Makanya saya seorang rakyat Malaysia yang patriotik. Kita masih dalam bulan kemerdekaan sehinggalah tiba ke Hari Malaysia pada 16 September kelak. Oleh sebab saya seorang yang patriotik seAsia bolehkah saya menulis apa sahaja mengenai sejarah negara dan bangsa saya?
Katakan saya ada fakta. Bolehkah saya menjejerkan sahaja fakta yang saya ekstrak dari mana-mana teks sejarah, keratan jurnal, dan dapatan arkib?
Ilmu sejarah seperti ilmu lain ada disiplinnya. Salah satu buku bahasa Melayu yang boleh diterima sebagai landasan untuk kita bertatih belajar mengenai sejarah adalah tulisan Muhd Yusof Ibrahim berjudul ‘Ilmu dan Sejarah: Falsafah Pengertian, Kaedah dan Pensejarahan’ (1997). Buku ini membincangkan bermacam-macam aspek falsafah sejarah, konsep objektif dan subjektif, pensejarahan, dan perkembangan sejarah sehingga membolehkan kita menafsirkan sesuatu peristiwa atau gejala. Untuk membina aspek-aspek ini, Yusof seorang sejarawan tersohor merumuskan pelbagai kaedah dan teknik penyelidikan sejarah daripada nama-nama besar dalam bidang ini antara lain seperti Louis Gottschalk, RG Colllingwood, J.B Burry, E.H Carr, Ibn Khaldun, Karl Marx, Erik Lund, Herbet Butterfield, G.P Gooch, Karl Jaspers, dan Theodore S. Hamerow yang mana nama-nama ini akan terjelma dalam semua bibliografi tesis-tesis sejarah peringkat doktorat (sekarang oleh mengejar KPI Universiti Penyelidikan hal ini kelihatan sangat terabai).
Aspek-aspek pendekatan, pemahaman dan pensejarahan ini malangnya selalu diabaikan oleh pakar sejarah jadian di medsos. Hanya setelah habis khatam aspek di atas barulah seseorang itu akan dibenarkan Profesornya untuk turun ke lapangan demi bermain dengan ‘data’, ‘fakta’, ‘dapatan’, ‘sumber’ dan ‘rujukan’.
Apabila kita beroleh sesuatu bahan atau dapatan yang ingin kita hujahkan sebagai sejarah apakah yang mesti kita lakukan? Terlalu banyak. Akan tetapi dalam kesempatan yang terhad, saya hanya akan menitipkan beberapa sahaja untuk kita mengenal pakar sejarah jadi-jadian di medsos.
1. Kaedah kritis. Terdapat banyak kaedah kritis terhadap bahan atau dapatan sejarah yang diperolehi. Adalah mustahil untuk meringkaskan seluruh silibus sejarah di universiti (empat tahun di peringkat sarjana muda, tiga tahun di peringkat sarjana dan empat hingga lima tahun lagi di peringkat doktorat) di halaman ini. Akan tetapi kaedah kritis ini hanya, saya ulang – hanya – dikuasai setelah melalui satu pengalaman dan latihan penyelidikan yang berulang kali. Dalam hal ini Muhd Yusof Ibrahim dalam ‘Ilmu dan Sejarah: Falsafah Pengertian, Kaedah dan Pensejarahan’ menulis begini:
‘…sejarawan mempunyai sikap berhati-hati dan sentiasa mengutamakan hasrat dan usaha mencari serta mewujudkan kebenaran sejarah. Walaupun kebenaran sejarah itu sendiri bukanlah sesuatu yang mutlak dan tetap, namun usaha mencari apa yang boleh dianggap sebagai munasabah kesejarahannya haruslah menjadi keutamaannya. Di samping itu, latihan, pengalaman dan kadang-kala kelulusannya dalam disiplin sejarah juga memang merupakan perkara yang diperlukan dalam hal menangani kaedah sejarah yang kritis. Perkara-perkara ini bukan sahaja memberikannya ilmu pengetahuan tetapi memberikan pula keyakinan kepadanya dalam menjalankan penyelidikan. Dari segi kaedah itu sahaja, perkara ini akan mempertajamkan lagi kefahamannya dan sekaligus keupayaannya melaksanakan penyelidikannya yang kritis itu.’ (170).
Muhd Yusof sangat menekankan seseorang yang boleh digelar sejarawan itu mempunyai kelulusan dari segi sejarah, beliau menekankan hal ini begini;
‘Dalam pada itu, kelulusan, latihan dan pengalaman seperti yang telah disentuh, merupakan perkara yang tidak seharusnya dipandang ringan. Sebaik-baiknya sejarawan wajarlah mempunyai kelulusan yang baik, terlatih terutamanya dari segi kaedah sejarah dan berpengalaman dalam melaksanakan penyelidikan.’ (171).
2. Seorang sejarawan akan menyatakan sumber rujukan yang digunakan, tokoh yang dirujuk, lokasi perolehan, dan apakah sumber itu sumber pertama atau kedua; atau apakah ia sumber lisan, atau didapati dari artifak dan prasasti. Semua itu pula ada tatacara dan teknik membongkarnya dan tidak mudah dilakukan dengan petik sana dan kutip sini lalu ditabur di Facebook, atau Twitter sebagai satu thread demi mendapatkan likes atau RT yang banyak. Semua sumber-sumber yang disebutkan di atas pula terdapat definisinya yang tidak akan dapat dikemukakan di sini.
3. Apabila kita beroleh sesuatu yang ingin kita hujahkan sebagai fakta, paling penting adalah fakta itu disaring terlebih dahulu. Fakta tidak disaring bukanlah fakta. Ini bagi mengelakkan fakta kita itu umpama fakta Mak Cik Kiah, Abah Din, atau Pak Su Zarul yang dijaja dari grup Whatsapp atau Telegram. Fakta yang kita ingin pegang haruslah objektif di mana ia, saya petik saranan Muhd Yusof sebagai; ‘sesuatu yang benar tanpa adanya unsur yang subjektif seperti sentimen memihak, pengadilan moral, motif dalam diri dan sebagainya.’ (190).
Misalnya seorang pemuja Anwar Ibrahim pasti akan memihak kepada fakta yang memenangkan Anwar, manakala seorang ahli parti burung Hud-hud pastinya akan mempunyai pertimbangan moral yang bukan berdasarkan al-Quran dan hadis tetapi berasaskan wala’, maqasid syariah dan ijtihad tebuk atap. Apa yang didatangkan oleh mereka tidak dapat dianggap sebagai fakta yang ‘terbukti kebenarannya’ (190). Fakta-fakta ini kemudian mestilah diuji dengan ‘teliti mengikut aturan-aturan kaedah sejarah’ (192). Fakta ini kemudian diturunkan kembali dan ‘dicatatkan seperti sebenarnya berlaku’ (192).
Kemudian, fakta itu akan dihujahkan sebagai satu lambang yang mana ia adalah ‘tulang belakang’ atau ‘nadi kesejarahan’ (196). Sebagai contoh, tarikh 1511 akan dijadikan lambang sebagai tahun kejatuhan bangsa Melayu di tangan Barat. Ia telah menjadi satu fakta sejarah.
Harus diingat, bukan semua peristiwa adalah fakta. Untuk menentukan apakah peristiwa itu fakta atau tidak seseorang itu mestilah kembali kepada proses pertama iaitu menjalani latihan, pengalaman, penyelidikan kerap dan kelulusan sehingga dapat digelar sejarawan.
Kita tidak memanggil seseorang doktor haiwan hanya kerana dia cekap menggunting bulu dubur anjing, arif mengetip kuku kucing, dan berani menukar air ikan dalam akuarium.
4. Salah satu langkah penting yang lain ialah apa yang dinamai sebagai penyeluruhan. Hal ini sangat penting kerana seseorang itu akan menganalisa dari semua sudut dan segenap penjuru. Terdapat pantang dalam langkah ini kalau-kalau seseorang itu melakukan generalisasi. Sebagai contoh dihujahkan misalnya yang ‘zaman kesultanan Melayu Melaka itu unggul oleh keislamannya’. Dakwaan ini tentulah salah apabila kita membuktikan perangai raja-raja Melayu yang zalim, Hang Tuah yang juara minum tuak, Tun Perak yang mengabaikan keadilan sosial, dan perlakuan rasuah, zina, rompak-samun dan khianat sesama bangsawan. Maka dakwaan Melaka itu unggul oleh Islamnya pasti meleset dengan teruk di sini. Datangkanlah mana-mana nenot atau tun suhana sekalipun, generalisasi bukan fakta sejarah.
Penyeluruhan ini juga sangat penting kerana satu fakta yang kita kemukakan sebagai fakta sejarah itu sebenarnya hanyalah, meminjam Muhd Yusof, ‘fakta kecil’ yang terdapat aspek atau fakta lain yang harus dipertimbangkan kerana ‘sokong-menyokong antara satu sama lain sehingga membolehkan pengkaji mengambil keputusan serta melakarkan sebuah penyeluruhan…’ (199).
Di pihak saya, misalnya saya melazimi melakukan rujuk silang. Sebagai contoh, apabila saya membuat satu penyelidikan mengenai sejarah minoriti Syiah di Malaysia, terdapat seorang penganut Syiah di Kelantan yang mendakwa dia sudah menjadi seorang Syiah jauh sebelum tahun 1979 dan moyangnya melarikan diri dari Turki lantaran dasar percukaian berat sebelah kerajaan Ottoman. Oleh sebab ini adalah satu sumber lisan, saya tidak dapat menerimanya bulat-bulat melainkan memastikan kebenaran bahawa memang terdapat diskriminasi ekonomi terhadap minoriti Syiah oleh penguasa tempatan Ottoman di Syria, Lubnan, Palestin dan Anatolia. Selepas membongkar dan menemui buku-buku sejarah yang menjelaskan hal itu barulah saya dapat menerima pakai dakwaan penganut tersebut, sambil memastikan lojikanya dari segi tarikh dan lain-lain.
5. Yang paling seru dalam disiplin sejarah ialah sesuatu fakta sejarah tidak lagi menjadi fakta, yakni fakta itu boleh berubah, apabila ‘terdapat sumber-sumber rujukan baru yang juga sahih atau yang lebih sahih dan yang akan memberikan maklumat atau fakta baru pula kepada sesuatu peristiwa yang telah sekian lama dianggap benar atau betul dari segi kesejarahannya. Ertinya, sumber-sumber baru itu boleh menafikan kebenaran sejarah yang telah dikemukakan melalui sumber-sumber yang lebih awal.’ (200).
Oleh sebab itu, sebagai khalayak di medsos kita harus memerhatikan adakah fakta yang disuguhkan kepada kita itu fakta yang lapuk, basi dan sudah tertolak atau ia fakta yang telah memansuhkan fakta sebelumnya. Bacaan terhadap Batu Bersurat Trengganu oleh Syed Naquib al-Attas misalnya dapat dikatakan terjejas keutuhannya oleh bacaan baru daripada Ahmat Adam.
Masih banyak lagi aspek yang harus ditekuni dalam hal menerima atau menyanggah fakta sejarah di medsos. Seperti yang saya nukilkan lebih awal, ia mustahil untuk diungkapkan dalam halaman kecil ini. Akan tetapi satu hal yang amat penting kita maklumi ialah, akan terdapat orang berbohong atas nama sejarah dengan agenda atau kepentingan tertentu.
Penyelidikan sejarah misalnya boleh menjadi tidak objektif sekiranya ia didanai oleh pihak tertentu. Katakan seseorang itu mendapat dana daripada Rina Harun, tentu ia akan menulis satu kajian sejarah yang mengangkat ketokohan Rina sehingga terpancar keanggunan dan kebolehannya memimpin kementerian beliau.
Pembohongan dan pemalsuan atas nama sejarah ini amat dikecam oleh semua sejarawan. Muhd Yusof menulis begini tentang orang yang menipu atas nama sejarah:
‘…nilai kesejarahan karya kita akan pupus dan yang terserlah hanyalah kepalsuannya yang seterusnya menggambarkan pula kebohongan tindak-tanduk penyelidikan kita kerana telah berusaha menggunakan peristiwa ataupun kejadian-kejadian di dalam sejarah itu untuk sesuatu kepentingan. Oleh itu, kata orang tua-tua kita, hubaya-hubayalah.’ (273)
Terlalu banyak lagi yang perlu diketengahkan akan tetapi wadah ini bukan tempat yang adil untuk menghuraikan sebuah disiplin ilmu yang luas dan sudah berakar beribu tahun lamanya.
Moga-moga tazkirah pendek ini akan mendatangkan keinsafan buat semua kita, termasuklah saya. Sesungguhnya ilmu sejarah adalah suatu ilmu yang mencabar, berdisiplin, punya kaedah dan pendekatan serta bermatlamat. Seorang sejarawan bukan sekadar patriotik tetapi mestilah juga jujur.
Moga-moga tercerahkan.

Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.