan itu sahaja, laman web dan portal agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyediakan informasi yang berguna dan sahih untuk rujukan orang awam. Antara laman web dan portal yang boleh dilawati termasuklah laman web Kenali Ubat Anda, laman web Info Sihat dan portal MyHealth.

Pesakit kanser dan orang awam harus sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai maklumat tentang produk alternatif. Semak dan kaji dengan teliti kandungan maklumat, termasuk tajuk dan kapsyen yang berkaitan produk tersebut. Maklumat tersebut juga haruslah dipastikan diperoleh daripada sumber yang tidak mempunyai kepentingan lain dan ingin mengambil kesempatan dengan menjual produk atau menawarkan perkhidmatan kesihatan.

Apabila menerima iklan dengan tuntutan kesihatan, pastikan iklan tersebut telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat. Kelulusan iklan ditunjukkan menerusi nombor kelulusan yang seharusnya dipaparkan pada iklan tersebut. Contoh nombor kelulusan iklan ubat ialah KKLIU 3993 / exp: 31.12.2025.

Pesakit juga hendaklah mempertimbangkan tuntutan yang dinyatakan oleh penjual produk tersebut dengan sewajarnya. Sebagai contoh, tuntutan yang melampau hendaklah diragui kerana maklumat tersebut dikhuatiri adalah palsu. Dakwaan bahawa produk yang dijual boleh menyembuhkan kanser dan bebas daripada kesan sampingan berkemungkinan tidak benar. Apatah lagi sekiranya iklan tersebut disokong pula dengan testimoni positif tanpa sebarang maklum balas negatif.

Sentiasa Berwaspada, Usah Terpedaya

Penyebaran informasi yang salah tentang rawatan penyakit kronik seperti kanser merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Begitu juga dengan penjualan produk yang digembar-gemburkan berkesan untuk merawat penyakit kanser. Malah, menurut Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, tindakan mempromosikan apa-apa produk sebagai rawatan kanser adalah salah di sisi undang-undang dan sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

Pesakit dan orang awam yang menerima maklumat yang meragukan berkaitan rawatan kanser hendaklah sentiasa menyemak ketepatan maklumat tersebut terlebih dahulu. Di samping itu, elakkan juga daripada mempercayai iklan yang dikemukakan oleh penjual produk alternatif tanpa mendapatkan penerangan lanjut daripada pihak yang lebih arif, seperti ahli profesional kesihatan.

Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).

(Artikel tulisan saudari Izzati Yussof ini merupakan hasil kerjasama antara pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Solidaritas)

Komen