Wanita Dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat

Tanggal 10 Disember setiap tahun merupakan Hari Hak Asasi Manusia (Hari HAM). Untuk tahun ini, ianya adalah kali ke-72 Hari HAM diraikan masyarakat dunia sejak terkmaktubnya Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa proses merangka deklarasi tersebut dipelopori oleh seorang tokoh wanita dan dibantu oleh sekumpulan wanita yang lain. Sebagai golongan jantina yang masih ditekan dengan diskriminasi, olokan dan persepsi tertentu; peranan besar wanita sememangnya dialukan dalam usaha PBB merangka deklarasi yang menjamin hak setiap insan tanpa mengira sebarang perbezaan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB yang ditubuhkan pada tahun 1946 pada permulaannya dipengerusikan oleh seorang wanita bernama Eleanor Roosevelt. Beliau adalah balu kepada bekas presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt (meninggal dunia pada tahun 1945) lantaran juga mantan Wanita Pertama Amerika Syarikat.

Susulan kematian suaminya, Eleanor telah dilantik oleh Presiden Harry S. Truman sebagai perwakilan negara itu ke PBB, seterusnya sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB dan juga jawatankuasa kerja yang merangka deraf Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Usaha merangka deraf deklarasi tersebut bukanlah satu tugas yang mudah. Ini kerana tidak ada sebarang dokumen sebelum ini yang secara jelas menyentuh hak-hak asasi manusia di peringkat global. Dunia juga ketika itu baru memulakan proses pembinaan semula selepas malapetaka Perang Dunia ke-2 yang memakan korban sebegitu besar dan menyaksikan pelanggaran hak asasi manusia dalam hampir segenap aspek. Keadaan dunia pasca Perang Dunia ke-2 ketika itu juga sedang berdepan dengan perseteruan Barat dan Timur, antara demokrasi-kapitalisme dan kediktatoran-komunisme yang seterusnya diterjemahkan dalam era Perang Dingin.

Namun begitu kebijakan politik dan diplomasi Eleanor memastikan deklarasi yang menjamin hak asasi manusia merentasi sempadan negara, bangsa, agama dan sebagainya diluluskan dengan majoriti besar oleh negara anggota PBB. Pada 10 Disember 1948 di Paris, Perancis; 58 negara anggota mengundi untuk memutuskan sama ada meratifikasi deklarasi tersebut. Sejumlah 48 negara anggota mengundi untuk meluluskan dan hanya baki 8 negara anggota memilih berkecuali dan 2 lagi tidak mengundi. Kebanyakan negara yang mengambil sikap berkecuali adalah dari blok komunis, selain Afrika Selatan dan Arab Saudi.

Kejayaan Eleanor mendapatkan sokongan untuk deklarasi tersebut bagaimanapun tidak mungkin dapat dicapai jika tidak kerana sumbangan tokoh wanita yang lain. Salah seorang darinya ialah Hansa Jivraj Mehta, seorang aktivis sosial, feminis dan penulis dari India. Hansa Mehta pernah terlibat dalam perjuangan kemerdekaan India bersama Mahatma Ghandi, dan pernah dipenjarakan oleh penjajah British pada tahun 1932. Sumbangan terbesar Hansa Mehta dalam merangka deraf deklarasi hak asasi manusia adalah apabila melakukan perubahan ayat dalam Perkara 1 dari “All men are born free and equal” kepada “All human beings are born free and equal” sekaligus memberi keutamaan dari segi aspek kesaksamaan gender.

Seorang lagi tokoh wanita yang turut memainkan peranan penting adalah Minerva Benardino, diplomat dari Republik Dominika sebuah negara di Kepulauan Caribbean. Minerva menjadi pelopor utama yang memastikan mukadimah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat mengandungi ayat “the equality of men and women” yang menjamin jaminan kesaksamaan untuk lelaki dan wanita.

Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat juga tidak ketinggalan dalam memastikan jaminan hak asasi turut merangkumi institusi perkahwinan, satu institusi yang secara tradisi dilihat tidak memberi layanan sama rata antara lelaki dan anita. Terima kasih kepada tokoh wanita dari Pakistan, Begum Shaista Ikramullah yang mahu memerangi perkahwinan paksa dan kanak-kanak, beliau berjaya memastikan kemasukan Perkara 16 deklarasi yang menjamin hak sama rata dalam perkahwinan atas kerelaan individu.

Aktivis hak asasi manusia Perancis, Marie-Hélène Lefaucheux pula memastikan tiada diskriminasi berasaskan jantina disebut secara jelas dalam Perkara 2 deklarasi. Usaha beliau ini membuahkan hasil apabila teks akhir Perkara 2 secara jelas menyebut, “Everyone is entitled to all the rights and freedoms set forth in this Declaration, without distinction of any kind, such as race, colour, sex, language, religion, political or other opinion, national or social origin, property, birth or other status”.

Usaha-usaha yang dibuat oleh tokoh-tokoh wanita dari pelbagai negara ini berjaya memastikan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat tidak sekadar menjamin hak asasi manusia secara keseluruhan, tetapi juga secara khusus menyatakan jaminan hak asasi itu terpakai secara saksama kepada lelaki dan wanita, selain turut merangkumi ras kaum, warna kulit, kepercayaan bahkan fahaman politik.

Sudah tentu, walaupun setelah 72 tahun diratifikasi Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat masih tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya dan sesempurna mungkin. Pelanggaran hak asasi manusia masih berlaku di serata dunia, begitu juga penindasan, diskriminasi dan ketidakadilan gender atau jantina. Tentulah juga, ini tidak bermakna Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah satu dokumen yang gagal, tetapi sebaliknya ia perlu dilihat sebagai usaha berterusan yang tidak akan pernah terhenti.

Berdepan pandemik yang menghantui seluruh dunia, tema Hari HAM kali ini adalah Recover Better – Stand Up For Human Rights. Dalam kita membina semula dunia pasca pandemik, adalah penting agar hak asasi manusia menjadi fokus utama proses pemulihan tersebut. Pandemik COVID-19 ini sepatutnya menginsafkan kita semua bahawa dunia yang lebih baik hanya akan dapat dicapai dengan mewujudkan keadilan buat umat manusia sejagat.

Komen