RASISME atau perkauman dalam sukan adalah gejala yang telah berlanjutan sejak bermulanya sukan itu sendiri. Dari sukan popular seperti bola sepak hinggalah ke sukan yang tidak popular, wujud gejala rasisme yang mencacatkan keindahan serta potensi sukan sebagai wadah penyatuan umat manusia.
Mengambil bola sepak sebagai contoh, walaupun ia sukan nombor satu dunia dan acapkali dinobatkan sebagai sukan dunia yang bisa menyatukan umat manusia, namun ia tidak suci sepenuhnya dari dicemari gejala rasisme.
Sudah banyak kisah pemain bola sepak yang dihina dan ditindas kerana warna kulit. Khususnya melibatkan pemain bola sepak kulit hitam di liga-liga Eropah yang kerap menjadi mangsa perkauman. Tindakan bersifat rasisme juga muncul apabila perlawanan bola sepak melibatkan kelab atau berlainan negara, sesetengahnya dihangatkan oleh faktor patriotisme yang melampau.
Justeru tidak menghairankan usaha-usaha dibuat oleh badan pentadbir sukan untuk mengekang gejala rasisme ini. FIFA sebagai badan persekutuan bola sepak contohnya sangat sinonim dengan kempen-kempen anti rasisme dan ia turut diulang oleh persatuan bola sepak kebanyakan negara.
Dalam usaha mengekang rasisme dari membarah di dalam sukan, organisasi pentadbiran sukan akan menggunakan atlet sukan sebagai wakil atau duta untuk bercakap tentang anti rasisme. Atlet sukan dilihat sebagai ejen terbaik untuk menjadi contoh kepada peminat atau penyokong bahawa perkauman tidak wujud di dalam sukan.
Lantaran itu atlet sukan diharapkan untuk menjaga tingkah dan tutur supaya dilihat sebagai contoh terbaik penyatuan umat manusia merentasi warna kulit atau apa-apa indentiti yang menjerumus pada perpecahan dan diskriminasi.
Hanis Nadiah Onn Dan Bong Guang Yik
Sukan Malaysia dikejutkan baru-baru ini dengan gejala rasisme apabila dua atlet sukan, seorang masih aktif dan seorang lagi tidak, mengeluarkan kenyataan yang bersifat perkauman sekaligus mencemar imej sukan yang diwakili oleh mereka.
Pemain hoki kebangsaan, Hanis Nadiah Onn didapati mengeluarkan kenyataan di media sosial yang menyinggung masyarakat India ketika memberi komen berkaitan konsert A. R. Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini. Walaupun ianya dikeluarkan tanpa niat yang sengaja untuk mencetuskan isu perkauman, ianya masih tidak wajar apatah lagi oleh seorang atlet sukan bertaraf kebangsaan.
Kekhilafan Hanis membawa padah apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bertindak menggantung beliau dari menyertai mana-mana perlawanan antarabangsa, termasuk Sukan SEA Kemboja 2023 pada bulan Mei nanti. Hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan KHM mendapati komen Hanis di media sosial berbaur perkauman kerana komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India.
Tindakan Hanis boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain. Ia juga menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain yang bertentangan dengan kod etika KHM serta menjejaskan imej pasukan kebangsaan dan sukan yang diwakilinya.
Berbeza pula dengan Bong Guang Yik, bekas pemain pelapis percubaan badminton negara. Jika komen Hanis dibuat secara terkhilaf, Guang Yik pula dengan jelas membuat kenyataan bertujuan perkauman dan menyentuh sensitiviti agama di media sosial.
Dalam video yang tular itu, Guang Yik dengan jelas mendakwa bahawa kejatuhan badminton negara adalah kerana ianya diuruskan oleh orang Melayu yang kerap meninggalkan sesi latihan dan sebagainya untuk tujuan solat.
Kenyataan Guang Yik mendapat reaksi dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengecamnya kerana bersifat rasis dan tidak menghormati sensitiviti agama. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga turut memberikan kecaman keras terhadap ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun Guang Yik sudah meminta maaf.
BAM telah pun menghantar bantahan kepada Persatuan Badminton China (CBA) menuntut supaya tindakan diambil terhadap Guang Yik yang sudah lagi tidak berada di Malaysia tetapi sebaliknya berkhidmat sebagai jurulatih di China. Kita berharap aduan rasmi yang dibuat BAM akan menerima maklum balas positif dari CBA.
Dua insiden yang baru berlaku ini adalah contoh jelas bagaimana rasisme masih membarah dalam sukan. Sebagaimana penyokong atau penonton yang melakukan tindakan perkauman ketika acara sukan boleh didenda, begitulah juga dengan atlet yang terlibat di dalam sukan itu sendiri.
Adalah penting untuk sukan, suatu aktiviti riadah yang memberikan umat manusia wadah untuk persaingan sihat, terus terhindar dari gejala rasisme.
Tindakan menggantung Hanis Nadiah Onn dari perlawanan hoki antarabangsa tidak boleh dilihat sebagai keterlaluan, kerana adalah wajar untuk badan sukan seperti KHM memainkan peranan serius membendung rasisme tanpa sebarang tolak ansur.
Begitu juga dengan usaha BAM agar tindakan diambil oleh CBA ke atas Guong Yik yang kini menjalani profesion kejurulatihan beliau di China. Mesej yang mahu disampaikan adalah jelas, mengelak sukan yang menjadi ejen penyatuan dari dijangkiti gejala rasisme yang memecah belahkan sesama manusia.
Dan apa yang lebih penting, kedua insiden adalah satu pengajaran kepada semua atlet untuk menjaga tingkah dan tutur mereka sesuai dengan profesion mereka wakil negara dan penggiat sukan yang diceburi.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.