Bila ada golongan membuat lucu pasal bangsa Melayu, saya malas ambil ‘pot’.
Kenapa? Sebabnya golongan itu barangkali belum kenal Melayu ini bagaimana. Mungkin mereka belum tahu kekuatan bangsa ini. Sekali Melayu bersatu, seluruh gedung raksasa angkuh seperti Jakel boleh jatuh tertiarap.
Walau bagaimanapun, saya tidak mampu mengelak dari tertawa jika ada yang mengatakan Melayu adalah bangsa paling alim dalam beragama.
Melayu sering mengakui agama yang mereka anuti adalah paling benar. Yang lain semua tertolak. Noktah.
Kebenaran, menurut Melayu hanya tertakluk dalam Islam. Masalahnya Islam acuan mereka seringkali dilihat jumud, gagal humanis dan bercelaru. Kalau tak percaya, cuba lihat soalan-soalan gulung yang mereka berikan untuk dijawab ustaz.
Sungguhpun mendabik dada bahawa Islam mereka paling sakti, mereka tidak kisah pengkhianat menjadi pemimpin. Mereka tidak ambil pusing kepala-kepala syarikat gergasi korporasi korup dan hidup kaya raya menghisap penat lelah umat. Selagi mana pengkhianat dan orang-orang kaya itu bersongkok, Islam, berkulit sawo matang dan Bumiputera, itu semua bukanlah masalah besar.
Dan terpaling lucu ialah apabila mulut mereka basah mengatakan segalanya yang hidup melata di atas muka bumi mesti kembali kepada ajaran kitab suci Quran.
Saya meragui frasa ini.
Awal Ramadhan lalu, ketika sebuah bot buruk berisi bangsa pelarian yang terlalu letih, kurus dan lemah terkapai-kapai mencari pertolongan, daratan negeri ini menafikannya.
Melayu lekas bersetuju pintu negeri ditutup. Mereka bertepuk tangan, bersorak saat bot buruk terpaksa dihambat berlayar ke tempat lain.
Tanah barokah ini sudah sempit untuk dikongsi bersama. Cukup-cukuplah selama ini kita saja yang menerima. Cukup-cukuplah pengalaman lalu mengajar untuk tidak membenarkan langit negeri menjadi tempat teduhan pelarian.
Lihat sendiri kelaku pelarian yang telah kita terima. Pengotor. Samseng. Besar kepala. Penipu. Menyusahkan. Tak tahu bersyukur.
Apa mereka layak diberi muka lagi?
Sikap begini yang membuatkan saya termuntah ketawa apabila Melayu mengatakan dalam jiwa mereka tertanam halaman taman berupa kalam-kalam Tuhan.
Kontradiksi antara perangai Melayu dengan apa yang mereka diperintahkan langsung berbeza.
Misalnya dalam Surah Al Maidah ayat ke-8,
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Secara literalnya, ayat ini mengangkat tema kasih sayang dan persaudaraan ke tahap infinit. Kebencian mesti dikalahkan dengan kasih sayang. Keadilan dan kebenaran wajib dilaksanakan tanpa batas kewarganegaraan, perbezaan warna kulit dan agama.
Tuhan Melayu-Islam langsung tidak menegaskan kewajipan membencikan sesuatu bangsa hanya kerana ada dari kalangan mereka yang melakukan keburukan. Kesalahan seseorang tidak mendorong kita menghukum keseluruhan anak bangsanya.
Sesederhananya, apakah apabila ada seorang Melayu mencuri duit rakyat dan gemar merasuah beban dosanya ditanggung pundak setiap mereka yang bernama Melayu?
Apakah ini namanya adil, tuan-puan?
Malang sekali sebulan lamanya Melayu menjalani ritual berlapar dahaga di siang hari, iman mereka terhadap perintah Tuhan sendiri compang camping. Emosi, rasa meluat tidak ketahuan punca, malah sifat perkauman mereka semakin solid. Entah syaitan mana yang terlepas membuatkan mereka tersimpang jauh.
Aktiviti menahan lapar di bulan puasa selayaknya menjadi acara membuahkan lebih rasa kemanusiaan. Perut-perut kosong sepatutnya menyahkan rasa benci, melunturkan semangat perkauman dan menambah aroma persaudaraan yang elegan.
Perisa cinta sepatutnya ditumpahkan ke jiwa-jiwa kontang melebihi air minuman manis yang diisi ke dalam perut saat berbuka puasa. Ramadhan adalah bulan memanusiakan manusia. Bukan sekadar berqiyam ‘live’ dan meneran tangis tanda insaf di sejadah mahal.
Tetapi tuan-puan saksikanlah sendiri sikap Melayu.
Sayangnya, mereka tergamak mencemar kesucian bulan. Lihatlah apa yang mereka coretkan di dinding-dinding muka buku, di Whatsapp dan di negeri kicau.
Bagaimana mereka sanggup mengeluarkan kata-kata kesat seperti, ‘tembak semua Rohingya yang ada di sini’. Ada juga yang menghina pelarian sebagai pengecut, tidak tahu malu. Ada yang bergelak ketawa barai membuat kelakar pelarian berbau busuk. Ada yang bertepuk tangan saat otoriti menahan beratus-ratus pelarian termasuk anak-anak kecil yang tidak tahu apa. Ada yang menawarkan diri bekerjasama menangkap dan menghalau pelarian. Ada bossku yang beberapa tahun sebelum melilit mafla di leher menggegar pentas syarahan nyaris syahid demi mempertahankan pelarian tetapi kini tanpa kemaluan mengatakan pelarian sudah diberi betis mahu pula peha. Dan ada juga bekas menteri xenophobia memberi amaran bahawa pelarian bakal makan penduduk tempatan apabila jumlah mereka bertambah.
Dimana silapnya mereka ini tuan-puan?
Tidak cukupkah Tuhan memberikan sebulan Ramadhan bagi membasuh perut mereka? Sembahyang lima waktu sudah. Berpuasa sebulan sudah. Menderma ke masjid sudah. Baca Quran sudah. Jadi, apa yang tidak kena?
Syawal kini mendekati. Kembali ke fitrah seperti yang sering disebut-sebut Tok Imam nampaknya umpama omong kosong. Klise. Tiada makna.
Apa ertinya kembali ke fitrah sedangkan perut, hati, limpa, darah daging kekal berisi kebencian, kemarahan dan ketuanan? Apa maknanya Aidilfitri sekiranya umat masih berbangga dengan status kewarganegaraan dan merendah-rendahkan pelarian?
Apa kejayaan cuma didasari melengkapkan puasa 30 hari?
Apa Melayu layak menerima syawal?
Tuan-puan,
Saya sedar bukan semua Melayu sedemikian rupa. Mungkin kita tidak pernah bayangkan ada Melayu yang menumpahkan dedikasinya untuk membantu pelarian. Mencari mereka perlindungan. Pakaian. Pekerjaan. Membina rumah-rumah kecil untuk tujuan pendidikan. Yang mengalirkan upah bulanannya membantu usaha-usaha membina kehidupan pelarian. Masih ramai Melayu yang tidak melihat warna kulit, status sempadan mahupun pegangan agama. Banyaknya Melayu di luar sana yang sudah mengikis rasa ketuanan, rasa hebat diri serta mengeji rasisme.
Melayu begini, seperti umat manusia lain yang bencikan perkauman, ketidakadilan dan korupsi minda sedang berjuang mencipta dunia persis syurga.
Masih terlalu banyak untuk diperkerjakan. Masih terlalu awal menarik nafas lega. Jalan panjang menumpaskan rasisme ternyata belum berakhir.
Moga-moga Syawal dimaknai dengan pengisian yang sebenar-benarnya.
Fitrah manusia adalah kemanusiaan, cinta dan persaudaraan.
Khalas!
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.