Tahun 2020 akan terpahat dalam sejarah moden kehidupan manusia sebagai tahun yang cukup mencabar dan getir. Kehidupan kita diancam pandemik wabak Covid-19 yang sehingga kini masih terus mengganas dan belum ada sebarang tanda vaksin untuk virus ini sudah ditemukan. Manakala bilangan kematian yang direkodkan pula terus meningkat pada setiap hari. Jelas sekali virus yang kejam ini langsung tidak mengenal agama, bangsa, pangkat dan darjat. Malah, baik negara maju, membangun mahupun miskin semuanya menjadi mangsa virus ini.
Justeru bukan sedikit pengorbanan yang dituntut untuk kita meneruskan kehidupan termasuk meneroka dan menjalani kehidupan dalam kebiasaan yang baharu. Bagi umat Islam negara ini misalnya, antara pengorbanan besar yang pasti akan dikenang sampai bila-bila ialah, wabak ini menyebabkan kita tidak dapat rentas negeri dan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tempoh hari. Ini tidak pernah berlaku di negara kita. Wabak ini memaksa kita mengorbankan detik indah menyambut lebaran bersama sanak saudara di kampung halaman yang telahpun menjadi tradisi turun temurun.
Malah umat Islam juga terus diuji apabila tidak dapat menunaikan ibadah haji pada tahun ini juga kerana wabak Covid-19. Ini satu lagi pengorbanan besar yang perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam walaupun terlalu berharap dapat menjejak kaki ke Tanah Suci. Sudah tentu setiap umat Islam memasang impian untuk menjejak kaki ke Tanah Suci sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat. Dalam hal ini, sudah semestinya bakal jemaah yang telah menerima surat tawaran ke Tanah Suci merupakan antara individu yang paling sedih dan tidak dapat menerima kenyataan ini. Hal ini kerana pada tahun hadapan belum tentu kita dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik untuk menunaikan ibadah haji. Malah pihak Tabung Haji sendiri telah mengumumkan tiada sebarang jaminan bahawa 31,600 jemaah yang terpaksa menangguhkan ibadah haji tahun ini akan layak secara automatik menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun depan. Namun apakan daya semuanya sudah tertulis dan kita tidak mungkin melawan qada dan qadar yang telah ditentukan. Mujur sekurang-kurangnya kita terus dibenarkan untuk menunaikan ibadah korban dan menyambut hari raya korban walaupun perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang cukup ketat.
Ironinya apa yang berlaku pada tahun ini pasti akan dikenang sampai bila-bila oleh seluruh umat manusia di seantero dunia. Tidak siapa membayangkan dalam dunia yang serba moden ini, kita secara tiba-tiba diancam dengan wabak yang begitu dasyat sekali sehingga hampir semua negara di dunia terpaksa melaksanakan perintah berkurung atau perintah kawalan pergerakan. Virus yang tidak kelihatan pada pandangan mata kasar ini muncul sebagai ancaman yang terbesar kepada manusia.
Walaupun serangan virus ini tidaklah terlalu mengejutkan kerana sebelum ini kita pernah diserang dengan pelbagai virus lain, namun impak virus Covid-19 kepada kehidupan manusia dilihat terlalu besar dan mencakupi segenap kehidupan kita. Misalnya, sehingga kini bilangan yang maut akibat wabak ini masih terus meningkat dan membimbangkan, ekonomi dunia pula terus terumbang ambing dan ramai yang sudah hilang pekerjaan atau menjadi penganggur.
Justeru wabak in bukan saja menyediakan begitu banyak pengajaran dan iktibar kepada kita, tetapi turut menuntut pengorbanan yang besar demi survival kehidupan kita. Pelbagai kebebasan yang dinikmati sebelum ini misalnya, terpaksa dikawal dan dihadkan. Kita juga perlu berjimat cermat, tidak boleh lagi berbelanja sakan atau berfoya-foya dengan pendapatan yang ada kerana kita tidak tahu bila keadaan ekonomi dunia akan pulih kembali.
Malah kalau sebelum ini kita tidak terlalu menitikberatkan amalan penjagaan kesihatan, sekarang kita perlu memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan serta kerap mencuci tangan agar bukan saja kita tidak dijangkiti virus ini, malah kita juga tidak menjadi agen penyebarannya kepada orang lain.
Jadi secara prinsipnya, kalau sebelum ini hanya pada ketika sambutan hari raya korban baru kita akan bercakap tentang budaya pengorbanan, pada tahun ini sejak awal tahun lagi kita dipaksa berkorban oleh wabak ini. Jelas sekali tempoh pengorbanan kita pada tahun ini akan menjadi suatu tempoh yang paling panjang dalam sejarah hidup kita. Malah pengorbanan ini juga menuntut perubahan sikap dan tingkah laku kita secara total, misalnya kita perlu lebih bertanggungjawab, jujur dan bersama-sama menjaga kesihatan serta keselamatan diri dan juga anggota masyarakat yang lain.
Tuntasnya, sempena hari raya korban ini, marilah kita bermuhasabah diri, insaf dan ambil iktibar serta pengajaran dengan fenomena global yang sedang kita hadapi ini. Serangan wabak ini menyediakan ruang yang begitu luas untuk kita menyedari hakikat betapa manusia tidak mungkin sunyi dan sepi dari ujian dan pengorbanan. Tahun 2020 sudahpun menjadi tahun yang menuntut pengorbanan yang besar dari kita semua. Selamat menyambut hari raya korban dan teruslah berkorban untuk agama, bangsa dan negara.
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).