Tiktok Dan Kandungan Kebencian

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu telah mendedahkan kita semua kepada satu bentuk kempen baharu menggunakan platform media sosial Tiktok. Walaupun media sosial telah lama digunakan untuk tujuan kempen politik, seperti yang terlihat di aplikasi Facebook atau Twitter, kempen di Tiktok bagaimanapun memperlihatkan kelainan yang tidak pernah disaksikan sebelumnya.

Aplikasi Tiktok sebagai sebuah media sosial sememangnya telah jauh mendahului Facebook dan Twitter dari segi populariti dan penularan sejak kebelakangan ini. Apabila digunakan untuk tujuan kempen politik, dengan peruntukan dana yang besar, ia terbukti sebagai satu formula yang berkesan.

Apa yang lebih menarik, Tiktok adalah media sosial pilihan anak muda. Dengan PRU15 sebagai pilihan raya umum pertama Malaysia yang menyaksikan mereka berumur 18 tahun layak mengundi, penggunaan Tiktok sebagai platform kempen memang kena caranya.

Sayangnya kebanyakan kandungan kempen politik yang muncul di Tiktok sebelum dan selepas PRU15 dilihat menjerumus kepada unsur kebencian, seperti ektremisme agama dan sikap perkauman. Unsur provokatif sebegini menjejaskan keharmonian yang wujud di kalangan masyarakat mengubah proses demokrasi menjadi satu pentas permusuhan antara rakyat yang berbeza warna kulit dan kepercayaan.

Justeru agenda pertama kabinet kerajaan yang baru dibentuk adalah untuk mengekang unsur kebencian yang wujud di media sosial khususnya Tiktok. Unsur provokatif, menggugat keharmonian dan menyentuh sensitiviti kedudukan institusi beraja, agama dan bangsa (3R – Ruler, Religion and Race) menjadi fokus utama Menteri Komunikasi Digital yang baru dilantik iaitu Fahmi Fadzil.

Langkah mengaturkan perjumpaan antara kementerian, penyedia platform Tiktok dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah wajar sebelum fabrik masyarakat majmuk di Malaysia terus terancam dengan unsur-unsur kebencian yang semakin berleluasa.

Kekhuatiran yang sama turut dibangkit oleh Howard Lee, ahli parlimen Ipoh Timor yang lebih awal menggesa kerajaan baharu untuk mengambil tindakan atas penyebaran kandungan berunsur kebencian. Howard lebih tegas dengan menuntut agar penyedia platform Tiktok lebih bertanggungjawab dengan memantau kandungan yang dimuat naik ke aplikasi mereka. Ini termasuklah menyekat atau memadam kandungan berunsur kebencian dari terus dipaparkan dan menggantung akaun yang didapati terlibat dalam menyebar fahaman melampau.

Howard bahkan turut meminta penyedia muat turun aplikasi seperti Google Play Store dan Apple App Store untuk lebih peka dengan aplikasi yang dilihat gagal memantau kandungan berunsur kebencian atau keganasan melampau.

Sewajarnya tindakan perlu diambil terhadap kandungan berunsur kebencian yang semakin tersebar luas ketika PRU15. Menyekat kandungan sedemikian di platform media sosial bukanlah bertujuan untuk menafikan kebebasan bersuara.

Kita perlu fahami bahawa mesej-mesej kebencian tidak sepatutnya diberikan ruang untuk disebarkan. Adakah kita mahu individu rasis atau organisasi fasis diberikan kebebasan untuk menyampaikan mesej-mesej perkauman, keganasan dan penindasan mereka? Adakah kita boleh izinkan kebebasan bersuara untuk digunakan bagi tujuan fitnah dan penipuan?

Kebebasan bersuara hanya boleh wujud jika ada rasa hormat dan penerimaan terhadap perbezaan, serta apabila ia digunakan untuk menyampaikan kebenaran tanpa unsur pembohongan. Ini adalah jaminan yang perlu dalam kita mempertahankan hak kebebasan bersuara di negara ini.

Kempen politik di media sosial perlu ada garis panduan dan etika. Ia tidak boleh digunakan sewenangnya untuk menimbulkan permusuhan yang akan hanya menghancurkan keharmonian yang wujud sejak sekian lama di kalangan rakyat Malaysia.

Adakah kerana kuasa politik, kita sampai mahu menjerumus negara ini ke kancah perkauman dan ekstremisme agama?

Komen