U2 Dan Joshua Tree Di Temasek: Satu Ulasan

Ura-ura kedatangan kumpulan rock gergasi antarabangsa kelahiran Ireland, U2 ke rantau ini sudah lama bertiup kencang sebenarnya – semenjak tahun 2010 lagi. Ketika itu mereka dalam siri jelajah dunia untuk konsert 360°, konsert yang terkenal dengan pentas gergasi ‘labah-labah’ yang mampu berpusing 360° dan seterusnya menjadikan mereka sebagai kumpulan paling tinggi mencatat kutipan konsert dalam sejarah peradaban dunia. Tapi atas sebab-sebab tertentu, akhirnya konsert itu tidakpun singgah di rantau ini. Antara alasan yang kedengaran waktu itu, tiada promoter (penganjur) yang berani kerana U2 meminta bayaran terlalu tinggi dan ada pula sesetengah pendapat yang mengatakan Malaysia serta negara-negara dalam rantau ini gagal dalam ujian tanah (soil test) yang dilakukan (kerana pentas labah-labah itu terlalu berat untuk ditampung oleh tanah di rantau bertuah ini). Walau apapun alasannya, yang sudah lepas itu kita biarkanlah ia lepas.

Apabila pihak penganjur mengumumkan kedatangan U2 ke Singapura dan diumumkan pula tarikh jualan tiket bermula 20 Jun 2019 pukul 10 pagi (jualan awal di laman web U2 khas untuk ahli kelab peminat bermula 17 Jun 2019), maka akupun bersegera meminta sahabatku di Singapura untuk membelikan tiket. Mengambil kira pengalamannya selama ini mengikuti konsert-konsert artis antarabangsa yang selalu diadakan di Singapura, aku yakin dengan kebolehannya mendapatkan tiket. Sangkaan aku, dengan sistem tiket mereka lebih canggih berbanding Malaysia, mesti boleh dapat tiket punya. Namun aku salah. Aku terlupa mengambil kira ini kali pertama U2 datang ke rantau Asia Tenggara ini. Peminat-peminat mereka bukan saja dari Singapura dan Malaysia, malahan dari Indonesia, Brunei, Filipina dan Thailand juga berpusu-pusu mencuba untuk mendapatkan tiket. Igauan ngeri aku bermula apabila sahabat aku itu memberitahu sejak jam 10 pagi dia ‘tersangkut’ dalam queue di laman web jualan tiket. Setiap sejam sekali aku cuba dapatkan maklum balas dari sahabat itu namun jawapannya sama. “Masih on queue beb”. Dan keadaan ini berlarutan hingga ke belah malam. Mujur pengumuman oleh pihak penganjur yang menambah hari persembahan menerbitkan kembali sinar dalam hati ini. Akhirnya aku dapat tengok U2 depan mata!

Aku berlepas dari Kuala Lumpur dengan seorang kawan yang juga editor portal berita atas talian menaiki bas dari Hotel Corus Jalan Ampang. Hari aku sebenarnya bermula awal lagi kerana aku mula berlepas dari rumah di Klang menaiki Komuter (kereta api pertama!) pukul 5.19 pagi menuju KL Sentral sebelum menggunakan Grab untuk ke Jalan Ampang. Perjalanan kami ke Singapura sangat lancar sementelah kami memilih bas yang tidak melalui Tambak Johor tapi melalui Laluan Kedua. Jumlah kenderaan tidaklah banyak di checkpoint Tuas walaupun keadaan di belah Singapura agak ramai (kami tersangkut lebih kurang satu jam di sini). Tapi apapun, kami selamat sampai ke perhentian terakhir bas di Harbour Front Centre jam 3 petang. Di sini, kawan aku yang membelikan tiket konsert sudah sedia menunggu di luar kompleks. Kami dibawa ke pusat penjaja di hadapan Harbour Front itu untuk merarau sebelum menaiki MRT menuju ke lokasi konsert di Stadium Nasional Singapura.

Aku dan sang editor berpecah ketika memasuki stadium. Beliau membeli tiket berdiri maka pintu masuk berlainan berbanding aku yang hanya mampu membeli tiket ‘pangsapuri kos rendah’. Dari pengamatan aku pada hari kejadian, walaupun jumlah kedatangan hanya berkurang sedikit berbanding hari pertama (hari pertama dilaporkan seramai 40 ribu penonton hadir menonton) namun proses menyemak tiket dan beg berjalan lancar dan pantas. Aku ada baca di media sosial rungutan mereka yang menonton pada hari pertama tentang betapa lembapnya proses menyemak tiket dan beg ketika itu. Mungkin pihak penganjur sudah belajar berdasarkan pengalaman tersebut dan membuat penambahbaikan. Pukul 7.00 petang, aku sudahpun berada di kerusi bernombor seperti yang tertera di tiket.

Lagu The Whole Of The Moon dendangan The Waterboys yang dimainkan secara playback berkumandang tepat jam 8.16 malam menandakan persembahan akan dimulakan. Sejurus tamat sahaja lagu, kelibat anggota U2 kelihatan berbalam-balam dalam kesamaran pentas sebelum Larry Mullen jr mengetuk drum memulakan intro lagu Sunday Bloody Sunday. Waktu ini satu perasaan seronok, gembira dan entah apa nama perasaan pun aku tak boleh nak bayangkan bukan saja kerana akhirnya dapat tengok U2 depan mata, bahkan gegaran bass drum yang menghentak dada ketika itu. Lama betul tak rasa perasan macam gini weh! Gitar The Edge mula menerawang menembusi deria pendengaran. Ada sedikit bingit di permulaan konsert ini. Tapi bukan bunyi feedback ya. Mungkin jurutera bunyi masih sedang cuba menala papan mixer agar dapat dikurangkan sebarang bunyi-bunyi yang tercela. Mengambil kira keadaan venue yang tertutup (Stadium Nasional ini dibina dengan bumbung yang boleh dibuka-tutup dan penganjur mengambil keputusan untuk mengadakan konsert dalam keadaan bumbung yang tertutup – mengambil kira musim hujan yang sedang melanda). Oh sebelum terlupa. Set pentas U2 ini adalah sesuatu yang ‘pelik’ pada aku. Untuk pertama kalinya aku tak nampak ada tiang truss di kiri kanan pentas. Manakala speaker pula semuanya digantung terus dari bumbung stadium yang ditutup. Wow! Satu kelainan berbanding persembahan pentas di Malaysia yang mesti ada elemen ‘stage & truss’ dalam setiap persembahan. Ditambah dengan skrin gergasi berukuran 61 meter X 14 meter dengan resolusi 7.6K membuatkan satu-satunya skrin yang paling besar dan paling tinggi resolusi yang pernah digunakan dalam mana-mana konsert. Patutlah tidak kelihatan layar di kiri kanan pentas untuk mereka yang berada jauh dari pentas!

Keadaan bunyi bertambah baik ketika lagu ketiga dimainkan. Ya, New Year’s Day berkumandang disambut sorakan bergema satu stadium sebelum diikuti dengan Bad dan lagu Pride (In The Name Of Love). Ketika ini U2 sudah mula bergerak ke bahagian belakang (untuk 5 lagu terawal, mereka membuat persembahan dari platform hadapan yang dibentuk seakan-akan bayang-bayang pokok Joshua yang menjadi latar belakang pentas dengan bahagian daun menjadi seakan pentas kecil). Lampuan merah dinyalakan menandakan bermulanya segmen lagu-lagu dari album The Joshua Tree dimulakan dengan bunyian synthesizer yang dimainkan secara playback (aku syak playback kerana tidak nampak sessionist di atas pentas). Mata aku hampir bergenang waktu ini kerana aku tahu Where The Streets Have No Name akan dimainkan dan tanpa segan silu, aku mula merakam video menggunakan telefon. Jangan risau. Tempat duduk stadium berteres, maka aku tidak menghadang siapa-siapa di belakang aku ketika aktiviti rakaman dijalankan. Kesempatan yang entah bila pula aku boleh ulang lagi. Takkan bila dah ada kesempatan sebegini, aku tak ambil kan? Tapi aku juga beringat. Iyalah. Tidaklah aku hendak merakam sepanjang konsert berlangsung. Biarlah yang lain-lain kekal dalam fikiran dan ingatan aku sahaja. Seperti contoh seorang makcik mat saleh yang menari di depan aku sepanjang konsert berlangsung. Kagum betul aku dengan beliau. Kuat staminanya!

U2 sebuah band yang pada aku sangat cakna dengan persekitaran dan tempat yang mereka pergi. Sebelum masuk lagu I Still Havent Found What I’m Looking For, Bono sempat menceritakan serba sedikit tentang lagu tersebut sebelum menambah ayat “find it in your mosque!” Ternyata beliau tahu demografi penonton di Singapura ini juga meliputi penonton dari Malaysia dan Indonesia serta Brunei yang majoritinya adalah beragama Islam. Mereka juga aku perhatikan mempunyai team grafik yang sangat bagus. Bayangkan sajalah ketika sedang live mereka masih boleh mengedit video secara real time dengan memasukkan elemen-elemen grafik atau photoshop yang membantu menaikkan lagi mood persembahan. Ternyata mereka bijak menggunakan elemen teknologi terkini dalam persembahan untuk menjamu penonton yang hadir ke konsert mereka. Sesuatu yang patut diambil perhatian oleh artis-artis tempatan ketika membuat persembahan pentas. Bukan sekadar deria pendengaran saja yang perlu dipuaskan tetapi deria penglihatan penonton juga (tapi tidaklah aku menyuruh membuat persembahan yang bisa mencolok mata pula).

Sebanyak 25 lagu dibawakan oleh U2 pada malam kedua ini. Pada pendengaran telinga aku, tidaklah walau sedikitpun pitching suara Bono kedengaran sumbang walaupun ketika menyanyikan lagu bernada tinggi. Curi angin itu biasalah. Beliau sudah berusia 59 tahun kot! Kena pula menyanyi dua malam berturut-turut. Selain menyanyi, Bono juga memainkan harmonika pada malam itu. The Edge juga kelihatan bermain keyboard untuk satu dua lagu selain bermain gitar seperti kebiasaan. Satu keburukan di tempat duduk aku ini ialah aku tidak nampak dengan jelas jenama gitar yang digunakan The Edge dan Adam Clayton. Aku ada perasan Gibson SG digunakan The Edge manakala bass Adam Clayton pula seakan Fender Jazz Bass di sesetengah lagu. Ah, aku lebih menumpukan perhatian pada skrin 7.6K resolution di belakang mereka berbanding apa instrument yang mereka guna. Mereka juga menggunakan dua set dram untuk Larry Mullen jr, satu di pentas satelit (bahagian daun bayang-bayang pokok Joshua) manakala dram utama di pentas utama. Namun sesuatu yang mengagumkan, walaupun dram di pentas satelit sifatnya mudah alih (kelihatan krew pentas membuka dram ketika persembahan memasuki segmen Joshua Tree sebelum memasang kembali di penghujung segmen) namun sound yang dikeluarkan tetap maintain. Tetap sama! Dahsyat betul jurutera bunyi mereka ini.

Aku meninggalkan stadium tepat jam 10.35 malam sesudah lagu One dimainkan. Kelihatan grafik ‘Singa Merlion’ sebagai lambang Singapura dengan warna merah putih sebagai latar menghiasi skrin gergasi sebelum bendera Singapura terpampang di penghujung lagu menandakan tamatnya persembahan mereka. Walaupun terpaksa berjalan kaki selama hampir sejam menuju ke Kompleks Golden Mile untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur jam 12.45 pagi, aku merasakan inilah konsert yang paling cemerlang yang pernah aku tonton dalam 5 tahun kebelakangan ini. Walaupun tiket ‘PPRT’ aku berharga sama dengan tiket Pen A konsert Iron Maiden pada tahun 2011 dulu, aku tidak merasa ralat mahupun rugi membayar harga sedemikian menonton sebuah kumpulan yang ‘hanya’ mengambil masa selama 42 tahun untuk datang ke rantau sini.

Terima kasih U2 atas pengalaman menonton yang menakjubkan!

Komen