Ada orang selalu merungut mengapa negara kita tidak seperti negara lain. Mengapa di Malaysia, ada tiga kaum utama, Melayu, Cina dan India. Melayu pula bersama dengan suku-suku kaum di Sarawak dan Sabah adalah Bumiputera.
Walaupun rakyat Malaysia hidup bersama secara harmoni, mengapa kaum-kaum ini terpisah dari kecil. Bersekolah secara berasingan. Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Kita membaca akhbar berbeza, Melayu, Cina dan Tamil. Sebahagiannya, dari pelbagai kaum membaca akhbar bahasa Inggeris.
Apabila masuk universiti, kaum-kaum di Malaysia juga terpisah-pisah. Sebahagian besar Bumiputera belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sebahagian besar kaum Cina dan India belajar di IPTS.
Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan atau Bahasa Malaysia, tetapi kebanyakan orang Cina dalam banyak masa menggunakan bahasa Mandarin, Kantonis atau Hokkien. Sementara kebanyakan kaum India menggunakan bahasa Tamil.
Apabila bekerja, kebanyakan orang Bumiputera bekerja dalam sektor awam dan agensi-agensinya. Sementara kaum Cina dan India bekerja swasta. Apabila makan, kebanyakan orang Melayu makan di kedai orang Islam. Orang Cina makan di kedai makan Cina.
Oleh kerana agama berbeza, orang Melayu pergi masjid, Cina pergi ke tokong dan India ke kuil. Bila berpolitik, kebanyakan orang Melayu akan menyertai Bersatu, PKR, Amanah, UMNO dan PAS. Kebanyakan orang Cina menyertai DAP, MCA dan Gerakan. Orang India menyertai PKR, DAP atau MIC.
Di kebanyakan negara lain tidak seperti Malaysia. Hampir kesemua rakyat Indonesia menggunakan Bahasa Indonesia termasuk kaum Cina mereka. Hampir kesemua rakyat Thailand menggunakan bahasa Thai termasuk kaum Cina mereka.
Sememangnya Malaysia adalah unik. Ia tidak akan sama dengan mana-mana negara di dunia. Perjalanan dan pengalaman sejarahnya membentuk apa yang dinamakan sebagai Persekutuan Malaysia ini.
Penggubal perlembagaan Malaysia telah berfikir semasak-masaknya untuk menampung aspirasi rakyat negara ini, dari semua kaum supaya entiti politik ini dapat berfungsi dan berkesan sebagai sebuah negara bangsa yang memberi kemakmuran hidup kepada warganegaranya.
Perlembagaan Malaysia adalah unik. Begitu juga ideologi negara iaitu Rukun Negara. Apa yang dipanggil sebagai Bangsa Malaysia adalah juga unik. Perlembagaan Malaysia tidak sama dengan Perlembagaan India walaupun penggubalannya membuat rujukan ke situ. Bangsa Malaysia juga tidak sama dengan Bangsa Indonesia walaupun ia juga bertujuan menyatukan pelbagai kaum dan suku kaum. Rukun Negara juga tidak sama dengan Pancasila walaupun kedua-duanya itu mempunyai lima prinsip.
Malaysia tidak akan menjadi seperti negara lain walaupun ada sebahagian rakyat mengimpikan untuk mengubahnya bagi menjadi seperti negara lain. Rakyat negara ini wajar terima Malaysia seadanya, dan dari situ mengembangkannya untuk menjadi negara yang lebih baik, tanpa menyerupa negara lain.
Umpamanya, Jalur Gemilang adalah seperti The Star Spangled Banner, iaitu bendera Amerika Syarikat. Tetapi Jalur Gemilang tetap unik. Bulan sabit dan bintang berbucu 14 hanya ada pada bendera Malaysia.
Negaraku juga unik walaupun ia diilhamkan dari sebuah lagu rakyat rantau ini. Tetapi iramanya yang diubah suai dengan liriknya adalah unik, tidak serentak dengan mana-mana lagu kebangsaan negara lain.
Sistem raja berperlembagaan Malaysia juga unik. Ia tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana negara lain di dunia. Tetapi sehingga ini perlembagaan itu memberi kestabilan pada negara ini.
Jadi perkara pertama bagi warga negara ini untuk bersikap patriotik adalah menerima keunikan Malaysia, serta tidak dibanding-bandingkan dengan negara lain. Malaysia melangkah mengikut laluannya tersendiri.
Apabila dapat menerima seadanya, maka akan berlaku kesedaran bahawa dari segi geografi, Malaysia itu mempunyai wilayah di dua bahagian daripada benua Asia. Sebahagiannya terletak di hujung benua mega Asia-Eropah-Afrika yang dipanggi sebagai Semenanjung Malaysia. Sebahagiannya pula terletak di pulau Borneo. Pernah satu masa, bahagian ini dikenali sebagai Malaysia Timur. Kini ia dikenali sebagai Sarawak dan Sabah walaupun dalam dunia pelancongan ia disebut sebagai Malaysian Borneo.
Perjalanan sejarah adalah berbeza antara Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah. Tetapi keseluruhannya adalah satu negara yang terpisah oleh Laut China Selatan. Inilah keunikan Malaysia dan tidak wajar sesiapa mempertikaikan kesatuannya, atau hendak memisahkan antara kedua-dua bahagian itu.
Penerimaan Malaysia seadanya dan mengapresiasi keunikannya adalah sikap patriotisme yang tulen. Untuk melakukan imaginasi dengan Malaysia dalam bentuk lain adalah mencabar patriotisme yang sebenar.
Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah adalah suatu realiti. Begitu juga dengan kaum-kaum yang ada di dalamnya, Melayu dan kaum Bumiputera lainnya, Cina, India dan lain-lain.
Begitu juga realiti adanya pelbagai agama iaitu Islam, Kristian, Buddha dan Hindu yang mana perlembagaan telah memberi jaminan kebebasan kepercayaan walaupun Islam adalah agama rasmi.
Negara bangsa moden adalah konsep yang diwujudkan untuk memudahkan kehidupan warga negaranya. Segala simbol dan adat istiadat kenegaraan adalah berfungsi supaya negara bukan saja aman dan stabil tetapi dapat berkhidmat pada rakyatnya supaya hidup makmur.
Begitu juga dengan naratif sejarah nasional. Sejarah sebagai kajian adalah seperti ilmu pengetahuan. Ia berubah mengikut penemuan baharu atau interpretasi yang lebih segar oleh ahli-ahli sejarah. Seperti bidang kajian lain, interpretasi yang membentuk teori tentu boleh muncul dalam bentuk pelbagai. Asasnya adalah pada fakta seperti artifak, dokumen atau manuskrip. Tentulah ada masa rumusan ahli sejarah ini boleh menimbulkan rasa tidak senang pada sebahagian orang dalam waktu tertentu. Ia tidak sentiasa serupa sepanjang masa.
Tetapi naratif sejarah nasional mempunyai peranan tersendiri. Ia tidak semestinya sama dengan dapatan kajian terkini ahli sejarah. Peranan naratif sejarah nasional adalah untuk pembinaan negara bangsa.
Naratif sejarah nasional tetap berasaskan pada fakta dan kajian sejarah. Namun apa yang perlu dibesarkan atau dikecilkan dibuat atas pertimbangan kepentingan nasional. Maka menghormati dan mengapresiasi naratif sejarah nasional adalah patriotisme sebenar.
Tetapi tentulah dari masa ke masa, naratif sejarah nasional perlu diubah mengikut keperluan peredaran masa. Seperti meminda perlembagaan, pengubahan naratif sejarah nasional memerlukan masa dan perbincangan panjang,yang mana konsensus umum dapat tercapai.
Dalam pada itu, sikap yang perlu diambil adalah menerima Malaysia seadanya dengan segala keunikan yang dimilki. Dari situ, secara bersama, rakyat dapat membina suatu bentuk Malaysia Baharu.
Setakat ini, konsep paling penting yang perlu dipertahankan dan dihayati oleh rakyat negara ini ialah demokrasi. Konsep ini memberikan kebebasan pada warga negara dengan diimbangi oleh kesepakatan untuk mewujudkan masyarakat harmoni.
Sistem demokrasi berparlimen yang dilengkapi dengan kebebasan media wajar ditegakkan dan sentiasa dipupuk dalam kerangka idealisme kehidupan bernegara bangsa moden. Walaupun idealisme tulen tidak akan dicapai, usaha ikhlas ke arah itu akan mengukuhkan demokrasi di negara ini.
Penerimaan keunikan Malaysia wajar beserta dengan dokongan terhadap konsep demokrasi sebagai asas pada patriotisme yang juga berlandaskan pada tata cara hubungan sejagat masa kini di peringkat antarabangsa. Iaitu dengan menerima juga hakikat Malaysia hanyalah salah sebuah daripada 196 negara bangsa di dunia, yang setiap satu adalah juga unik.
Zin Mahmud adalah bekas wartawan Utusan Malaysia, Harian Watan dan Harakah. Pernah menerbitkan majalah Dunia Islam. Bukunya, Ideologi! Sebuah Memoir diterbitkan oleh Republik Buku. Kini beliau adalah kolumnis portal berita Free Malaysia Today dan akhbar mingguan Wilayahku.