Sungai Yang Dirindukan

Sempena Hari Sungai Sedunia, saya nukilkan sebuah artikel yang menekankan “Advokasi Sungai” di Johor. Ada 29 sungai di Johor dalam keadaan tercemar (sakit), di Johor Bahru sahaja ada 16 sungai yang dikategorikan sebagai “sungai mati”. Apakah faktornya, bagaimana ia berlaku dan apa yang kita boleh buat?

Sejumlah 29 sungai di Johor yang disebutkan “tercemar”, berada dalam kategori Kelas III dan IV mengikut Laporan Kualiti Alam Sekeliling Malaysia bagi tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Sungai Tukang Batu telah dikategorikan Kelas V, iaitu ‘sungai mati,’ manakala Sungai Perembi, Sungai Masai dan Sungai Buluh dikelaskan tercemar. Sebanyak 16 sungai di Johor juga diletakkan sebagai “sungai mati”, antaranya adalah Sungai Sekudai, Sungai Tebrau, Sungai Stulang, Sungai Danga dan banyak lagi.

Berita Harian melaporkan di Johor Bahru, terdapat 1,780 premis industri komersial, 1,532 Perusahaan PKS dan 173 loji kumbahan di sepanjang lembangan Sungai Skudai sejauh 46 kilometer. Faktor dipanggil sebagai sungai mati (mati tercemar) adalah disebabkan; pelbagai elemen pencemaran berlaku, termasuk dari sisa industri, loji kumbahan, air basuhan domestik, sampah sarap berlebihan di sungai, pembalakan dan operasi korek pasir.

Analisa sampel air di Selat Johor mendapati ia turut dicemari logam berat bertoksik, seperti plumbum, kromium, kadmium, arsenik dan nikel. Kesannya, hidupan marin terancam, boleh mendatangkan toksik, menjejaskan pendapatan setempat, mengancam kesihatan dan keselamatan setempat, banjir serta memaksa penduduk berpindah randah atau dikategorikan sebagai “pelarian iklim”.

Solusi 1: Akta Industri Perkhidmatan Air & Akta Kualiti Alam Sekeliling harus dipinda secepat mungkin. Sebelum ini, YB Khairy Jamaluddin (Sebagai Menteri MOSTI sebelum ini) telah mengemukakannya di kabinet, diharap agar YB Dr Adham Baba (Menteri MOSTI terbaru) atau YB Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri KASA) membawa usul tersebut agar dipinda pada sidang kali ini.

Solusi 2: Pindaan tersebut bukan hanya menyentuh aspek peningkatan jumlah hukuman, malah ia boleh menyentuh aspek peningkatan kualiti dan prosedur di peringkat Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi mengelakkan bakal aktiviti pencemaran daripada industri berlaku sebelum terbinanya fasiliti tersebut.

Solusi 3: Pendanaan penting bagi membantu menjalani proses pemeriksaan dan penjagaan sungai peringkat negeri. Melalui “Pigou’s Pollution Tax”, konsep yang diamalkan oleh Belanda, ia dapat membantu meningkatkan daya sumber fiskal kita dan jumlah sekian akan diberikan kepada Kerajaan Negeri ataupun agensi peringkat negeri melalui Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang diperkenalkan tahun lepas sebagai medium hanya kepada negeri yang sungainya tercemar pada tahap 70%.

Solusi 4: Dari segi audit dan akaun, diharap agar data tersebut dapat dibuka seluasnya kepada umum, agar CSO, NGO dan pihak universiti secara amnya dapat membantu agensi dari sudut advokasi dan penyelidikan dari segi kualiti air, serta mengelakkan perakaunan berganda dan pematuhan yang lebih baik.

Solusi 5: Advokasi tentang pentingnya menjaga sungai harus ditekankan di peringkat umum dengan memberi penekanan kepada konten digital yang dekat dan mudah difahami bukannya seperti dulu, lama dan panjang.

Semoga maklumat ini dapat membantu semua bagi memahami masalah sungai kita terutama sekali untuk penduduk Johor Bahru. Artikel ini didedikasikan buat kawasan kejiranan saya iaitu Parlimen Pulai (P161), yang baru-baru ini, menghadapi masalah pencemaran air di Sungai Tawakal Kempas.

Sejumlah empat orang wanita dihantar ke hospital kerana mempunyai kesukaran untuk bernafas dan loya, lebih daripada 120 penduduk Kampung Baru Seri Aman (367 keluarga) terlibat terpaksa dipindahkan di kawasan lain selama 3 hari dan 9 orang disyaki bersalah dan disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM500,000.

Komen