Wanita Dari Kekirian

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Dalam sesetengah kepercayaan agama, wanita atau perempuan diriwayatkan terhasil dari tulang rusuk kiri lelaki. Maka menjadi amalan budaya juga, dalam masyarakat Melayu khususnya, wanita sentiasa berada di sebelah kiri lelaki. Hal begini dapat dilihat ketika majlis bersanding, bahkan juga di kalangan raja-raja Melayu dan permaisurinya ketika mereka bersemayam di takhta.

Secara kebetulan juga, sejarah perjuangan wanita atau feminisme berasal dari fahaman atau sayap kiri dalam pemikiran politik. Konsep seperti hak pilih wanita sejagat ( universal woman’s suffrage), kesamarataan gender, penghapusan diskriminasi dan sebagainya telah dipelopori oleh golongan kiri pada permulaannya, ketika mana golongan kanan atau konservatif masih beranggapan wanita perlu diletakkkan dan dilayan secara berbeza.

Bahkan, Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun bertitik tolak dari idea golongan kiri. Dan semalam di Malaysia ianya disambut oleh semua pihak termasuklah parti politik nasionalis dan konservatif seperti UMNO yang baru-baru ini riuh mempersoalkan tentang buku teks Sejarah Tingkatan 4 dan sumbangan golongan kiri dalam sejarah negara.

Bagaimana Golongan Kiri Mencetuskan Idea Hari Wanita Sedunia

Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac setiap tahun. Hari tersebut diraikan bagi menghargai pencapaian budaya, politik dan sosioekonomi golongan wanita. Ia juga adalah hari untuk besar dalam pergerakan hak-hak wanita, dengan isu-isu pokok berkait wanita diangkat untuk perhatian dan tindakan umum.

Sejarah mencatatkan, pada asalnya idea hari wanita bermula dengan sambutan Hari Wanita Kebangsaan di Amerika Syarikat, yang berlaku pada 28 Februari 1909. Pencetus idea sambutan ini datangnya dari aktivis wanita bernama Theresa Malkiel, yang juga merupakan ahli Socialist Party of America (SPA).

Idea Theresa Malkiel dan SPA telah memberi inspirasi kepada aktivis wanita dan sosialis seluruh dunia untuk mengkhaskan satu hari khusus bagi meraikan perjuangan golongan wanita. Maka pada tahun berikutnya di Copenhagen, Denmark dalam Persidangan Wanita Sosialis Internasional, satu persetujuan telah dicapai untuk mengadakan Hari Wanita Sedunia. Pelopor kepada pemasyhuran ini datang dari Clara Zetkin, seorang Marxis dan aktivis komunis dan hak wanita;  Käte Duncker, aktivis komunis dan pemimpin Parti Demokratik Sosial Jerman dan Parti Komunis Jerman; dan Paula Thiede, pemimpin kesatuan dagang di Jerman. Seramai 100 perwakilan dari 17 negara mencapai kata sepakat untuk menyokong Hari Wanita Sedunia sebagai satu cara menonjolkan perjuangan wanita terutama dalam hak samarata dan hak pilih wanita.

Tahun 1911 menyaksikan Hari Wanita Sedunia diraikan secara besar-besaran pada 19 Mac. Lebih sejuta manusia di Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland meraikan hari tersebut, manakala dia seluruh Eropah demonstrasi untuk menuntut hak-hak wanita telah diadakan. Kerajaan-kerajaan Eropah ketika itu yang konservatif dan mendukung kapitalisme seperti dijangka cuba mengekang sambutan Hari Wanita Sedunia yang dilihat subversif dan melanggar norma kebiasaan.

Pada tahun-tahun awal ini Hari Wanita Sedunia masih belum mempunyai tarikh yang tetap, namun kelazimannya ia akan diadakan pada penghujung Februari atau awal Mac.

8 Mac Sebagai Hari Wanita Sedunia Dan Bagaimana Wanita Mencetuskan Revolusi

Pada tahun 1914, buat pertama kalinya Hari Wanita Sedunia diraikan pada 8 Mac di Jerman, dengan aktivis wanita menggunakannya untuk berdemonstrasi menuntut hak mengundi bagi golongan wanita Jerman. Sejak dari itu, Hari Wanita Sedunia secara konsisten diraikan setiap 8 Mac, namun kesan besar 8 Mac ini akan hanya terlihat berselang tiga tahun kemudian.

Pada tahun 2017 bertarikh 8 Mac, sambutan Hari Wanita Sedunia di Petrograd, Rusia oleh pekerja kilang tesktil wanita telah merebak ke seluruh kota. Para pekerja wanita mogok dan berarak menuntut roti, mengakibatkan kilang-kilang terpaksa ditutup. Pemerintah Rusia, Tsar Nicholas  mengarahkan 180,000 anggota tentera untuk bertindak mengekang protes ini, namun ianya mendapat tentangan dari sebahagian anggota tentera yang enggan menggunakan kekerasan kepada para demonstran yang majoritinya wanita.

Kejadian di Petrograd itu memaksa Tsar Nicholas II untuk turun dari takhta seminggu kemudian dan kerajaan akhirnya akur untuk memberikan wanita hak mengundi. Tetapi apa yang lebih utama ialah sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac 2017 itu merupakan tarikh tercetusnya Revolusi Rusia, yang berkesudahan dengan bubarnya Empayar Tsar Rusia dan terbentuknya Kesatuan Soviet Rusia sebagai negara komunis yang pertama.

Revolusioner Leon Trotksy mencatatkan dengan jelas pentingnya 8 Mac dan Hari Wanita Sedunia dalam mencetuskan revolusi:

“8 Mac adalah Hari Wanita Sedunia dan pertemuan serta tindakan telah dijangka. Tetapi kami tidak pernah terbayang bahawa ‘Hari Wanita’ ini akan mencetuskan satu revolusi. Tindakan revolusionari telah dijangka namun tanpa tarikh yang pasti. Tetapi di waktu pagi, walaupun tidak diarahkan sedemikian, pekerja tesktil meninggalkan kerja mereka di beberapa kilang dan telah menghantar perwakilan untuk meminta sokongan mogok… yang seterusnya membawa kepada mogok massa… dan semuanya turun ke jalan raya.”

Hari Wanita Sedunia, yang idea pelaksanaannya datang dari golongan kiri seperti sosialis dan komunis, akhirnya telah menjadi pencetus revolusi fahaman kiri yang pertama dalam sejarah dunia.

Hari Wanita Sedunia Sebagai Satu Sambutan Global Dan Masa Kini

Sebelum tahun 1967, Hari Wanita Sedunia kekal sebagai hari yang diraikan negara-negara komunis atau sosialis. Namun gelombang kedua feminisme telah membawa tarikh 8 Mac sebagai hari aktivisme wanita di negara-negara bukan komunis atau sosialis. Penerimaan yang semakin luas ini akhirnya membawa kepada pengiktirafan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1975.

Sejak dari itu, PBB telah menyeru semua negara anggota untuk meraikan tarikh 8 Mac sebagai Hari Wanita Sedunia dimana hak-hak wanita diberikan perhatian khusus. Di sesetengah negara, 8 Mac dan Hari Wanita Sedunia merupakan hari cuti umum seluruh negara, manakala ada beberapa negara lain pula memberikan cuti khusus untuk golongan wanita sahaja. Di negara lain selebihnya, termasuk Malaysia, kita hanya sekadar meraikan 8 Mac sebagai Hari Wanita Sedunia dan menghargai sumbangan serta perjuangan golongan wanita.

Sejak dari kali pertama ianya diraikan pada tahun 1909, Hari Wanita Sedunia telah menyaksikan banyak perubahan positif yang berlakudalam perjuangan wanita. Kini, hampir seluruh negara yang mengamalkan demokrasi telah memberikan wanita hak mengundi yang sama seperti lelaki. Di beberapa negara progresif, wanita juga dibayar gaji setimpal dengan pekerja lelaki, diberikan hak-hak yang dijamin oleh undang-undang selain mempunyai akses samarata dalam pendidikan, kesihatan dan perkara sosial yang lain.

Namun, masih ada ramai wanita di luar sana di beberapa negara yang masih berdepan penindasan gender dan dinafikan hak-hak mereka. Secara global wanita masih lagi memperolehi pendapatan kurang 23% berbanding golongan lelaki. Hampir 60% wanita seluruh dunia bekerja dalam sektor ekonomi informal, dengan gaji rendah dan berisiko besar terjebak dalam kemiskinan. Suara wanita dalam politik juga masih tidak seimbang, hanya 24% kerusi parlimen seluruh dunia dipegang wanita berbanding 76% oleh lelaki. Dalam sektor pendidikan, masih ada kelompok masyarakat yang menafikan akses pendidikan kepada wanita, atau melihat pendidikan wanita sebagai bukan satu keutamaan. Dalam hal keganasan gender, dilaporkan seorang dari setiap tiga wanita pernah mengalami keganasan fizikal atau seksual oleh lelaki.

Cabaran Mendatang – Wanita Kembali Kiri

Maka, perjalanan perjuangan wanita sebenarnya masih belum selesai. Menyambut Hari Wanita Sedunia saban tahun pada 8 Mac bukanlah kemuncak atau penamat pada perjuangan ini. Hari Wanita Sedunia juga bukanlah sekadar pemasaran kapitalisme (seperti jualan bunga atau diskaun buat pembeli) atau hari di mana kita berolok-olok kononnya menghargai wanita. Hari Wanita Sedunia sepatutnya lebih besar dari sekadar hari.

Sebaliknya, mengambil semangat wanita dari kekirian serta bagaimana golongan kiri mencetuskan 8 Mac sebagai Hari Wanita Sedunia, maka perlu untuk golongan wanita meneruskan perjuangan yang telah dimulakan oleh aktivis wanita seperti Theresa Malkiel, Clara Zetkin, Käte Duncker, Paula Thiede dan pekerja-pekerja tekstil wanita di Petrograd pada tahun 2017.

Sejarah telah membuktikan bahawa golongan kiri telah menjadi pencetus kepada apa yang telah diperolehi wanita hari ini, maka tidak perlu dipertikaikan lagi hanya dengan wanita kembali kiri, kesamarataan yang dicari akan boleh dikecapi.

Wanita mungkin berasal dari tulang rusuk kiri lelaki atau diadatkan untuk berdiri di sebelah kiri lelaki tetapi wanita juga harus berani ke arah kekirian demi hak-hak wanita itu sendiri.

Komen