Ramai yang beranggapan, dunia politik adalah dunia lelaki. Majoriti pemimpin politik adalah lelaki. Ketua negara, ketua kerajaan, menteri, senator dan ahli parlimen atau ahli kongres di seluruh dunia kebanyakannya adalah lelaki. Maka oleh itu ramai juga yang percaya bahawa kepimpinan adalah satu ciri kelelakian, apa lagi dalam kebanyakan masyarakat ketua keluarga mestilah lelaki. Kerana itu juga, tidak sedikit yang percaya bahawa wanita tidak layak memimpin.
Namun sejarah politik dunia tidak juga sunyi dari kepimpinan wanita yang berpolitik. Bermula dari seorang wanita yang menjadi Perdana Menteri Ceylon (kini Sri Lanka) iaitu Sirimavo Bandaranaike pada tahun 1960, kita telah menyaksikan ratusan ketua negara atau ketua kerajaan wanita dari puluhan negara. Ada yang mewarisi kepimpinan seperti Permaisuri Elizabeth II dari United Kingdom sebagai ketua negara. Ada juga yang dilantik ke jawatan seperti Presiden Halimah Yaacob dari Singapura, juga sebagai ketua negara. Tetapi majoriti pemimpin wanita adalah sebagai ketua kerajaan yang diundi secara sah dalam sistem demokrasi.
Antara yang popular adalah Indira Ghandi (India), Margaret Thatcher (United Kingdom), Benazir Bhutto (Pakistan), dan Vigdís Finnbogadóttir (Iceland). Lebih dekat di Malaysia, negara Filipina pernah memiliki presiden wanita iaitu Corazon Aquino dan Gloria Macapagal Arroyo, Indonesia pula presiden wanita bernama Megawati Sukarnoputri, Thailand pernah dipimpin perdana menteri wanita iaitu Yingluck Shinawatra dan Myanmar kini mempunyai State Counsellor wanita iaitu Aung San Suu Kyi. Pada masa kini, antara ketua kerajaan wanita diundi dan dikenali ramai pastilah Canselor Angela Merkel dari Jerman dan Perdana Menteri Jacinda Ardern dari New Zealand.
Tahun 2020 walaupun dilanda pandemik COVID-19 masih merupakan tahun yang gemilang buat wanita yang berpolitik. Beberapa pilihan raya yang diadakan pada tahun ini menyaksikan ahli politik wanita diangkat menjadi pemimpin di negara mereka.
Yang menjadi tumpuan paling utama pastilah kemenangan Jacinda Ardern dan Parti Buruh New Zealand dalam pilihan raya umum negara Kiwi itu. Kemenangan ini adalah penggal kedua buat Ardern yang kali pertama menjawat jawatan perdana menteri pada tahun 2017. Ardern bukanlah perdana menteri wanita pertama dalam sejarah negara itu, tetapi yang ketiga selepas Jenny Shipley (1997 – 1999) dan Helen Clark (1999 – 2008).
Penggal pertama Ardern adalah dalam bentuk sebuah kerajaan minoriti selepas penggabungan parti Buruh New Zealand dengan parti New Zealand First dan parti Green, selepas kesemua parti yang bertanding gagal memperolehi majoriti mudah 61 kerusi parlimen. Tetapi untuk penggal kedua, Ardern menyaksikan parti pimpinannya menang besar majoriti 65 kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri tanpa memerlukan sokongan dari mana-mana parti.
Kemenangan besar penggal kedua ini tentulah berpunca dari kejayaan pemerintahan penggal pertama Ardern. Walaupun berstatus sebagai perdana menteri wanita termuda ketika dilantik dengan umur 37 tahun, Ardern membuktikan faktor usia bukanlah penghalang pada kecekapan pentadbirannya. Kepimpinan Ardern yang cenderung pada ideologi demokrasi sosial dan keperluan untuk kerajaan melindungi golongan miskin dan gelandangan, perlindungan terhadap pelarian, kepentingan kaum Maori, kawalan senjata api dan penerapan liberal disambut baik oleh rakyat New Zealand. Dan semua ini berjaya dicapai pada ketika Ardern hamil serta melahirkan anak pada tahun 2018.
Jika New Zealand beroleh ketua kerajaan wanita, lain pula kisahnya dengan Amerika Syarikat. Tidak seperti negara Kiwi tadi, negara Uncle Sam tidak pernah mempunyai ketua negara atau ketua kerajaan wanita dalam sejarah ratusan tahun penubuhannya. Bahkan, Amerika Syarikat juga tidak pernah mempunyai naib presiden wanita mereka sebelum ini.
Namun keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat baru-baru ini menyaksikan kemenangan calon presiden Demokrat, Joe Biden yang bergandingan dengan calon naib presiden iaitu Kamala Harris. Lalu sejarah tercatat untuk Harris menjadi naib presiden wanita Amerika Syarikat, kali pertama dalam sejarah 244 tahun negara kuasa besar itu. Harris juga turut mencipta rekod sebagai naib presiden Asian-American dan African-American pertama, kerana ibunya adalah berbangsa India dan berasal dari Tamil Nadu, India manakala ayahnya pula berbangsa Afrika dan berasal dari Jamaica.
Perjalanan Harris untuk meletakkan wanita di kedudukan jawatan naib presiden adalah susulan dari perjuangan yang dimulakan lebih 10 tahun lalu. Di dalam negara yang menyaksikan dominasi patriarki untuk jawatan presiden dan naib presiden ratusan tahun lamanya, ahli politik wanita hanya mula mencabar dua jawatan tertinggi ini penghujung dekad yang lalu.
Ia bermula dengan Hillary Clinton yang cuba bertanding sebagai calon presiden untuk parti Demokrat pada tahun 2008, tetapi tewas kepada Barack Obama dalam kempen primari Demokrat. Obama seterusnya menang jawatan presiden pada tahun 2009. Kemenangan Obama pada tahun 2009 pula bermakna usaha parti Republikan gagal dalam meletakkan calon presiden John McCain bergandingan dengan calon naib presiden wanita, Sarah Palin. Kemudian selepas Obama menamatkan penggal kedua kepresidenan beliau, parti Demokrat pula meletakkan Clinton sebagai calon presiden mereka tetapi sayangnya Clinton tewas kepada calon Republikan iaitu Donald Trump pada pilihan raya presiden tahun 2016. Begitulah serba ringkas usaha meletakkan wanita di kerusi presiden dan naib presiden yang tidak berhasil.
Justeru, kejayaan Harris adalah hasil dari usaha 12 tahun lamanya untuk wanita menjawat salah satu dari dua jawatan tertinggi Amerika Syarikat. Sebelum Harris, jawatan tertinggi pernah disandang wanita adalah Setiausaha Negara, jawatan yang dianggap ketiga tertinggi selepas presiden dan naib presiden. Wanita pertama yang pernah menyandang jawatan Setiausaha Negara adalah Madeleine Albright pada tahun 1997 dan seterusnya Hillary Clinton sendiri pada tahun 2009.
Salah satu tradisi tidak rasmi di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara lain ialah naib presiden atau timbalan perdana menteri lazimnya berpeluang menjawat jawatan presiden atau perdana menteri. Kamala Harris yang baru berumur 56 tahun tidak mustahil berpeluang menjadi calon presiden untuk parti Demokrat paling awal dalam tempoh lima tahun lagi seandainya Joe Biden tidak bertanding untuk penggal kedua. Apa pun ianya tergantung kepada kebolehan dan pengaruh Harris sebagai seorang pemimpin politik.
Seperti Jacinda Ardern, Kamala Harris juga mempunyai wadah pemikiran politik yang hampir sama antaranya mendukung fahaman liberal, penekanan hak kerakyatan untuk golongan imigran, penjagaan kesihatan untuk golongan miskin, sekatan senjata api dan sebagainya. Dan sudah pasti antara Ardern dan Harris, kedua mereka adalah feminis yang banyak memperjuangkan kepentingan wanita, salah satu faktor yang mungkin menarik undi wanita kepada mereka.
Dua pemimpin popular ini adalah sebahagian kecil dari ramai lagi wanita yang berpolitik tetapi mungkin tidak mendapat perhatian ramai kerana kurang ternama atau mendapat liputan. Salah seorang wanita yang patut juga diberi perhatian sewajarnya adalah Adriana Salvatierra dari Bolivia.
Siapa Adriana Salvatierra?
Beliau adalah wanita berumur 31 tahun yang pernah menjawat jawatan Presiden Senat Bolivia pada tahun 2019 ketika era kerajaan Presiden Evo Morales. Salvatierra terlibat dalam politik seawal umur 16 tahun dengan menyertai parti Movimiento al Socialismo–Instrumento Político por la Soberanía de los Pueblos (MAS-IPSP) atau dalam terjemahannya Pergerakan untuk Sosialisme. Ketika berumur 26 tahun, Salvatierra telah dilantik menjadi senator dan seterusnya sebagai presiden senat ketika umur 29, mencatat sejarah sebagai presiden senat termuda Bolivia.
Sumbangan besar Salvatierra adalah dalam membantu partinya MAS-IPSP menang dalam pilihan raya umum Bolivia pada 18 Oktober 2020. Kemenangan ini mengembalikan semula mandat rakyat yang dirampas tahun lalu, apabila kemenangan MAS-IPSP dan calon presiden Evo Morales dituduh secara melalui manipulasi dan penipuan undi oleh golongan sayap kanan. Ia mengakibatkan perletakan jawatan Morales dan keperluan untuk pilihan raya diadakan semula.
Kemenangan calon presiden MASP-IPSP iaitu Luis Arce dengan 55.1% undi popular, juga penguasaan MAS-IPSP dalam kedua dewan iaitu Chamber of Senators (21 dari 36 kerusi) dan Chamber of Deputies (75 dari 130 kerusi) bagaimanapun membuktikan sebaliknya. Pengundi Bolivia mengesahkan bahawa MAS-IPSP masih merupakan pilihan majoriti sama seperti pada tahun 2019 walaupun pihak lawan dari sayap kanan mendakwa berlaku manipulasi dan penipuan undi. Apatah lagi, keputusan pilihan raya 2020 jauh lebih baik buat MAS-IPSP berbanding tahun 2019.
Juga buat pertama kalinya di Bolivia, dan mungkin juga di seluruh dunia, wanita akhirnya menguasai senat dengan 20 senator wanita berbanding 16 senator lelaki. Adriana Salvatierra dalam wawancara dengan laman sosialis Jacobin menghurai pencapaian wanita Bolivia sepanjang pemerintahan MAS-IPSP:
“We are the first country to achieve gender parity in legislative bodies, even at the local level. We have made great progress in changing the land tenure structure, guaranteeing that the proportion of agrarian titles in women’s hands rises from 15.6 to 46.5 percent. We have made progress in regulations that guarantee women mechanisms for protections against domestic violence and also political violence. Of course, there is still much to do.
We have to bridge historical gaps that emerged from patriarchy, a system for reproducing of gender privileges. I think we should reflect on women’s participation and how we women carry forth gender-based agendas or otherwise. Being a woman parliamentarian does not necessarily mean that we are focused on gender, and we must reflect on this, insofar as such representation constitutes an important advance for our society.”
Salvatierra seterusnya mengesahkan bahawa dalam kerajaan baharu Bolivia, beliau tidak mahu fokus terhadap sebarang jawatan tetapi sebaliknya mahu menumpukan pada pengajian beliau dalam bidang pembangunan manusia dan demokrasi, juga untuk membangunkan pemimpin muda dan wanita dalam MAS-IPSP. Namun dengan umur yang masih muda serta karier politik yang memberangsangkan, tidak mustahil jika satu hari nanti kita bakal melihat Adriana Salvatierra menyamai pencapaian Kamala Harris atau Jacinda Ardern.
Di Malaysia, jawatan tertinggi pernah disandang wanita dalam kerajaan adalah sebagai timbalan perdana menteri oleh Dr. Wan Azizah. Namun Langkah Sheraton yang dibuat bukan sahaja melucutkan Dr. Wan Azizah, tetapi juga menafikan ramai menteri dan timbalan menteri wanita lain yang kini diganti oleh menteri dan timbalan menteri lelaki.
Adakah wanita Malaysia berpeluang untuk diangkat kembali ke jawatan tertinggi dalam kerajaan, bukan sekadar menjadi menteri wanita dan sebagainya?
Jika dinilai dari kisah tiga wanita tadi, Jacinda Ardern, Kamala Harris dan Adriana Salvatierra; mereka semua berjaya bangkit dalam suasana politik yang tidak konservatif, meraikan penglibatan wanita dan mendukung perjuangan feminisme. Dalam kerajaan yang konservatif dan patriarki seperti Perikatan Nasional, adalah sukar untuk wanita yang berpolitik mendaki tangga kepimpinan dengan sistem sokongan sewajarnya, lebih lagi jika ianya jawatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri. Kesukaran ini dirumitkan lagi dengan kewujudan parti menunggang agama seperti PAS yang masih berfikiran hanya lelaki layak memimpin.
Justeru, pilihan yang penting kini terletak dalam tangan rakyat Malaysia, khususnya kaum wanita Malaysia. Adakah mahu menyisihkan wanita, atau melibatkan mereka juga dalam proses pembinaan negara yang progresif dan liberal?
Kerana, kita juga perlukan wanita yang berpolitik.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial antarabangsa. Gadis liberal yang juga mendukung idea-idea demokrasi sosial dan percaya Malaysia asasnya sebuah negara sekular.