Saya masih ingat ketika kecil, arwah atuk pernah menceritakan pada saya pengalaman beliau menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika zaman perang, bermula dari Perang Dunia Ke-2 pada tahun 1941 disusuli pula dengan Darurat sejak 1948 ke 1960 dan seterusnya bersambung pula dengan Konfrontasi dari tahun 1963 hingga 1966.
Setiap hari raya pada zaman itu ada yang meriah dan ada juga yang disambut ala kadar sahaja. Menurutnya, Aidilfitri tahun 1941 adalah yang terakhir diraikan dengan suasana keamanan kerana pada tarikh 22 Oktober 1941 iaitu jatuhnya 1 Syawal, api perang dunia masih belum merebak ke Malaya. Tetapi selepas Jepun mendarat di Kota Bharu tanggal 8 Disember tahun yang sama, hari raya berikutnya berubah kepada lebih sederhana. Dengan tahun silih berganti dan kesan perang mula mendatangkan tekanan yang berat buat rakyat, Aidilfitri makin lama disambut makin ala kadar.
Begitu juga sambutan raya ketika Darurat memuncak dan juga apabila Konfrontasi sedang hangat. Ada masanya ia disambut meriah, tapi ada masanya juga ia disambut sekadar mengikut apa yang boleh ketika itu. Kekangan situasi perang menyukarkan hari raya diraikan semeriah yang dimahukan.
Itu kisah atuk saya yang hidup di zaman perang dan detik awal terbentuknya Malaysia. Saya kira, hanya ketika dekad 1970-an dan seterusnya barulah dia dapat merasakan Aidilfitri yang aman dan bebas dirayakan semahu mungkin. Tiada lagi kekangan atau halangan, sebaliknya berayalah sepuas hati.
Rata-rata antara kita pula, ramai yang sejak lahir sudah boleh merayakan Aidilfitri dengan penuh kemeriahan dan kebebasan. Tiada sekatan bagaimana kita mahu beraya. Boleh balik kampung, boleh solat jemaah di masjid, boleh menziarah pusara kubur atau rumah saudara mara dan boleh berkumpul seramai mana pun di majlis rumah terbuka dan sebagainya. Raya selama yang kita kenali ialah pesta yang bebas dirayakan ikut nafsu serakah atau pun kemampuan sendiri.
Tetapi tahun ini, Syawal kita tidak lagi sama dengan tahun sebelumnya. Kali ini, Syawal kita terpaksa dirayakan di mana kita diam. Tiada perjalanan balik kampung, tiada solat jemaah sunat Aidilfitri di masjid, tiada ziarah ke pusara nenek moyang atau juga ke teratak saudara mara dan tiada perkumpulan di rumah terbuka. Semuanya berlaku kerana kita juga, seperti atuk nenek kita dahulu kini sedang berdepan dengan zaman perang.
Ya, walaupun damai tanpa letupan bom atau sebagainya, kita sebenarnya masih lagi berperang cuma kali ini kita berdepan dengan musuh yang tidak dapat dilihat. Musuh yang bukan manusia tetapi virus yang mencetuskan wabak pandemik lantas menuntut kita berkorban norma lama untuk menerima pakai norma baharu.
Dan norma baharu ini menuntut serta mengajar kita untuk beraya di mana kita berada tanpa perlu balik kampung, solat bersama keluarga di rumah sendiri, menziarahi saudara mara di dalam talian komunikasi atau sekadar bersedekah doa buat arwah saudara dari jauh dan berhenti menggilai majlis rumah terbuka. Mungkin sukar untuk sesetengah dari kita menerima realiti hari raya norma baharu ini, tetapi begitulah hakikatnya.
Mahu atau tidak, kita tiada pilihan. Tetapi jika merasakan norma baharu ini telah menafikan kita beraya ikut kebiasaan, fahamilah masih ada kebaikannya untuk kita.
Sebagai contoh, dengan tidak pulang ke kampung kita belajar berjimat duit selain raya kali ini juga menyaksikan tiada lagi peningkatan kemalangan maut yang menjadi rutin tahunan hari raya. Bersolat jemaah di rumah mengajar kita menjaga hubungan erat sesama keluarga, selain dari mereka yang dilantik menjadi imam keluarga dapat merasa mengimamkan solat sunat yang mungkin tidak ramai pernah merasainya. Berhubungan dalam talian juga mengajar kita untuk lebih menghargai ketiadaan ahli keluarga dan saudara, supaya nanti bila berjumpa kita serik untuk hanya bermain telefon tanpa benar-benar meluangkan masa.
Ya, di sebalik norma baharu, ada kebaikan dan faedah baharu untuk kita. Pun begitu, kebaikan yang paling besar ialah mencegah dari terus merebaknya wabak pandemik COVID-19 dengan Syawal norma baharu yang diamalkan.
Kita terpaksa berkorban raya tahun ini demi memastikan raya tahun berikutnya dapat kita raikan dengan lebih bermakna.
Sekurangnya kita boleh bersyukur kerana dalam ‘peperangan ini’, kita mungkin tidak memakan masa yang terlalu lama untuk menang. Setidaknya bukan seperti arwah atuk saya yang beraya ketika perang dengan ala kadar.
Maka, raikanlah Syawal norma baharu dan semoga kita beroleh kemenangan kelak.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.