Kecoh seluruh negara apabila pihak media melaporkan tentang had umur pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Had umur yang disebut adalah minimum 16 tahun dan maksimum 35 tahun untuk seseorang menjadi pelatih PLKN 3.0.
Ia justeru telah menimbulkan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0.
Namun had umur yang disebut sebenarnya adalah berdasarkan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 yang telah terpakai sejak 20 tahun lalu.
Dalam Bahagian II, Tanggungan Bagi Latihan Khidmat Negara jelas menyebut “Yang di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa, melalui proklamasi, mengarahkan bahawa, melainkan jika Akta ini memperuntukkan selainnya, tiap-tiap orang yang pada tarikh proklamasi itu, telah mencapai umur yang ditentukan dalam proklamasi itu, yang tidak kurang daripada enam belas tahun, tetapi belum mencapai umur yang ditentukan dalam proklamasi itu, yang tidak lebih daripada tiga puluh lima tahun”.
Walaupun begitu, semenjak PLKN dilaksanakan bermula dari siri 1.0 dan 2.0, tidak pernah ada pelatih berumur 35 tahun dipanggil untuk menyertai kem latihan.
Sebaliknya kebanyakan pelatih PLKN dipilih dari kalangan remaja lepasan SPM yang rata-rata berumur sekitar 18 atau 19 tahun.
Justeru had umur yang disebut hanyalah berdasarkan peruntukan akta sedia ada yang telah termaktub sejak 20 tahun dulu dan bukanlah sesuatu yang baharu diperkenalkan tahun ini.
Kementerian Pertahanan juga telah tampil menjelaskan bahawa panggilan PLKN 3.0 akan dibuat mengikut tahun kelahiran, sebagai contoh PLKN 3.0 yang dilaksanakan pada tahun 2024 akan hanya memilih pelatih yang lahir pada tahun 2007.
Peruntukan had umur 35 adalah had umur maksimum untuk pelatih terpilih yang memohon penangguhan atas sebab yang dibenarkan menyertai PLKN 3.0 apabila bersedia.