Survival UMNO Dan Gelombang Kemarahan Melayu

Dalam artikel diterbitkan Fulcrum bertajuk On the Horns of Anwar’s Twin Dilemmas, Khairy Jamaluddin, bekas pemimpin UMNO menyatakan pilihan raya negeri ke-15 (PRN15) 12 Ogos lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergelut untuk menarik undi Melayu-Islam menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan dua dilema.

Pertama, adakah Perdana Menteri akan menggadaikan prinsip reformasi dan lebih konservatif untuk memikat hati Melayu. Kedua, meninggalkan UMNO yang tercorot dalam PRN15 dengan mencari langkah strategik lain.

Khairy menggariskan jalan keluar buat Anwar Ibrahim – tinggalkan UMNO, bebaskan Najib Razak untuk sokongan UMNO, dan berdamai dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Adakah ini pilihan yang ada? Sudah pasti tidak.

Malah, pembangkang melalui Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menolak perdamaian politik dengan Kerajaan Perpaduan. Bermaksud, solusi Khairy ditolak mentah-mentah PN secara terang-terang.

Pendirian Khairy masih dalam mode ingin menjatuhkan Presiden UMNO, menjadikan tulisan di Fulcrum itu bersifat emosi berbanding rasional. Kempen Khairy pada PRN15 memberi signal mengelirukan. Siang berkempen untuk PN, malam pula berkempen untuk BN, atas dasar ‘kawan-kawan’. Di situ terserlah kepentingan Khairy dalam memenuhi agenda politiknya.

Walau bagaimanapun, pendapat Khairy berlakunya ‘tsunami gelombang tidak puas hati’ (tsunami of discontent) berlaku dalam PRN15 itu menjadi realiti. Beliau juga salah satu elemen gelombang emosi itu.

Bukan apa, ini sentimen kebencian yang sama digunakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sewaktu menjatuhkan kerajaan PH pada tahun 2020. Sedangkan, BERSATU gagal memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya kecil (PRK), kononnya bekerjasama dengan DAP. Akhirnya, BERSATU pun telungkup dalam PRN Melaka dan Johor kepada UMNO-BN pada tahun 2021 dan 2022. Kini, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh juga ikut rentak ‘emosi’ ditanam BERSATU untuk mengegarkan kepimpinan UMNO khususnya Presiden, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Soalnya, apakah UMNO-BN tidak punyai jalan keluar untuk mengukuhkan parti? Adakah pertukaran pemimpin di permulaan penggal akan mengubah segala persepsi pengundi Melayu terhadap UMNO?

Jatuh Bangun Dengan Pengundi Melayu

Ketandusan idealisme dan pengetahuan sejarah parti daripada akar umbi dilihat sebagai punca UMNO – BN mudah mengikut rentak lawan. Sedangkan, UMNO – BN pernah berhadapan dengan krisis buruk dalam menempuh pilihan raya kerana ditolak sebahagian besar pengundi Melayu dan kemudian mampu bangkit mengekalkan hegemoni BN dengan majoriti dua pertiga pada PRU 2004.

Pertama, prestasi UMNO ‘Baru’ dan BN pimpinan Dr. Mahathir dalam pilihan raya umum (PRU) 1990 agak merosot kerana ditolak akar umbi UMNO yang membentuk Semangat 46 di bawah pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah kerana krisis kepimpinan Team A dan Team B pada tahun 1988. Gabungan PAS dan Semangat 46 melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menyaksikan UMNO-BN kalah teruk di Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Malah, kerajaan negeri Kelantan jatuh ke tangan PAS pada PRU 1990 hingga ke hari ini. Namun, UMNO-BN masih mampu mengekalkan majoriti di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kedua, gelombang Reformasi 1998 disebabkan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Penolakan akar umbi UMNO dan orang Melayu telah menyaksikan UMNO-BN bergelut untuk mendapat undi Melayu pada PRU 1999 sehingga kerajaan negeri Terengganu jatuh ke tangan PAS menerusi kerjasama Barisan Alternatif (BA).

Kedua-dua PRU 1990 dan 1999 ini menunjukkan negeri Malay Belt cenderung kritikal kepada kerajaan persekutuan dan akan sentiasa berubah mengikut gelombang politik. Malah, Kedah adalah swing state kerana pernah bertukar empat kerajaan berbeza sejak ‘Tsunami Politik’ pada PRU 2008 iaitu Pakatan Rakyat, BN (2013), PH (2018), dan PN (2023).

Kebangsaan Dan Kesederhanaan

Gagasan kebangsaan Wawasan 2020 diperkenalkan Mahathir pada 1991 dan pembinaan Bangsa Malaysia dan sarat tentang masa depan ekonomi negara, telah menyelamatkan BN dalam PRU 1995 dengan mendapat sokongan pengundi bukan Melayu dan separuh pengundi orang Melayu. Kemudian, Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996 dan semua pemimpin Melayu kembali memeluk UMNO.

Sewaktu ledakan Reformasi 1998, BN masih menjadi kerajaan pusat pada PRU 1999 atas pemikiran Wawasan 2020 dan mampu menyekat kemaraan kebangkitan orang Melayu yang menentang UMNO-BN dengan sokongan padu daripada pengundi bukan Melayu yang dibantu MCA, MIC, dan parti komponen di Sabah dan Sarawak.

Pertukaran Presiden UMNO pada tahun 2003 daripada Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah transisi menguntungkan BN kerana menang besar dalam PRU 2004 dan merampas semula Terengganu daripada PAS. Perubahan Presiden UMNO ini dibuat setahun sebelum PRU 2004 kerana Mahathir tahu, UMNO akan kalah jika terus menjadi Perdana Menteri kerana kemarahan orang Melayu.

Peristiwa di atas menyaksikan UMNO – BN pernah mengharungi sangat getir dan mampu bangkit dengan menonjolkan jenama kebangsaan sebagai parti buat semua rakyat Malaysia dari sudut ekonomi mahupun politik. Kombinasi kebangsaan dan kesederhanaan (moderate) mampu memberi laluan signifikan untuk menang pilihan raya buat BN, termasuklah PH.

Pemilihan menukar pemimpin UMNO-BN itu satu perkara yang mesti dilakukan. Kegopohan mengadakannya di awal penggal pentadbiran bukanlah sesuatu yang baik buat rakyat dan negara. UMNO perlu sinergi dengan pemimpin muda dan wanita yang setia kepada parti untuk tempoh jangka panjang, bukan mengangkat pemimpin muda yang hanya tunjuk ‘jantan’ bila parti kecundang dalam pilihan raya.

Tapi, ramai pemimpin UMNO-BN kedengaran masih lagi beremosi. Ada khabar angin beberapa ahli parlimen UMNO – BN ingin mengosongkan kerusi untuk membalas rasa marah pasca PRN15. Tindakan itu tidaklah berapa bijak kerana sekali kerusi itu diberikan kepada PN, tiada jaminan ahli parlimen UMNO-BN akan kekal bertanding di kerusi itu atas tiket PN. Jika PN menang sekalipun kerusi tersebut, Kerajaan Perpaduan masih ada majoriti dengan sokongan GPS dan GRS.

Jalan sudah ada di depan mata buat UMNO-BN kembalikan keyakinan rakyat. Ambilah serpihan sejarah lama sebagai pendukung semangat untuk buat yang lebih baik. Kembalilah memakai idea kebangsaan dan moderate.

(Artikel tulisan saudara Fakhrurrazi Rashid ini asalnya diterbitkan di The Malaysian Insight dan diterbitkan kembali di Solidaritas dengan izin)

Komen