PERNAHKAH kita semua fikir, mengapa kita tidak dibenarkan memakai selipar ke dewan kuliah? Mengapa pintu akan dikunci jika kita lewat sampai ke kelas?
Peraturan harus dikenakan. Mengapa sesetengah kuliah tidak membenarkan pelajarnya berambut panjang? Mengapa adanya peperiksaan berpusat? Kemudian ada yang berkata, ini pusat latihan pendidikan, bukannya sarkas.
Disiplin
Selalunya, peraturan ini akan diberikan nama yang muluk-muluk. Salah satunya ialah ‘disiplin’. Disiplin ini disedia, diterap dan dipaksakan ke atas anak muda untuk memastikan mereka menjadi masyarakat yang boleh menerima arahan pabila mereka dewasa nanti.
Kemudian akan disyarahkan di kelas-kelas, melalui wakil pelajar, melalui wakil universiti, melalui wakil guru, bahawa disiplin sebagai teras kejayaan. Dan akan dihamparkan semua bukti pelajar yang mempunyai disiplin paling tinggi, ialah pelajar yang paling gemilang.
Berek
Disiplin teras kejayaan. Peraturan teras kegemilangan.
Bila ada peraturan, yang kemudian dinamakan sebagai disiplin, maka pelajar akan diajar bagaimana untuk hidup dengan peraturan dan disiplin di dalam universiti.
Maka dibina pagar di sekeliling universiti. Jarang sekali universiti kita tidak punya pagar. Kemudian untuk menerapkan budaya berdisiplin, pelajar akan diajar untuk mematuhi aturan yang telah ditetapkan. Misalnya perlu balik sebelum jam 11 malam.
Dan perpustakaan pun akan dikunci. Buku yang ada akan diperam di dalamnya. Segala macam teori, falsafah dan ilmu akan kekal duduk dan terpuruk di dalamnya. Selamat datang ke dalam kem ketenteraan!
Pegawai Waran
Henry Giroux di dalam makalah Critical Pedagogy in Dark Times menulis; “educators at all levels of schooling should be addressed as public intellectuals willing to connect pedagogy with the problems of public life, a commitment to civic courage, and the demands of social responsibility.”
Malangnya, tenaga pengajar di universiti kini tidak mempunyai kebebasan untuk mengaitkan pengajaran dan pembelajaran dengan konteks semasa, terutamanya melibatkan politik. Giroux menekankan; “…critical pedagogy attempts to take young people beyond the world they are familiar with and makes clear how classroom knowledge, values, desires, and social relations are always implicated in power.”
Apakah tenaga pengajar di universiti kini mempunyai kuasa yang lebih besar di dalam kelas selain dari pengurus kelas? Bagaimanakah sepatutnya tenaga pengajar menggunakan konteks semasa di dalam kelas? Giroux menulis; “I believe it is crucial for educators not only to connect classroom knowledge to the experiences, histories, and resources that students bring to the classroom but also to link such knowledge to the goal of furthering their capacities to be critical agents who are responsive to moral and political problem of their time and recognize the importance of organized collective struggles.”
Mereka kini berfungsi tidak lebih dari hanya sebagai Pegawai Waran, pegawai yang berfungsi hanya sebagai pakar teknikal, menggunakan kedudukannya untuk memastikan rekrut, prebet tentera ini menyiapkan tugasan dan menduduki peperiksaan yang telah ditetapkan, kemudian menggred mereka mengikut skema yang telah ditetapkan.
Peperiksaan
Kemudian, untuk memenuhi kehendak pasaran, universiti dipandu dengan menggunakan logik ‘korporat’. Kurikulum standard, sistem pengurusan dengan hierarki serta merendahkan semua tahap pendidikan kepada satu bentuk baharu iaitu pusat latihan industri ialah di antara ciri-ciri imej korporat yang cuba ditonjolkan.
Giroux ketika membahaskan tulisan Marc Bousquet mengenai konsep neoliberalisme ini menggunakan ayat seperti – “more standardization!”, “more managerial control!”, “a teacher proof curriculum!” serta “a top down control of curriculum (and) tenure management!”.
Sebahagian fakulti kemudian dibuka hanya untuk memenuhi bekalan tenaga ‘buruh murah’, tenaga pengajar semakin hari semakin dikurangkan kemahiran mereka hanya kepada pengurus kelas, bukan lagi sebagai pendidik.
Semua ini disediakan tidak lain adalah untuk menyediakan tentera-tentera kapitalis. Universiti telah dijadikan berek latihan oleh jeneral kapitalis, untuk menghasilkan soldadu yang akan bertarung mewakili mereka di dalam sistem pasaran bebas. Ideologi neoliberal ini meraikan pembelajaran sehala, penghafalan serta ‘high stakes testing’ untuk menghasilkan pelajar kepada prebet yang pasif serta guru kepada pegawai waran yang hanya tahu menjalankan kerja rutin sahaja.
Blitzkrieg
Sistem pengajian tinggi telah dijadikan tebusan kepada sistem pasaran bebas. Giroux menegaskan; “Young people are now openly treated as customers and clients rather than a civic resource, while many poor youth are simply excluded from the benefits of a decent education through the implementation of zero tolerance policies that treat them as criminals to be contained, punished, or placed under the jurisdiction of the criminal justice system.”
Serangan ini tidak hanya menjadikan universiti sebagai alat merekrut dan sumber pengkaderan tentera kapitalis, media juga berperanan besar dalam mempengaruhi dan menghasut anak muda untuk mempercayai ideologi neoliberalisme ini. Perkembangan media dari skrin tradisional kepada budaya penerbitan seterusnya dunia digital menjadi alat baharu jeneral-jeneral kapitalis ini untuk menggunakan budaya sebagai alat menyerang anak muda.
Sistem pendidikan yang berteraskan pemikiran kritikal, analisis, dialog dan tindakan telah diserang secara berterusan oleh model pendidikan berteraskan pasaran bebas. Dalam model ini, pendidikan haruslah berfungsi untuk menghasilkan pekerja masa hadapan. Konsep dan falsafah pendidikan yang berfungsi untuk menghasilkan manusia yang berfungsi kepada masyarakat tidak lagi menjadi keutamaan.
Kejayaan pendidikan akan diukur berdasarkan graf pertumbuhan ekonomi, bukan lagi kepada humanisme dan kemanusiaan. Hans Guderian pernah menulis sebuah pamplet mengenai taktik peperangan yang dipanggil ‘Achtung Panzer’, yang kemudiannya sampai ke tangan Hitler. Tahun pertama Perang Dunia Kedua, tentera British dan Perancis dipaksa berundur hanya dalam masa dua minggu. Taktik perang menggunakan kereta kebal ringan dengan unit bantuan udara dan tentera darat menggunakan konsep ‘speed and surprise’ ini dipanggil Blitzkrieg atau ‘lightning war’ berjaya mengalahkan tentera Rusia pada Jun 1941.
Siapa sangka, tentera yang menggunakan taktik Blitzkrieg zaman moden ini direkrut dan dilatih melalui universiti awam menggunakan konsep yang sama 70 tahun lalu?
The Capitalist Manifesto
Jadi, kesemua peraturan, disiplin, pagar, peperiksaan, seluruh usaha menyediakan tentera dan serangan alaBlitzkrieg ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memenuhi The Capitalist Manifesto.
Dalam korpus bahasa jeneral kapitalis ini, seluruh dunia ini hanyalah tidak lebih dari ‘binary economics’. Dalam kepala dan otak jeneral ini, perkataan ‘binary’ itu hanya merujuk kepada beberapa perkataan seperti pengeluaran, pengagihan, buruh dan kapital.
Dunia hanya wujud untuk mencapai keuntungan maksimum. Semua perlu bersaing untuk menjadi 1per cent. Yang gagal akan dilabel sebagai tidak mampu bersaing dan dibenarkan pupus dari galaksi ini.
Untuk mencapai ini, sebuah masyarakat pasif, yang boleh menurut arahan, yang kelak akan menjadi buruh kepada golongan 1per cent mencapai tujuan mereka harus dibentuk. Pemikiran kritis tidak boleh digalakkan. Masyarakat ini harus punya jati diri untuk menjadi buruh, dan bukan pemilik.
Untuk itu, semua universti harus ditukarkan kepada berek latihan ketenteraan untuk merekrut dan melatih golongan ini. Pangkat seperti ‘4 Flat’ atau Anugerah Dekan akan dianugerahkan kepada prebet-prebet yang menunjukkan kemajuan. Tiada perbincangan kritikal mengenai sejarah atau politik dibenarkan di dalam kampus. Universiti harus berfungsi untuk melahirkan tentera yang setia, bukan individu merdeka.
Sepuluh anugerah dekan atau 1000 4 Flat sekalipun, semuanya akan keluar sebagai tentera dan melaksanakan Blitzkrieg bagi pihak jeneral kapitalis.
“Look at London. Of course it matters to all of us that London’s economy flourishes. But the test of the enormous wealth generated in patches of the capital is not that it contributed 20per cent-30per cent to Britain’s GDP but how it affects the lives of the millions who live and work there. What kind of lives are available to them? Can they afford to live there? If they can’t, it is not compensation that London is also a paradise for the ultra-rich. Can they get decently paid jobs or jobs at all? If they can’t, don’t brag about all those Michelin-starred restaurants and their self dramatising chefs. Or schooling for children? Inadequate schools are not offset by the fact that London universities could field a football team of Nobel prize winners.”
Eric Hobsbawm (2009)
(Artikel ini adalah petikan dari buku Masharakat Melawan Mahasiswa)