Apabila menyebut ‘usahawan’, fikiran kita terlintas pada beberapa individu terkenal yang telah berjaya membina syarikat besar di negara ini.
Namun perlu juga diingat usahawan kecil dan sederhana di Malaysia yang turut berusaha untuk meningkatkan ekonomi negara dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Mereka mungkin terlibat dalam perniagaan kecil, perkhidmatan profesional atau pertanian dan ada juga yang berkecimpung dalam sektor digital dan teknologi.
Kerajaan Perpaduan komited dalam menggalakkan perkembangan usahawan tempatan dan meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing usahawan Malaysia di pasaran global.
Justeru penubuhan agensi seperti TEKUN Nasional di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi adalah satu usaha untuk memperkasa komuniti usahawan Malaysia.
Untuk tahun 2023 setakat 31 Oktober, TEKUN Nasional telah membantu 779 usahawan melalui Skim Pembiayaan Online Tekun dengan nilai biaya RM5.9 juta.
Sejumlah 581 usahawan lagi telah menikmati faedah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dengan jumlah nilai biaya RM2.6 juta.
Usahawan kraf juga mendapat manfaat dari inisiatif kerajaan melalui Skim Pembiayaan Usahawan Kraf berjumlah RM296,000 yang dimanfaatkan oleh 11 usahawan.
Manakala untuk Program Tekun Mobilepreneur, 731 usahawan telah dibantu dengan nilai bantuan berjumlah RM6 juta.
Adalah diharap bantuan pembiayaan ini dapat merangsang pembangunan ekonomi di kalangan usahawan kecil dan sederhana, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.