SEPANJANG hidupnya, dia cuma ada satu matlamat.
Mencari babi dan memusnahkannya. Motto hidupnya satu, ‘Membanteras Babi’. Dia memang akan sesak nafas dan tercungap mengah kalau tidak semena-mena terbayang atau terkenangkan babi. Dia tahu benar yang dia anti babi.
Beginilah, kita imbas muka dahulu; dia sedang asyik menyumbat ke dalam mulut semangkuk mi kari dengan cebis hiris halus ayam BBQ di sebuah restoran terkenal di SJ.
Tiba-tiba lalu di luar restoran itu seorang ustaz yang kebetulan tertinjau-tinjau gayanya seraya mukanya itu tampak berdomol. Dia kenal ustaz yang kepoci itu. Dia juga ahli parti. Cuma dia memandu Hellfire. Domol mulutnya itu sedikit juih termuncung macam babi. Dia memang mahu bersembunyi tetapi apakan daya. Serta merta itu juga dia menggelupur dan berteriak bagaikan babi ditembak buntutnya dengan senapang patah. Dia tidak dapat mengawal diri. Lantas dia pun berteriak-teriak, ‘Babi – Babi – Babi.’ Latahnya itu sangat membingungkan pelanggan di dalam kedai makan tersebut. Gempar oleh pekik babi gempar. Dua tiga orang Burma yang bekerja di dapur kelam kabut bergegas ke hadapan.
Teriak pekik tersebut mendorong Ustaz yang memang melepasi restoran itu dengan tanda tanya menjadi lebih musykil dan berprasangka. Ustaz itu yang berpegang kepada amar makruf nahi mungkar pun meluru masuk ke dalam restoran dan bertanya membabi buta; ‘Ustaz Nangoi kan? Ustaz buat apa di sini? Ustaz termakan atau terjamah babi kah?’
Bila berdepan dengan ustaz yang domol mulut seibarat babi, makin dia terlaung terpekik Babi – Babi – Babi.
Bila dia bertenang lama sedikit, dan ustaz itu menghela lantas membawanya keluar dari restoran itu ke kaki lima, dia disoal bertalu-talu, ‘Ente ini Ustaz Nangoi kan? Dalam mi kari ada babi ya? Betulkan dalam mi kari itu ada babi? Nampak pun macam babi. Ada rasa seumpama babi tak? Betullah tu dalam mi kari ada babi. Astaghfirullah awak dah termakan babi. Taubat tuan, taubat dah termakan babi…lekas-lekaslah masuk tandas dan gosok gigi. Moh cari tanah buat berkumur.’
Insiden itu memang gempar. Pun sebelum pemilik restoran itu memanggil polis kerana gempita itu sudah menjadi pikuk hiruk, dia sudah beredar. Dia cepat-cepat meninggalkan ustaz busy body itu.
Orang sebenarnya tidak tahu, yang dia perlu melindungi diri dan juga umat Melayu dari babi. Sebenarnya sewaktu dia masih kecil, dia digigit cemporo, sejenis kutu babi. Dia demam panas beberapa lama; dan dilanda penyakit ayan, atau dinamai orang sebagai gila babi, atau sawan babi. Akibat demam melarat itu dia akan selalu berasa seram sejuk tanpa punca dan berteriak-teriak histeria seperti terjadi dalam restoran terkenal di SJ itu.
Sewaktu dia masih kecil, penyakit itu hinggap dan tidak pernah pergi. Habis segala macam doktor dibawa berubat, dia tidak juga sembuh. Sekali ada seorang pawang yang memberinya sejenis ubat herba yang digentel dari jemuran sejenis tumbuhan diberi nama ‘daun Lukman Hakim’. Tatkala itu dia tidak tahu yang ada segelintir bomoh mengelak menyebut nama sesuatu bahan yang berkait dengan najis seperti ‘rumput tahi babi’ untuk dijadikan sebagai ubat lalu mereka menukar namanya kepada “daun Lukman Hakim”. Pawang itu mati strok lepas mengubatkannya, membawa sama rahsia ke liang lahad.
Menjelang remaja dia sekali lagi terkena sampuk penyakit lama. Kejadian itu berlaku kerana di sekolah, dia pernah mengambil mata pelajaran lukisan. Seorang temannya yang ibu asal Rantau dengan karier ustazah telah menyelarnya kerana menggunakan berus yang diimport dari China. Kata teman sekelas itu, ‘Berus ini diperbuat dari bulu babi.’
Serta merta dia terbayangkan babi dan waktu itu juga dia rebah dan menyondol-nyondol diserang sawan. Dia terjerit-jerit bagai babi kena sembelih.
Selepas itu dia mencari ‘daun Lukman Hakim’ untuk berubat. Tapi malangnya orang tak kenal daun itu daun apa. Rahsia pawang itu telah dibawa sampai mati. Jadi dia tahu nasibnya agak kelam, dia perlu sentiasa berhati-hati.
Ketika mengaji subjek sejarah di sekolah menengah, cikgu sejarahnya, Cikgu Ayub menjelaskan yang orang Melayu itu, seperti dirakam dalam Misa Melayu (1784) karya Raja Chulan, tidak takutkan harimau; akan tetapi kalau ada babi – pastilah ia mengelak; ‘Syahbandar, “Tiada ku mau singgah ke dalam keci itu, sungguh pun tiada harimau, babi bukankah banyak, itulah maka ku tiada mau singgah pada keci itu.’
‘Demikian kata Syahbandar kepada Commissary Belanda’. Kata Cikgu Ayub lagi, memang betul kias babi itu adalah untuk menghinakan Belanda, tetapi dalam banyak-banyak haiwan; Raja Chulan menggunakan kata babi untuk disebutkan oleh watak Shabandar. Itu tandanya babi binatang malang.
Cikgu Ayub juga mengujarkan, kalau tidak kerana babi; kerja membunuh J.W.W Birch itu akan mudah saja. Menurut Cikgu, pada 21 Julai 1875, para pembesar Melayu Perak telah menganjurkan satu mesyuarat yang berlangsung di rumah Haji Mat Yasin di Kampung Durian Sebatang. Satu rencana rapi telah dibuat iaitu untuk membunuh Birch babi dengan cara menyantaunya. Seorang pawang dipanggil untuk bermain hantu. Cikgu Ayub menceritakan bersungguh-sungguh yang mesyuarat itu dipimpin oleh Sultan Abdullah sendiri. Mereka yang ikut serta dalam pertemuan ini adalah Raja Idris, Wan Husin (wakil Temenggung), Kundah Muhammad (wakil Raja Bendahara dan Seri Maharaja Lela), Penghulu Mat Ali (wakil Menteri Larut – Ngah Ibrahim), Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Dato’ Laksamana, Dato’ Syahbandar, Raja Ahmad, Orang Kaya Mat Arshad, Raja Musa, Mat Ros, Haji Idris, Tok Muda Rapa, Haji Daud, Pak Taib, Haji Mat Yasin, juga seorang lagi Haji Daud (jadi ada dua orang Daud) dan Raja Mahkota pun ikut terlibat.
Mereka mengutuskan seorang perempuan berpura sebagai hamba yang melarikan diri dan ingin menyorok di rumah Birch di Bandar Baru. Matlamat perempuan itu ialah untuk meracun J.W.W Birch. Namun rancangan ini gagal teruk kerana diketahui oleh Birch. Oleh sebab itu para pembesar pun menitahkan satu upacara bermain hantu dilaksanakan di kediaman Sultan AbdulIlah di Batak Rabit. Hantu jembalang ini kononnya akan membunuh Birch. Upacara bermain hantu ini dikendali sang pawang diraja. Tetapi Birch terselamat kerana ada seorang pawang Melayu lain telah menghidu rancangan mereka, dan untuk menggagalkannya telah menyimbah darah binatang haram, iaitu babi di keliling kediaman Residen Birch. Cikgu Ayub menyeluruhi mukanya, menamatkan cerita dongeng tersebut dengan kata-kata; ‘Kamu faham Ngoi? Babi punya babi. Kalau tidak kerana babi, dah lama Birch mati.’
Jadi, tertanam dalam kepala dia, yang babi itu memang binatang jahanam. Apabila dia dewasa dia menyertai sebuah parti berteras agama di Kis. Dia yakin parti politik itu akan menyelamatkannya dunia akhirat. Ini kerana dalam parti itu tiada anggotanya pemakan daging babi. Gamaknya memang dia serasi dalam parti sifar babi itu. Penyakit ayan itu tidak lagi mampir. Bila partinya itu tiba-tiba berjaya menyondol tumbuhan dan menumbangkan pohon lantas naik jadi kerajaan dia ikut mendapat laba. Tak banyak sedikit pun ada juga. Bak kata orang lama, ‘Bertambah gemuk tubuh babi itu, bertambah kecil lagi matanya’. Dia bukan main seronok. Bagai mutiara terkalung ke leher babi. Dia khayal diberi jawatan dan kuasa.
Sebelum kejadian di restoran di SJ itu, seorang wakil dari parti yang anggotanya ramai pemakan babi telah mengherdiknya dengan satu dua peribahasa yang dia tidak tahu maknanya; ‘Disangkakan bedena timbul, terpeluk bangkai babi bengkak hanyut’. Seorang yang lain pula menggelarnya ‘muka bagai ditampal dengan kulit babi’. Dia dihamun kerana beroleh kuasa dengan cara tidak patut.
Waktu herdik-mengherdik itu terjadi semua mereka berada di Pekan Rabu. Dia sangat sakit hati. Oleh marahnya dia mendapat semula penyakit gila lamanya. Dia jatuh dan berteriak-teriak; ‘Kau ingat aku jenis babi merasa gulai? Aku menggunakan Mercedes kerana aku layak.’
Dia tersungkur di perkarangan kedai, dan melalak mengongoi. Politik sungguh kejam. Babi betul politik. Lawannya dari parti yang ramai ahlinya penjamah daging babi pun menyembur herdik, ‘Heh bodoh; anjing galak, babi berani.’
Lemparan kata sedemikian kesat itu mengakibatkannya dia makin mengisar di atas simen lantai dan meraung-raung. Dia cuma mampu membalas;
Orang Cina pergi ke China,
Datang ke China berdagang babi;
Tuan punya saya pun punya,
Sekerat seorang kita berbahagi.
Lawan politiknya itu tertawa, “Eh-eh nak berpantun pula Nongoi gila ini. Kami bukan macam kamu ya, politik berbagi-bagi harta. Eh-eh kalau pantun dijual, memang wajib dijawab.’
Lebih nista, orang yang melihat kejadian di Pekan Rabu itu tidak pula menolongkannya sebaliknya ramai-ramai turun berpantun-pantun pula membodohkannya lagi. Dia didakwa sebagai kepala babi sehingga menyungkur-nyungkur:
Sejak ubi diberi bergula,
Manis melekat hila disayur;
Sejak babi jadi kepala,
Habislah umat kena sungkur.
‘Aku bukan kepala. Orang lain yang kepala. Dia pakai kopiah dan serban segala.’
Ada pula yang memerli dan mengejek yang dia itu sudah tidak peduli halal dan haram kerana menolak macam babi pokok demokrasi yang dibajai orang sampai subur. Dia dan kawan-kawannya menokak dan menumbangkan:
Sejak nasi menjadi bubur,
Akal padam badan mengeram;
Sejak babi menjadi mandur,
Halal haram dimakan orang.
Peristiwa bedebah itu membuatkannya terkenal serta-merta dalam parti. Dia dipanggil Yang Berserban Tinggi masuk menghadap. Yang Berserban Tinggi memintanya meletak jawatan.
‘Apa sebabnya tuan? Tuan berserban saya pun berserban. Tuan berjubah saya pun berjubah.’ Dia rasa terhina.
Yang Berserban Tinggi hanya sengih. ‘Jadilah seperti sahabat, Khalid bin al-Walid; kalau dilucutkan jawatan jangan mengeluh. Kita ikut sirah Nabi. Bukan perangai babi.’
Demikian dia dihina parti sendiri. Itu punca dia membawa diri. Itulah harinya dia memandu seorang diri dan jalan-jalan di SJ. Dia tiba-tiba berasa lapar dan masuk di restoran untuk merasa sedapnya mi kari. Seingat dia memang tak ada babi. Ayam ada. Babi memang tak ada. Dia tahu benar babi itu bagaimana. Seumur hidup dia mengelakkan babi, dan sepanjang hayat dia meniti segala yang babi-babi.
Sore itu sedang dia leka menyedut siput, pihak beruniform datang menjemputnya di kandang. Mereka datang dengan sebuah lori kecil. Pegawai-pegawai itu berwajah garang, ‘Kami kesani Japanese encephalitis.’
Dia terpinga-pinga, ‘Saya bukan Japanese. Saya Sang Sungkur, nama saya Nangoi. Nama liberal saya ialah Sus Scrofa’.
Pegawai itu menyahut, ‘Baguslah, kami memang mencari anda sejak insiden di Restoran SJ’.
‘Kenapa? Kenapa saya dicari?’ Soal dia bingung. Dia orang yang penting. Dia pernah menjadi arkitek menyondol jatuhkan sebuah kerajaan. Dia pakar maqasid. Mengapa dia dicari pasukan beruniform?
‘Kami percaya kamu adalah babi. Selama ini kamu berkepala yu, berekor babi. Kamu berpura-pura atau menyamar.’ Tambah pegawai itu membuat sekat dan kepung agar dia tidak dapat melarikan diri. What the fuck? Dia tidak percaya. Dia bingung dan cemas sekali. PIG.
Dia terus rebah sambil menggelupur dan menyondol-nyondol seperti babi. Dia dapat merasai bagai kepala tersangkut dengan kulit babi. Rupa-rupanya dia mengelakkan sesuatu yang ada dalam dirinya. Dia sendiri –
The Babi.

Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.