Umur Bukan Alasan Untuk Tidak Belajar Agama Secara Sistematik

MALU, KAGUM DAN INSAF… ya, tiga perkataan itu paling sesuai bagi menggambarkan perasaan seorang pemuda yang berumur awal dua puluhan yang baru mendaftarkan diri sebagai pelajar Diploma Eksekutif Usuluddin di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Selepas gagal menamatkan pengajian selepas setahun di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MCIIUM) di Petaling Jaya, penulis kemudian mengambil keputusan pulang ke kampung dan bekerja sebarangan selepas bergelumang dengan pelbagai jenis pekerjaan di Kuala Lumpur.

Penulis pernah menjadi jurujual DVD cetak rompak di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur. Kemudian penulis diajak oleh seorang kawan lama bergabung dengannya bagi memulakan perniagaan pakaian di Bukit Bintang, namun lama kelamaan hati kecil ini mula bersuara, sampai bila mahu begini?

Akhirnya, penulis mengambil keputusan pulang ke kampung kelahiran di Kampung Pasir Pekan, Kelantan.

Pulang ke kampung

Apabila pulang ke kampung, tiada kerja tetap yang dapat dilakukan penulis. Namun kepulangan kali ini lain daripada sebelumnya kerana kepulangan kali ini membawa segugus kesedaran bagi kembali menjadi dirinya sendiri.

Sebagai seorang lepasan sekolah menengah agama, penulis kembali mengakrabi majlis-majlis ilmu siang dan malam, masjid dan surau menjadi rutin harian malah kemudian penulis menjadi imam tidak rasmi di surau dekat rumah dan kadang-kadang menggantikan imam di masjid kampung.

Lama-kelamaan kelibatnya di kampung dan menampung aktiviti di surau masjid menjadikan dirinya mendapat perhatian orang-orang tua kampung sehingga pernah penulis ditawarkan untuk menjawat jawatan imam muda masjid kampung, namun atas beberapa sebab jawatan itu perlu ditolak.

Pada mulanya, penulis terlibat dengan aktiviti sebuah syarikat perniagaan bertingkat (MLM) yang berorientasikan Islam dan perjuangan makanan halal namun slogan dan retorik akhirnya tidak mampu menyembunyikan sikap kapitalis golongan tingkat atasan.

Kemudian penulis beralih menjadi agen insurans sebuah agensi namun jua tidak kena dengan jiwanya yang lelah melihat manusia memperdagangkan hubungan silaturrahim demi tujuan yang signifikan seperti itu meski tidak semuanya begitu.

Hubungan dibina atas dasar mahu menjadikan mereka sebagai pelanggan sangat plastik, dalam masa yang sama penulis tidak menafikan kepentingan insurans kepada umat Islam khususnya dalam pemerkasaan jati diri dan keluarga pada hari ini.

Kembali ke Kuala Lumpur

Tidak tersangka, penulis akan kembali ke Kuala Lumpur. Selepas mendapat jawatan Pembantu Perangkaan (sambilan) di Jabatan Perangkaan Malaysia cawangan Kelantan selama enam bulan, penulis lulus temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Tamat sahaja khidmat dengan Jabatan Perangkaan, penulis terus kembali ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta (JPPH) cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPPH-WPKL) yang terletak di Plaza 1Sentral bersebelahan KL Sentral.

Di sini, niat untuk kembali menjadi pelajar secara luar kampus membuak-buak, selepas membuat pelbagai pertanyaan dan sedikit kajian program yang ditawarkan dan pusat manakah yang terbaik, akhirnya penulis memilih untuk meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam bidang pengurusan awam.

Kos ini ditawarkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dibuat di cawangan Kuala Lumpur dengan menyewa tempat tertentu. Jangka masa pengajian adalah empat tahun dan dibuat sekali sebulan pada hujung minggu, dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 malam bergantung kepada jadual.

Belajar Usuluddin

Dalam masa yang sama, penulis berasa kosong berkaitan dengan Ijazah sarjana muda yang dipilihnya. Ini adalah kerana UUM tidak meletakkan syarat perlu ada STPM atau diploma sebagai syarat sambung ijazah sarjana muda, cukup dengan SPM dan pengalaman kerja.

Kalau diikutkan hati, memang penulis mahu sambung dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Syariah atau Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Namun apakan daya kerana syarat tidak lengkap memustahilkan. Semangat untuk belajar jurusan agama dengan sistematik tetap membara.

Tidak lama kemudian, penulis mendapat tahu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) ada menawarkan kursus yang dipanggil Diploma Eksekutif Usuluddin dan Syariah, bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang asas pengajian Islam boleh bermula dengan sijil.

Oleh kerana pengajian ijazah sarjana muda dengan UUM hanya sebulan sekali, jadi ruang-ruang hujung minggu yang lain membenarkan penulis bagi mengikuti kursus diploma tersebut dan yurannya juga tidak mahal, sekitar RM700 untuk satu semester.

Apa yang paling meninggalkan kesan yang mendalam kepada penulis kemudian memutuskan mengambil bidang Usuluddin adalah, boleh dikatakan hanya beliau pelajar yang berusia awal 20-an dalam kelas sedangkan pelajar lain adalah daripada pelbagai latar belakang dan kebanyakan sudah berumur.

Ada yang sudah ada MA dan Ph.D dalam bidang selain agama, ada yang pencen, ada yang masih bekerja dalam profesion yang professional dan bukan sebarangan, ada yang datang bersama suami dan isteri, ada yang dihantar oleh anak atau suami mereka dalam keadaan yang agak uzur namun tetap konsisten datang ke kelas meskipun kebanyakan masa dalam kelas beliau dilihat banyak terpejam matanya, malah ada yang sudah berpangkat Dato’ dan Datin.

Namun suasana ini benar-benar menyebabkan penulis malu, kagum dan insaf. Penulis menjadi bersemangat dan percaya keputusan meneruskan pengajian ini tepat.


Tulisan Zahiruddin Zabidi ini ada di dalam La Adri.

Komen