“Bermimpilah, maka Tuhan akan memeluk mimpi-mimpimu. Tanpa mimpi, orang-orang seperti kita akan mati”
Arai, Sang Pemimpi
Tentu ramai yang tahu dan sedar akan hebatnya penangan siri tulisan dari Andrea Hirata selepas Laskar Pelangi diangkat ke layar filem pada tahun 2008. Buku pertama Laskar Pelangi yang telah diterjemahkan ke lebih daripada 20 bahasa asing termasuk ke bahasa-bahasa langka dunia tidak sedikit telah memberi kesan akan pentingnya sebuah harapan walau dalam hidup seseorang manusia yang lahir dari belahan terpencil mana pun di dunia.
Dunia kecil watak utamanya; Ikal dan Laskar Pelangi walaupun berkisar dalam latar waktu dan tempat yang kecil, telah membawa pecahan cerita yang penuh wawasan dari cita-cita Bu Muslimah dan Pak Harfan, sehinggalah kisah cinta Ikal dan A Ling yang manisnya ringkas, tetapi membekas.
Membawa kita kepada novel kedua iaitu Sang Pemimpi yang paling membekas dalam diri saya sebagai pembaca. Sang Pemimpi masih menulis Ikal sebagai moderator cerita tetapi memberi laluan kepada ahli lain dari Laskar Pelangi iaitu Arai. Kisah hidup Arai yang tragis tetapi penuh pengharapan membawa pembaca hanyut dalam indahnya masa remaja yang pendek tetapi paling mencorak hidup.
Buku ketiga dari trilogi ini adalah Buku Besar Peminum Kopi yang diangkat dari budaya ‘mengopi’ atau ‘mengeteh’ sebagai bahagian dari komposisi unik kemasyarakatan dalam komuniti latar tempat penulis.
“Ai, penakut sekali kau, Ikal! Cincailah! Hidup hanya sekali! Ayo, ngopi dulu kita!”
Arai, Sang Pemimpi
Saya pernah bertanya kepada seorang sahabat penggemar buku warga Indonesia tentang hebatnya tulisan-tulisan Andrea Hirata yang katanya seorang genius kerana mampu menulis karya sehebat itu. Tetapi kata mereka, ada khabar angin yang mengatakan bahawa Laskar Pelangi telah ditulis oleh Lintang (salah seorang ahli tercerdas dari Laskar Pelangi). Makanya, hanya Laskar Pelangi yang laris dibaca di seluruh dunia, tetapi itu tidak berlaku untuk novel-novel seterusnya, kerana novel yang lain telah ditulis oleh Andrea Hirata. Tetapi itu khabar angin yang biasa terjadi dalam dunia penulisan.
Penulis sering menggunakan persona objek atau benda yang disusun dalam rangkai kata untuk menggambar perasaan manusia.
“Kau tahu Aini, jarum dalam tumpukan jerami lebih mudah ditemukan ketimbang cinta sejati”
Guru Aini; prekuel novel Orang-Orang Biasa
Tidak sedikit dialog-dialog antara watak di dalam novel yang lucu dan membuat pembaca seakan lupa akan semua masalah hidup dan malah tenggelam dalam dunia masyarakat Melayu Belitung di Sumatera Selatan, Indonesia ini.
Gaya bahasa penulis yang mengolah derita menjadi ceria membuat pembaca terpingkal-pingkal ketawa sendiri. Hidup turun temurun dari warisan tambang timah yang dijarah hasilnya oleh penjajah, kemiskinan sudah terlalu sebati dengan nilai hidup mereka. Tetapi seperti layaknya manusia, hidup adalah anugerah Tuhan yang sepatutnya kita hargai dan isi. Arai, Ikal, Lintang, Bu Muslimah, Jimbron, Pak Harfan, A Ling, Pak Mustar malah Bang Zaitun, masing-masing membawa konotasi penting dalam gambaran sederhana sebuah budaya masyarakat dalam komuniti Melayu Sumatera.
Derita masa kecil yang memagut rasa untuk berjuang mencari kekayaan dari bukan secara material, Ikal, Arai dan tokoh lain di dalam galaksi Belitung ini dimaknakan dari peristiwa-peristiwa ringkas yang berjalan dari kehidupan sederhana mereka. Kisah Pak Mustar guru bengis yang dihormati, kisah cinta Ikal-A Ling dan Arai-Zakiah Nurmala, birokrasi pendidikan dan perjuangan-perjuangan kecil mereka lainnya tidak berlebihan telah membawa turun naik rasa kepada pembaca yang digarap indah dalam bahasa Melayu ringkas oleh penulis. Lebih penting lagi, penulisan dari trilogi Laskar Pelangi dan novel-novel prekuel seterusnya merupakan catatan indah dan paling menginspirasi yang dihantar kepada seluruh dunia akan pentingnya sebuah harapan walaupun yang paling kecil demi memaknai sebuah kehidupan dari Tuhan.
Dunia yang semakin berpanjang tanpa sempadan, ramai daripada kita yang bukannya malah melebar idea dan gagasan, tetapi mencipta sekatan pemikiran tanpa tolak ansur dialog dan komunikasi sehingga apa sahaja yang dikatakan orang lain yang berbeza mazhab dan cara pandang akan dilabel salah. Benar, dunia mempunyai garis jelas syurga-neraka, dosa-pahala, benar-salah atau berjaya-gagal, tetapi kata ‘sederhana’ tidak pernah diciptakan tanpa sebab dan alasan yang munasabah.
“Biar kau tahu Kal, orang seperti kita tak punya apa-apa kecuali semangat dan mimpi-mimpi, dan kita akan bertempur habis-habisan demi mimpi-mimpi itu”
Arai, Sang Pemimpi
(Artikel ini adalah tulisan Sofiey S. dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.