PAGI itu, sekumpulan pelajar perubatan tahun akhir menuju ke jabatan psikiatri Hospital Terendak untuk menemu bual pesakit-pesakit yang mempunyai temu janji dengan doktor psikiatri yang berpengalaman, Doktor Syafiq.
Pesakit- pesakit di Hospital Terendak tidak begitu ramai jumlahnya jika dibandingkan dengan Hospital Kuala Lumpur namun di hospital ini, Doktor Syafiq lebih banyak menguruskan kes-kes yang melibatkan tekanan jiwa di kalangan askar-askar atau lebih dikenali sebagai military psychiatry.
Wardah dan rakan-rakannya memulakan pagi mereka seperti biasa. Mereka memandang sekeliling untuk mencari pesakit-pesakit yang boleh ditemu bual untuk menyiapkan tugasan mereka. Setiap pelajar perubatan perlu menghantar satu tugasan untuk setiap dua minggu dan mereka perlu menghantar dua tugasan pada minggu terakhir posting mereka.
Wardah bukanlah seorang yang gemar akan posting Psikiatri kerana baginya, Psikiatri merupakan satu bidang yang kompleks kerana penyakitnya berkaitan dengan minda. Hal ini berbeza dengan bidang-bidang lain di mana kebanyakan penyakit menunjukkan simptom-simptom yang jelas. Namun, pelbagai penilaian masih diperlukan sebelum seseorang pesakit itu dirawat. Hal ini diaplikasikan dalam dunia perubatan walau dalam bidang apa jua sekalipun.
Jam menunjukkan pukul 9.00 pagi, namun pesakit yang hadir setakat itu hanyalah seramai lima orang. Wardah membiarkan rakan-rakannya yang lain menemu bual pesakit-pesakit yang hadir. Dia memilih untuk duduk di bahagian belakang kerusi panjang, bersebelahan dengan akuarium kecil di sudut dinding klinik itu. Wardah menyelak helaian demi helaian buku biru “Psychiatry for Undergraduate Examinations” oleh Dr. M. Swamenathan. Dia mula menelaah salah satu tajuk penyakit psikiatri di halaman 60, Schizophrenia.
Sedang asyik Wardah membaca untuk memahami tajuk itu, dia mendengar bunyi tapak kasut yang seakan-akan menghampirinya. Namun bunyi itu tiba-tiba terhenti dan dia dapat melihat sepasang kasut merah bertumit rendah yang berada bersebelahan kakinya. Hatinya mula berdebar. Dia bimbang sekiranya orang yang berada di sebelahnya adalah sama dengan deskripsi seperti dalam buku yang dibacanya. Wardah bingkas mendongak dan menoleh ke sebelah kanannya. Dia melihat seorang wanita Melayu berbaju kurung berwarna coklat muda sedang senyum ke arahnya. Garis-garis halus dapat dilihat di sekeliling matanya dan dahinya. Wardah meneka bahawa wanita itu mungkin dalam lingkungan usia lewat 40-an, sama seperti ibunya.
Wanita itu menghulurkan tangan kanannya untuk bersalaman dengan Wardah. Dia menyambut dan mengucup tangan wanita itu sebagai tanda hormat kepada orang yang lebih dewasa.
“Nama mak cik, Rohani. Panggil Mak Cik Ani je. Anak ni nama apa?” Soal wanita itu memecahkan suasana sunyi di antara mereka berdua.
“Saya Wardah mak cik. Pelajar perubatan dekat sini,” jawabnya ringkas.
Mak Cik Ani membetulkan tudung yang dipakai ala-ala Neelofa itu sementara Wardah pula mengeluarkan buku nota kecil dari poket kiri white coat yang dipakainya. Dia mencapai pen hitam Stabilo kegemarannya dan bersedia untuk mencatat butiran-butiran yang bakal dinyatakan oleh Mak Cik Ani.
Wardah memberanikan diri untuk bertanya Mak Cik Ani walaupun dirinya masih kurang berani untuk menemu bualnya secara bersendirian.
“Umm, mak cik.. boleh saya tahu kenapa mak cik datang kat klinik ni hari ni?” tanya Wardah dengan nada suaranya yang lemah lembut.
Mak Cik Ani menoleh ke arahnya sambil tersenyum. “Oh, mak cik memang dah lama dah datang sini. Dah dekat 16 tahun dah.” Balas Mak Cik Ani.
Wardah agak terkejut mendengar pernyataan itu, namun dia cuba mengawal reaksi mukanya agar tidak menggores hati Mak Cik Ani.
“Lama jugalah ya mak cik datang sini.” Wardah bersedia untuk bertanya soalan yang seterusnya kepada mak cik itu.
“Boleh tak mak cik cerita dekat saya apa yang menyebabkan mak cik kena jumpa doktor kat sini ya?”
“Boleh je nak.” Mak Cik Ani membetulkan kedudukannya dan bersedia untuk mengimbau kembali kisahnya.
“Macam ni, dulu masa mak cik muda-muda dulu, mak cik pergilah teman kawan mak cik seorang ni. Kawan mak cik tu sakit, dia stress memanjang. Pergilah teman dia jumpa bomoh, sejak hari tulah juga mak cik pula yang kena.” Mak Cik Ani bercerita dengan bersungguh-sungguh.
Dia menyambung lagi ceritanya, “Sejak tulah juga mak cik dah tak suka bergaul dengan jiran-jiran mak cik. Duduk kat rumah je rasa selamat sikit.”
Wardah mula bingung. Dia agak keliru dengan cerita yang didengarinya.
“Mak cik, saya tak fahamlah. Kan mak cik cakap mak cik pergi teman kawan mak cik kan, lepas tu mak cik terus kena penyakit ni. Terus mak cik tak suka bergaul dengan orang?” soal Wardah bagi mendapatkan kepastian.
“Ya, betul. Mak cik tak suka pergi tempat ramai orang sebab nanti mak cik rasa tak sedap hati. Rasa macam gelisah macam tu. Sebab tu kalau kenduri mak cik tak boleh duduk lama, sekejap je, lepas tu memang mak cik nak balik rumahlah.”
Kata-kata mak cik itu membuatkannya berfikir sejenak. Dia cuba berfikir beberapa soalan penting yang perlu ditanya untuk merungkaikan kekeliruannya. Tiba-tiba, Wardah teringat sesuatu.
“Ooo.. macam tu.. tapi kenapa ya mak cik tak boleh pergi tempat orang ramai?”
“Entahlah nak, tapi mak cik takut juga duduk sorang-sorang. Bila pak cik pergi kerja dan anak mak cik tu pergi sekolah, memang mak cik rasa susah sangat. Tak boleh nak buat apa. Kerja rumah tak boleh buat. Baring pun tak kena.”
“La, yeke.. sampai macam tu sekali ya mak cik. Tapi mak cik tahu tak apa yang menyebabkan mak cik rasa macam tu?” soal Wardah menunjukkan minatnya terhadap cerita Mak Cik Ani.
“Perasaan tu tiba-tiba je datang. Mak cik pun tak tahu kenapa. Kadang-kadang tu mak cik kena telefon kakak minta teman mak cik dekat rumah. Kesian kakak mak cik, kena layan mak cik ni haa,” balas Mak Cik Ani. Riak wajahnya menunjukkan sedikit kekesalan, mungkin memikirkan dirinya yang telah menyusahkan ahli keluarganya.
Namun, dia mula teruja apabila Mak Cik Ani menyebut mengenai perasaan gelisahnya itu yang muncul secara tiba-tiba. Dia mula membelek helaian DSM-5 yang berada di sisinya.
Dia membaca satu per satu simptom-simptom yang disenaraikan di halaman muka surat itu. Dia mula berasa yakin untuk bertanya soalan yang seterusnya.
“Mak cik, bila perasaan gelisah tu datang kan, ada tak mak cik rasa macam dada berdebar-debar ke, rasa berpeluh ke, seram sejuk ke….”
Belum sempat Wardah menghabiskan ayatnya, Mak Cik Ani mula menyampuk.
“Bukan setakat tu je, macam-macam mak cik rasa. Pening ada, sakit mata ada. Nak tidur pun susah. Mula-mula tu memanglah mengantuk kan, tapi bila dah baring tu hilang semua. Mak cik dah cuba juga ubah tempat tidur tapi macam tulah, tak jalan juga,” tutur Mak Cik Ani lancar.
Wardah mendengar cerita Mak Cik Ani sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia menandakan setiap simptom yang dialami oleh mak cik itu. Bagi mengukuhkan lagi hujahnya, Wardah mula bertanya sekiranya Mak Cik Ani mempunyai masalah pemakanan. Setelah diselidik, didapati bahawa Mak Cik Ani sememangnya kurang selera makan kerana dia akan berasa tercekik setiap kali ingin makan. Dia juga perlu berdiri dan berjalan di sekeliling rumahnya bagi memastikan nasi yang dimakannya dapat ditelan.
Perkara yang paling mengganggu wanita itu adalah apabila dia mengalami perasaan takut akan mati yang melampau terutamanya apabila mendengar bunyi gagak atau siren. Dia juga selalu memberitahu suaminya bahawa dia ingin ke suatu tempat di mana manusia tidak akan mati. Sekiranya berlaku kematian di kawasan kampungnya, dia lebih rela untuk tinggal di rumahnya sahaja. Perasaan ini muncul setelah kematian anak lelaki tunggalnya yang ketika itu berusia 24 tahun dan keadaannya juga menjadi semakin teruk semenjak itu. Anak perempuannya juga terpaksa berhenti kolej sejak dua tahun yang lalu setelah mendapati keadaan ibunya menjadi semakin parah.
Namun, Mak Cik Ani tidak pernah berfikir untuk mencederakan dirinya atau orang lain. Belum sempat Wardah bertanya mengenai lebih lanjut tentang latar belakang keluarganya, pintu bilik Doktor Syafiq dikuak luas.
“Rohani Yusuf, sila masuk.” Mak Cik Ani bingkas bangun dari tempat duduknya. Wardah meminta izin daripada Mak Cik Ani untuk turut serta masuk ke dalam bilik doktor itu. Mak Cik Ani mengangguk sambil tersenyum.
Mak Cik Ani masuk mendahuluinya. Sambil memberi salam kepada Dr. Syafiq, Wardah menjeling ke arah fail yang berada di atas meja Dr. Syafiq. Sangkaannya tepat. Di bahagian diagnosis pesakit, tertulis panic disorder and agarophobia.
****
Serangan panik (panic attack) adalah perkara normal yang berlaku kepada semua orang. Tak kiralah jika anda bakal menjadi isteri kepada suami pujaan ramai, ingin mendapat keputusan exam atau nak buat bungee jumping, semestinya anda akan nervous. Namun, apabila serangan ini mengganggu fungsi kehidupan seharian, atau hubungan dengan orang lain seperti apa yang berlaku kepada Mak Cik Ani, anda akan didiagnos mengalami panic disorder.
Berdasarkan DSM-5:
Panic disorder / kecelaruan panik adalah serangan panik yang berulang-ulang (dan memerlukan empat atau lebih daripada simptom-simptom di bawah: )
1. Dada berdebar-debar
2. Berpeluh
3. Menggeletar
4. Rasa sesak nafas
5. Rasa tercekik
6. Sakit dada
7. Loya atau perut kurang selesa
8. Rasa pening, atau pitam
9. Rasa sejuk atau panas
10. Rasa kebas
11. Rasa bukan diri sendiri atau alam bukan realiti
12. Takut hilang kawalan atau menjadi ‘gila’
13. Takut mati
Agarophobia pula boleh didefinisikan sebagai perasaan takut yang dialami dalam situasi di mana pesakit merasakan mereka akan terperangkap dan sukar untuk melarikan diri. Perkara ini juga selalu berlaku kepada mereka yang mengalami panic disorder. Mereka juga akan cuba mengelak situasi-situasi seperti:
• menggunakan pengangkutan awam (bas, kapal terbang, kereta api)
• berada di tempat awam (parking lots, pasar)
• berada di tempat tertutup (kedai, panggung wayang)
• beratur atau berada di kawasan yang ramai orang
• berada di luar rumah secara bersendirian
Seperti dalam situasi Mak Cik Ani, dia sudah lama mengalami masalah panic disorder dan agoraphobia. Keadaannya juga menjadi semakin teruk apabila Mak Cik Ani kehilangan anaknya dalam satu kemalangan jalan raya.
Namun, terdapat juga penyakit-penyakit lain yang boleh menyerupai simptom-simptom yang dinyatakan. Sebagai contoh, seorang pesakit yang mengadu dadanya berdebar-debar, dan badannya berpeluh perlulah melakukan beberapa investigation yang penting bagi memastikan dia tidak mengalami serangan jantung. Sekiranya semua ujian untuk rule out penyakit telah dilakukan dan keputusannya adalah normal, barulah pesakit akan dirujuk kepada doktor psikiatri.
Tulisan Dr Amalina Syafiqah Zakaria ini ada di dalam DIAgnosis 4: Delusi.