Tentang Ciri-ciri Pengkhianat Melayu

“Pengkhianat!”

“Pengkhianat!”

“Pengkhianat Melayu!”

Nada seperti ini sudah lama bergemencar dalam kehidupan masyarakat kita. Kata-kata pengkhianat, pendusta dan perosak selalu ditaburkan pada mereka yang berlainan dari yang lain walaupun darahnya dari bangsa sendiri.

Namun, perkataan pengkhianat ini masih kabur kerana sebahagian dari kita gemar menghamburkannya tanpa memberi takrif dan memahami apa yang dimaksudkan oleh pengkhianat itu.

Oleh itu sorotan ini hadir setidaknya untuk menyatakan, menjelaskan lalu memperincikan apakah segi-segi pengkhianat Melayu agar ciri yang dahsyat ini dijauhi.

 Ciri-Ciri Pengkhianat Melayu

1.

Tidak malu pada kekurangan kepincangan dan kejahatan yang berlaku dalam masyarakatnya. Lebih teruk lagi mereka tidak malu pada kemunduran bangsa mereka sendiri. Misalnya, tidak malu pada jumlah 826,100 ribu orang yang menggangur, tidak malu pada tahap kesihatan masyarakatnya yang rendah sehingga diiktiraf sebagai negara obesiti, juga di saat mereka menganjurkan kahwin di usia muda, namun tak pernah memikirkan permohonan cerai sebanyak 24,063 kes juga yang terlibat dengan keganasan rumah tangga.

Tidak malu dengan jumlah 20, 223 individu terlibat dengan kes dadah, juga tidak malu dengan jumlah 55 peratus tahap literasi membaca yang secara puratanya hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun. Tidak malu pada kelompok rakyat Malaysia yang miskin dari segi materi dan kemudahan. Juga fasiliti kesihatan yang sangat teruk, tidak malu membuang sampah merata-rata dan sistem pelupusan sampah yang tidak efisien hingga memaksa sampah dibuang ke dalam sungai.

Paling malu ada kepimpinan dan penguasa yang hidup bermewah-mewahan menggunakan wang cukai rakyat disaat masyarakatnya sedang bertarung untuk makan seharian. Paling memalukan elit kepimpinan juga agama melihat sahaja kejadian ini tanpa berbuat apa-apa dan lebih kejam lagi menuding bahawa semua ini salah orang biasa. Ketidak maluan inilah suatu pengkhianatan.

2.

Tidak berpandukan landasan moral-etika yang universal dalam memikir dan mempertimbangkan persoalan kehidupan dan kemasyarakatan. Semisal harkat dan hak manusia, mengakui kesamarataan manusia tanpa ada perbedaan antara gender, ras, kelas darjat, keturunan serta memberikan dan mengiktiraf hak mereka masing-masing, menghormati hak dan kebebasan manusia untuk meyakini dan menjalankan kepercayaan dan kebudayaan masing-masing, menghormati waktu dan budaya setempat, tanpa ada keangkuhan memaksa ‘universal’ kepada kelaziman setempat dan, mengiktiraf dan menghormati kepelbagaian dan kerencaman umat manusia dan kebudayaan.

Namun, ini tidak diakur oleh si pengkhianat. Mereka menggunakan nama agama dan bangsa untuk menghalalkan caci maki, hina dan pembantaian pada kelompok lain. Semisalnya yang bukan seagama senang sahaja dianggap kafir sehingga tiada hak dan pengiktirafan kepada mereka, manakala yang berlainan bangsa dituduh pendatang dan senang saja disuruh pulang disaat-saat adanya pertelingkahan. Tidak menghormati kemanusiaan bersama inilah suatu pengkhianatan yang ditunjukan oleh segelintir Melayu dalam masyarakat kita.

3.

Tidak menghormati harkat manusia dan keutuhan masyarakat secara bersama. Antaranya tidak menghormati hak individu, tidak menghormati nyawa manusia, hak warganegara, hak demokrasi, perpaduan dan perlembagaan negara sebagaimana yang telah dipersetujui semua. Ketidakmahuan untuk memikul tanggungjawab untuk melaksanakan perkara-perkara tersebut juga sebagai pengkhianatan.

4.

Tidak akur dan tidak menghormati pada perundangan dan hukum hakam yang universal dan disepakati oleh masyarakat. Lantas, hukum itu menjadi abritari yang boleh diubah-ubah untuk kepentingan kelompok mereka. Malah, dari kalangan mereka yang bersalah dianggap tidak melanggar dan menceroboh undang-undang. Sehinggakan ada yang bersenkongkol dengan koruptor tanpa ada moral untuk menegur atau mengutuk perbuatan korupsi tersebut. Inilah suatu pekhianatan yang nyata.

5.

Sanggup membiarkam anak bangsanya tertindih lalu dipijak oleh kekejaman dari penguasa dalam dan luar. Selain dari korupsi, ciri pengkhianatan itu terserlah dengan membiarkan rumah tangga, saudara mara, jiran tetangga, malah masyarakatnya terjerat dengan ekonomi neo-liberalisme. Ekonomi tidak pernah menyantuni yang lemah sehingga ada yang berkerja melebihi gajinya dan ada yang gaji melebihi kerjanya. Kesemuanya mahu diswastakan dari kesihatan, sekolah, pekerjaan, kediaman, pinjaman pendidikan, air dan elektrik. Korporat menguasai ekonomi sepenuhnya dan manusia hidup untuk bersaing, yang lemah dan miskin diketepikan kerana dianggap salah sendiri dan malas. Politikus pula tidak membantu mereka hanya merebut untuk mendapatkan dana dan kuasa. Maka berlakulah pembayaran gaji rendah, kemudahan kesihatan yang lemah, sekolah yang tidak lengkap fasiliti, gelandangan-gelandangan di bandar bertambah. Kesemua malapetaka yang di atas berakibat dari kerja mereka yang mengkhianati bangsanya sendiri.

6.

Memalsukan sejarah untuk kepentingan kelompok mereka. Fakta yang tiada di ada-adakan, fakta yang serpih digembar gemburkan, bacaan sejarah yang ahistorical (membaca sejarah untuk kepuasan narsistik kepada kelompok mereka). Meromantiskan sejarah sehingga yang dilihat adalah hanya kegemilangan tapi bukan pula kepincangan dan kemelaratan dalam sejarah. Misalnya kegemilangan tokoh dan wira dan bukannya kerosakan rakyat dan negeri. Memalsukan sejarah juga termasuk pada bacaan dan penekanan yang terpilih, hanya satu sisi yang diangkat dan satu sisi lain dibenamkan akhirnya bagi mereka sejarah bukan menjadi teladan dan pertimbangan moral etika manusia tetapi menjadi satu wadah untuk memperpanjang kepentingan dan ideologi mereka. Inilah sisi pengkhianatan dalam ilmu dan pengetahuan.

7.

Cara berfikir yang tidak berpaksi pada akliah dan tanggungjawab sebagai manusia di bumi. Mereka memusuhi akal, tidak mahu menerima akal sebagai salah satu tanggungjawab yang harus dipergunakan. Merendahkan potensi manusia untuk berfikir, membangun, menerima dan menolak atas pertimbangan nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan yang sejagat. Contohnya pusat pendidikan tinggi, dibangunkan hanya untuk menghafal dan bukannya untuk berfikir. Sesiapa yang berfikir melihat merenung dan berhujah masalah masyarakatnya tidaklah dihargai malah dikeji atas alasan mahu menjatuhkan bangsanya sendiri. Ini jelas tidak menghormati akal diamanahkan ke atas manusia. Bukankah ini suatu pengkhinatan?

8.

Tidak adil. Mereka telah memalsukan makna keadilan malah membenamkan keadilan atas nama kepentingan kelompok mereka. Pertama, keadilan hanya boleh didirikan kalau ia berkait dengan kepentingan mereka. Kedua, keadilan yang dilaungkan dan ingin dimartabatkan hanyalah laungan kosong dan bersifat retorik., ertinya keadilan itu hanyalah sekadar hiasan untuk mengekalkan legitimasi kekuasaan. Tentu sahaja perundangan senang-senang digubal oleh mereka untuk menjamin apa yang mereka anggap sebagai adil. Kalau ini bukan pengkhianatan, apakah ia?

Semat-semat kain berlipat,

Jangan sampai benang tertarik,

Jangan-jangan lindungi pengkhianat,

Sampai bangsa tunggang terbalik.

Komen