“Penindas dan yang tertindas (kerana tidak melawan), sama-sama menggunting keadilan”
Saidina Ali Bin Abi Thalib
Hari ini anak muda sedang memikul beban yang amat berat di bahu mereka. Dampak dari peristiwa kolonialisasi masih tidak selesai, kemudian muncul pula globalisasi yang langsung ideanya tidak memihak kepada yang lemah, malah meminggirkan kelompok itu.
Resistensi anak mudah tidak berakhir di situ, mereka juga perlu berhadapan dengan sebilangan kelompok (lama) yang ideanya sangat konservatif, tidak mahukan perubahan kadang-kadang menyokong pada pengongkongan idea malah mereka ini jugalah yang memperlahankan pembangunan minda kritis. Kerana kelompok itu yakin dan percaya bahawa apa yang direncana dan fikirkan oleh mereka itulah yang paling terbaik.
Walaupun zaman berubah, idea mereka tetap kekal tanpa mahu disesuaikan dengan zaman. Apa yang baik masih kita boleh terima, tapi apa yang buruk difikirkan oleh mereka langsung tidak boleh kita kritik. Sedangkan idea mereka itu hanyalah untuk pengekalan status quo, dan bukanlah untuk pencerahan tuntas. Malah wujud pelbagai label-label buat anak muda bila ada yang kedepan dan bersuara.
Tak mengapa masih boleh diterima, tapi apa yang lebih mengecewakan adanya kelompok anak muda sendiri yang meruntuh, mencabut, menikam, malah membunuh semangat anak muda tercerah lain untuk bergerak mempersoalkan kekuasaan yang tamak, menegakan keadilan juga mengangkat nilai kemanusiaan sejagat.
Anak muda itu dengan nada cukup pesimis cuba menormalisasikan segala kecurangan yang ada atas alasan “anak muda bukanlah pemegang kunci kuasa”. Jadi suara, laungan malah perjuangan mereka hanyalah sia-sia. Apa yang harus dilakukan anak muda hanyalah duduk dan memerhati segala tangan-tangan jahat menguasai bumi.
Tidak cukup dengan itu, anak muda ini jugalah yang menormalisasikan rasuah bagi penguasa dengan mengatakan “kerana ia sudah normal sejak dahulu kala lagi”. Bagi mereka rasuah itulah kunci kepada kestabilan pemerintahan dan dapat memuaskan badan-badan-pemerintahan yang lain. Semua ini bagi mengekalkan kestabilan kekuasaan kerana dalam sejarah telah menunjukan naratif-naratif ini. Jadi untuk mempertahankan kekuasaan, menambah kekuasaan, atau menunjukkan kekuasaan korupsilah jalan keluarnya.
Inilah yang jelas terjadi apabila sejarah dibaca semberono dan ini jugalah yang terjadi apabila sejarah hilang kesedaran sejarah (sense of history). Imaginasi sejarah ini adalah imaginasi yang dangkal, tempang, buruk dan jahat. Tidak seharusnya anak muda berpegang kepada imaginasi ini. Benar dalam sejarah telah berlaku banyak kes korupsi dari Athens, Rom, China, India dan banyak tempat lagi. Tapi tidak bermakna kita dengan tenang melegitimasikannya dengan alasan ia memang berlaku dan tidak siapa boleh menghalangnya.
Sebab itulah ilmu sejarah tercipta. Moral sejarah yang dimaksudkan itu bukanlah untuk mendiamkan diri dan tidak berbuat apa-apa jika sesuatu kezaliman itu berlaku. Moral sejarah itu dipelajari, diamati dan dianalisis supaya perkara zalim itu tidak dibawa ke masa depan. Itulah sejarah. Taha Hussein telah menuliskan sebuah buku bertajuk El Fitna Al Kubra yang menuliskan bagaimana tiga dari empat khalifah telah dibunuh kejam kerana mereka menegakkan keadilan.
Bagi Taha Hussein ia satu bencana besar dalam Islam dan sejarah. Perkara ini harus dipastikan tidak berulang lagi, bukannya kita membuat keputusan untuk tidak berlaku adil kerana jika adil akan dibunuh. Tidak! Begitu jugalah dengan semak imbak moral kita terhadap korupsi dan salah guna kuasa. Apa yang zalim dan kejam tidak boleh dinormalisasikan.
Syed Hussein Alatas pernah memberi syarahan mengenai cita sempurna yang kemudiannya dibukukan dengan tajuk Cita Sempurna Warisan Sejarah. Kuliahnya menyentuh mengenai sejarah yang perlu dibawa itu haruslah bernada cita sempurna bukan lawanya iaitu cita becana. Bagi Syed Hussein;
“Mereka yang percaya pada pada falsafah relativisme tidak percaya adanya nilai absolute dan universal. Mereka sebetulnya salah faham tentang nilai. Yang relatif adalah manifestasi dalam budaya dan masyarakat setempat bukan intisari dari daripada nilai itu. Dari segi konsep intisari cita sempurna, kekejaman itu kekejaman. Yang menjadi soal adakah kekejaman itu berkuasa atau tidak, bukan kekejaman itu adalah satu kebaikan… Pemimpin perlu dipengaruhi oleh cita sejarah yang mengandung unsur moral yang tinggi. Jika cita sejarahnya tidak mengandungi unsur moral yang tinggi dan penuh kemanusiaan, maka kesannya akan buruk dan merbahaya bagi masyarakat.”
Maka itulah tugas anak muda. Anak muda yang sedar. Mereka harus membawa naratif sejarah yang penuh dengan cita sempurna supaya penguasa sedar siapa yang sedang dipimpin. Ini mengingatkan saya pada kata-kata Jalaludin Rakhmat;
“Umumnya, pemimpin-pemimpin… Bodoh-bodoh, karena yang terlalu pintar jarang diterima dalam sistem yang demokratis. Mengapa? Kecerdasannya melampaui zamannya. Kalau anda ingin mengubah bangsa kambing, maka kualitasnya anda harus kambing juga. Kalau kualitas anda harimau, maka kambing-kambing akan lari. Tidak akan mengambil anda sebagai pemimpin. Tapi kalau bangsanya bangsa singa, pemimpinnya juga harus singa.”
Ya jika kita katakan pemimpin tidak tunduk pada bangsa maka ia satu kesilapan besar. Jika anak muda itu menjadi singa moral, sudah tentu pemimpinya juga jadi singa yang bermoral. Tidak mungkin kambing boleh hidup dalam gerombolan singa!
Mengulang kembali kata Saidina Ali bahawa “penindas dan yang tertindas (kerana tidak melawan), sama-sama menggunting keadilan” kelihatanya jelas benar. Kerana dalam sejarah sendiri telah mengariskan bahawa kejahatan, kezaliman dan keburukan itu perlu dilawan. Tidak perlu kunci kuasa, yang perlu adalah akal minda yang sihat. Benar kita tidak boleh mengubah manusia, tapi apa yang kita boleh tawarkan adalah cara dan konsep pemikiran yang bermoral, adil, berperikemanusiaan dan berpihak. Percayalah jika cara fikir kita berubah, tindakan juga berubah. Oleh itu, anak muda percayalah anda punya kuasa dan jangan putus asa!

Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.