Sukar juga untuk saya habiskan siri The Crown sehingga Season 4. Season 1 dan 2 masih boleh ditelan lagi, mungkin disebabkan oleh Matt Smith melakonkan watak Duke of Edinburgh (Prince Philip) dan Claire Foy sebagai Queen Elizabeth II. Lakonan mereka berdua, terutama gaya lakonan dan pertuturan Claire Foy, bak kata Queen Elizabeth, goodness!
Bila sudah melekat dengan dua season pertama, tiba-tiba masuk Season 3 dan 4 di mana Olivia Colman dan Tobias Menzies pula yang mengambil peranan sebagai pelakon, terasa semacam sedikit janggal kerana gaya lakonan dan percakapan mereka langsung berbeza.
Mungkin tuan pengarah mahu menunjukkan perbezaan umur dan tahap kematangan Lilibet semasa berfungsi sebagai monarki di United Kingdom (UK) kerana dalam Season 3 dan 4, Lilibet sudah menonjol ketegasannya dalam melayan sepak terajang politik. Tapi dalam Season 1 dan 2, Lilibet masih kelihatan teragak-agak untuk membuat keputusan penting, kerana beliau masih berada dalam fasa terkejut apabila secara tiba-tiba King George VI meninggal dunia dan dia terpaksa menjadi Queen semasa berumur 25 tahun.
Dalam siri The Crown ini, Season 1 merangkumi tempoh antara tahun 1947 hingga 1955, Season 2 antara tahun 1957 hingga 1963, Season 3 antara tahun 1964 hingga 1977, dan Season 4 antara tahun 1979 hingga 1990. Dalam babak-babak hujung, watak Princess Diana dan anak-anaknya iaitu Prince William dan Prince Harry sudah muncul sebelum dia bercerai dengan Prince Charles beberapa tahun kemudian, selepas melalui pelbagai krisis dan skandal.
Saya suka menonton The Crown ini bukan kerana kagum dengan British sebagai bekas penjajah, tetapi kerana minat dengan pengkisahan sistem pemerintahan yang diamalkan di UK iaitu Raja Berperlembagaan (constitutional monarchy) dan Demokrasi Berparlimen (parliamentary democracy), sistem yang sama turut diamalkan di Malaysia. The Crown menunjukkan bagaimana Queen ini berfungsi mengikut peruntukan perlembagaan, termasuk melantik Perdana Menteri (PM), menerima mengadap PM untuk mengemaskini perkembangan mesyuarat Kabinet dan isu-isu politik, dan selebihnya berfungsi tidak lebih sebagai simbol Head of State.
Di sebalik tembok istana itu, bermacam-macam krisis keluarga, gaya hidup kayangan, skandal anak-beranak raja, perangai hodoh, usaha istana untuk pastikan monarki kekal relevan di mata rakyat, dan betapa terseksanya Prince Philip untuk menjinakkan egonya sebagai seorang lelaki apabila terpaksa berteduh di sebalik bayang-bayang Queen Elizabeth II, sebagaimana yang digambarkan dengan baik dalam The Crown.
Bila bosan melayan babak tertentu, saya berpindah ke Google dan Youtube. Yang menariknya lakonan yang berdasarkan kisah dan watak sebenar ini ialah kita boleh menonton filem, kemudian membandingkannya dengan gambar dan klip video yang asal. Apatah lagi di Eropah, teknologi kamera dan video sudah meluas digunakan sejak pertabalan Queen Elizabeth II lagi (1950-an masih hitam putih). Peristiwa-peristiwa terkemudian lebih banyak terdapat rakaman video yang asal di Youtube, dan kita boleh melihat betapa pasukan produksi The Crown ini mencuba sedaya upaya untuk mengekalkan susunan dialog, wajah dan karakter watak, fesyen pakaian, prop, dan sebagainya mengikut peristiwa yang asal.
Dalam The Crown, setiap episod memfokuskan kepada peristiwa-peristiwa besar yang berlaku seputar politik UK dan institusi Diraja mereka. Contohnya majlis pertabalan Diraja, peristiwa The Great Smog, peristiwa Queen Elizabeth II menari bersama Presiden Ghana, pertukaran demi pertukaran PM di bawah Queen Elizabeth II, krisis Terusan Suez, skandal Profumo, pembunuhan John F. Kennedy, malapetaka Aberfan, pendaratan pertama Apollo 11 di bulan, pemakzulan Raja Edward VIII, tragedi pembunuhan Lord Mountbatten oleh IRA, pertabalan Prince Charles sebagai ‘tengku mahkota’, usaha memodenkan institusi beraja, dan lain-lain peristiwa besar.
Saya fikir antara aspek yang paling terkesan adalah watak Winston Churchill dalam Season 1. Kalau Gary Oldman yang melakonkan watak Churchill memenangi anugerah Oscar melalui filem Darkest Hour, John Lithgow sebagai Churchill dalam The Crown pula memenangi anugerah Emmy. Saya merasakan bahawa lakonan Lithgow lebih sedap berbanding Oldman, walaupun tidak dinafikan kedua-duanya memang pelakon terbaik.
Disebabkan Churchill ini memainkan peranan penting kepada Queen sebagai penasihat politik yang berpengalaman semasa Queen masih muda dan juga berjasa besar kepada UK di saat krisis peperangan, kematian Churchill telah diabadikan dalam upacara state funeral, satu upacara yang biasanya dibuat untuk keluarga Diraja sahaja. Babak yang digambarkan dalam The Crown ini menggambarkan betapa terkesannya Queen Elizabeth II apabila kehilangan mentor politiknya.
Sebagai sebuah negara Komanwel, ‘kelibat’ Tanah Melayu juga diselitkan dalam beberapa babak. Antaranya semasa Prince Philip membuat pelayaran dengan menaiki Royal Yacht Britannia selama lima bulan pada tahun 1956, dia menyebut bahawa kapalnya melalui perairan Semenanjung Tanah Melayu. Sememangnya dilaporkan bahawa beliau sempat singgah di pulau Langkawi, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur, menyaksikan orang tempatan menoreh getah dan melombong bijih timah.
Satu lagi babak pendek selama kira-kira 8-9 saat dalam Season 2 memaparkan lawatan seorang pembesar Melayu bertemu dengan Queen Elizabeth dan Prince Philip di Istana Buckingham. Malah The Crown sempat menyelitkan beberapa kerat dialog dalam Bahasa Melayu. Malangnya tidak dijelaskan siapakah pembesar Melayu itu. Kemungkinan besar beliau adalah salah seorang Sultan Melayu. Ada pihak yang membuat kajian mengatakan watak itu ialah Sultan Yussuf Izzudin Shah (Sultan Perak). Saya fikir watak tersebut bukan Sultan Perak kerana mengikut rekod yang ada (sumber Google), kali terakhir Sultan Perak berjumpa Queen Elizabeth II ialah pada tahun 1955. Berdasarkan garis masa dalam cerita The Crown itu, peristiwa itu mungkin berlaku selepas tahun 1957 atau 1959. Mungkin kita perlu mengorek semula arkib surat khabar lama untuk menjadi mencari jawapan sebenar.
Sama ada The Crown ini memaparkan peristiwa yang sebenar atau terdapat dialog-dialog tambahan untuk menjadikan ia lebih dramatik, kita harus akui bahawa kesanggupan dan kebebasan untuk para pengkarya melakonkan semula kehidupan keluarga Diraja dan watak ahli-ahli politik ke layar perak, adalah manifestasi kepada nikmat demokrasi dan kematangan politik masyarat Barat. Bukan sahaja melakonkan semula watak yang telah mati, bahkan yang masih hidup dan berfungsi dalam jawatan yang sama (misalnya Queen Elizabeth II, Prince Philip dan Prince Charles). Tembok istana boleh dimasuki oleh sesiapa saja dalam bentuk kritik sosial, bahkan ada diselitkan dengan unsur fiksyen demi meraikan sesuatu karya seni. Mungkin masyarakat di sana sudah lama membuang doktrin tulah, derhaka, dan entah apa lagi ‘hantu’ yang ada dalam pemikiran feudalistik orang Melayu.
Dalam episod terakhir Season 4, Margaret Thatcher (Perdana Menteri UK) yang kehilangan sokongan ahli Kabinet dan majoriti Ahli Parlimen, telah datang mengadap Queen untuk memohon pembubaran Parlimen. Beliau tidak sanggup untuk ditendang dari 10 Downing Street secara terhina begitu. Menurut ahli sejarah, peristiwa ini sebenarnya tidak pernah berlaku pun, sebaliknya ia sekadar fiksyen penyedap cerita. Tetapi dalam babak tersebut, ada satu dialog penting yang diungkapkan oleh Queen yang diselitkan dalam episod terakhir ini.
Apabila Perdana Menteri mahu menggunakan kuasanya untuk membubarkan Parlimen, Queen telah menasihatinya, “Power is nothing without authority”. Kuasa tiada makna tanpa kekuasaan.
Perkara ini sangat penting untuk difahami kerana saat ini negara kita sedang mengalami satu krisis legitimasi sebuah kerajaan, yang Perdana Menterinya dipercayai tidak memiliki majoriti sokongan di Parlimen. Kuasa dan kekuasaan adalah satu doktrin asas dalam apa saja sistem pemerintahan—apatah lagi sistem demokrasi yang tumbuh di atas suara rakyat terbanyak—kerana ia menjelaskan bagaimana seseorang Perdana Menteri dan sesebuah kerajaan itu boleh memiliki kuasa dan bagaimana kekuasaan yang absah (legitimate authority) itu terbentuk dalam sesuatu wilayah pemerintahan.
Apapun, menonton siri The Crown telah mengingatkan saya kepada secebis pengalaman berwisata ke United Kingdom 11 tahun yang lalu. Berpeluang melihat dan merakam kenangan di depan Istana Buckingham, bermain-main daun luruh di Green Park, melawat kawasan Clarence House dan kebetulan berselisih dengan Prince Charles yang baru tiba di kediamannya, berjalan-jalan di Memorial Walk, dan termenung di tebing Sungai Thames di bawah The London Eye sambil memerhati di seberangnya bangunan Palace of Westminster yang berusia hampir 200 tahun.
Kalau anda meminati sejarah dan politik, tontonlah The Crown di Netflix.
M. Hafizul Hilmi adalah seorang graduan kejuruteraan yang kerap menulis di Facebook tentang pelbagai perkara yang terlintas di kepalanya.