The Power Of The Dog: Homoerotisisme Dan Stereotaip Hollywood

KALAU ada sebuah filem yang berbaloi untuk ditonton selama dua jam lebih, dari tahun 2021, tentulah filem itu adalah The Power of the Dog, sebuah mahakarya Jane Campion yang pernah menggegarkan sinema dunia dalam tahun 1993 dengan The Piano.

Campion jarang-jarang berkarya, kadang disulami dokumentari antara sela-sela masa senggang itu. Akan tetapi kembalinya Jane Campion kali ini amat mendebarkan.

Secara mudahnya The Power of the Dog adalah mengenai seseorang yang dibuli, mengatur langkah licik untuk akhirnya berkuasa menjadi raja. Akan tetapi mereka yang pernah mengekor Campion dalam The Piano, akan segera mengendus tawaran beliau. Seperti The Piano, The Power of the Dog bermain dengan ruang wanita tertindas dan tidak bermaya. Akan tetapi wanita itu semestinya janda, yang akan dibantu oleh seorang anak yang lincah.

Dalam The Piano kita masih mengingat sinematografi melongokan apabila Ada McGrath (lakonan Holly Hunter) dan anak perempuannya, Flora (dibintangi oleh Anna Paquin yang masih kecil dan meraih anugerah Oscar), ditinggalkan di pantai New Zealand yang kasar. Ada tanpa suara, baru saja tiba dalam satu pelayaran yang melelahkan dari Scotland. Antara barang Ada yang dibawa sama adalah sebuah piano, yang sangat sukar dihela dan diangkut dalam air masin di pantai, lecak lumpur paya bakau dan bukit-bukau. Semua itu menjadi lambang nasib celaka Ada yang bisu, dan dijual kepada seorang lelaki penghijrah bernama Alisdair Stewart (Sam Neill). Untuk melawan patriarki, Ada dengan sengaja menjalin hubungan dengan George Baines seorang lelaki Maori (lakonan luar biasa Harvey Keitel).

Kali ini dalam The Power of the Dog, Jane Campion sekali lagi memanipulasi keindahan New Zealand (yang disangka penonton sebagai Montana, Amerika Syarikat). Seorang wanita lemah, janda terbuang dengan anak lelaki bapok yang lembik tetapi penuh dendam. Oleh lemahnya Rose, lakonan Kirsten Dunst, George (lakonan Jesse Plemons, yang juga suami Dunst) tertarik untuk mengahwininya. George seorang koboi (pemilik ranch) kaya, dan kehadiran Rose membawa pertembungan berbahaya antara dirinya dengan abang George, Phil (lakonan hebat Benedict Cumberbatch).

Simbol-simbol perlawanan itu tertuang pada piano (ya sekali lagi piano), bunga ros kertas yang dibakar, lirik mata dan tenung penuh kebencian; dan gunung-ganang yang melingkung lantas merimaskan. Ia cukup menjelaskan watak-watak yang terperangkap, dan tiada kerja lain selain bersaing sesama sendiri.

Untuk menambah pertembungan tajam itu, tentu saja Campion akan bermain dengan tekanan seksual yang menyeksakan. Jika dalam The Piano kita melihat Ada menjalin hubungan kayu tiga dengan seorang lelaki Maori, dalam The Power of the Dog kita melihat hubungan Phil dan adiknya George yang terjejas oleh ketibaan Rose (mereka bersenggama dan mendesah dengan kuat), manakala Phil mempunyai rahsia tersendiri.

Apabila Peter (lakonan Kodi Smit-McPhee), anak Rose yang lembik itu kembali dari bandar untuk percutian, berlakulah seni kebencian yang memuncak. Ketika rahsia mereka saling ketahuan, Phil menawarkan sesuatu yang tidak dijangka, rasa tertawan kepada Miss Nancy (gelaran Phil kepada Peter) kita dapat melihat Jane Campion membina tekanan homoerotisisme yang begitu mendebarkan. Dengan iringan muzik yang betul, setiap adegan menjadi pancaran resah yang terapung menggigit khalayak.

Karya-karya Campion selalu mengenai seks, dan jalan keluar feminisme dengan cara yang tidak disangka. Justeru akan ada simbol perlawanan yang tertumpu (selalunya piano), dan kemudian lelaki telanjang.

Jane pernah membogelkan Harvey Keitel, Mark Ruffalo (dalam In The Cut tahun 2003) dan kali ini Benedict Cumberbatch. Bahkan adegan Phil oleh Cumberbatch dalam The Power of the Dog merupakan kebalikan dari kebiasaan Hollywood iaitu pengarah lelaki mengeksploitasi tubuh telanjang wanita; kali ini pengarah perempuan memangsai pelakon lelakinya atas nama naratif jujur. Nah, peluang untuk melihat Cumberbatch, si Dr Strange berbogel.

Untuk memberikan cabaran dan tenaga yang lain, filem Campion selalunya disodorkan era lampau (period) dengan kali ini, dataran prairie Montana tahun 1925 dibangunkan dengan jayanya.

Filem-filem Campion ditangani dengan artistik. Syot beliau kadang close up melampau, atau long shot yang mengkagumkan; dan seringnya Campion berhati-hati dengan pemilihan pelakon. Tidaklah menghairankan The Power of the Dog kini melumbai pelbagai anugerah filem dan saya percaya akan meraih banyak kategori penting untuk Academy Awards mendatang.

Suatu hal lain yang menarik ialah kebolehan Campion mengolah atau mengadaptasi sebuah karya sastera yang sukar menjadi sebuah produk layar perak yang berhantu. Filem ini merupakan pindahan dari ruang susastera karya Thomas Savage (1967), novel dengan judul yang sama. Di tangannya, Campion memberikan misteri yang kurang ada dalam novel iaitu ikonisasi watak Bronco Henry (yang kata Phil, lelaki sebenar dunia koboi).

The Power of The Dog akan menjadi sebuah klasik untuk genre ‘erotic thriller’. Bezanya, jika “Fatal Attraction,” atau “Basic Instinct” memaparkan kegerunan lelaki kepada kuasa seks wanita, filem terbaru Campion ini menindan dan menindih pelbagai resah seks itu sehingga kita sesat dalam nafsu watak-watak yang ada. Lebih dahsyat, Campion tidak memerlukan sepicing pun adegan seks untuk menunjukkan betapa mengganggu dan erotisnya sesebuah keadaan. Untuk sebuah filem yang amat ganas, Campion juga tidak perlu menunjukkan darah, meskipun ada satu adegan Phil memotong buah zakar lembu tanpa rasa belas.

The Power of the Dog juga ada penangan mengkagetkan. Jika dalam tahun 2003, kerjaya Meg Ryan hancur kerana berbogel (di usia 40 tahun) dalam In The Cut di sisi Mark Ruffalo; Hollywood yang makin rencam dan berani bakal melonjakkan nama Cumberbatch. Juga, Peter lakonan Kodi Smit-McPhee yang merupakan kebalikan semua bintang lelaki Hollywood (kurus keding tidak sado, lembut gemalai, jalan berterabur, dan suara lirih; ‘tidur telanjang?’) sudah mulai mendapat perhatian.

Kata kunci The Power of the Dog ialah melanggar kebiasaan. Demikian Campion mencuba-cuba menentang stereotaip Hollywood.

Komen