Sejak kerajaan melaksanakan subsidi bersasar untuk diesel pada Jun 2024, satu demi satu angka mula menceritakan kisah sebenar: ketirisan yang selama ini dibahas di Parlimen dan kedai mamak akhirnya berjaya dibendung.
Sebelum dasar baharu ini, purata jualan diesel bersubsidi mencecah sekitar 770 juta liter sebulan bagi tempoh Januari hingga Mei 2024. Selepas subsidi disasar semula, jumlah itu menjunam kepada kira-kira 465 juta liter sebulan bagi tempoh Jun hingga Disember 2024 – penurunan lebih 300 juta liter sebulan.
Apa maknanya? Adakah tiba-tiba lori, bot dan jentera di Malaysia berhenti bergerak? Tidak. Sebaliknya, inilah bukti jelas bahawa sebelum ini wujud penggunaan diesel bersubsidi yang tidak sepatutnya – termasuk bagi tujuan komersial, perindustrian dan juga penyeludupan di sempadan. Bila harga di Malaysia jauh lebih murah daripada negara jiran, ruang manipulasi memang terbuka luas.
Subsidi pukal yang tidak disasar menjadikan setiap liter diesel murah “tanpa soal”. Penyeludup hanya perlu ada rangkaian stesen minyak “mesra” dan lori tangki yang sanggup mengambil risiko. Diesel bersubsidi yang sepatutnya untuk rakyat dan sektor logistik domestik, tiba-tiba “menghilang” ke ladang, kilang atau merentasi sempadan untuk dijual pada harga lebih tinggi.
Bila subsidi disasar, permainan itu mula terganggu. Mereka yang benar-benar layak – seperti pemilik kenderaan diesel persendirian B40, petani, penternak dan pekebun kecil – didaftarkan dalam program bantuan seperti BUDI MADANI dan menerima bantuan tunai atau kemudahan fleetcard. Kini ratusan ribu penerima telah mendapat manfaat melalui skim ini.
Dalam masa sama, jualan diesel komersial meningkat. Ini penting. Ia menunjukkan bahawa aktiviti ekonomi masih rancak, tetapi pemain industri kini membayar harga yang lebih hampir kepada pasaran, bukan lagi menumpang subsidi rakyat biasa. Kerajaan menganggarkan penjimatan lebih RM400 juta sebulan hasil penyasaran semula subsidi diesel – kira-kira RM5 bilion setahun wang rakyat yang berjaya “diselamatkan” daripada ketirisan dan penyeludupan.
Aspek pencegahan penyeludupan tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan di pintu sempadan. Hakikatnya, selagi harga di pam terlalu murah, akan sentiasa ada yang cuba memanipulasi sistem. Subsidi bersasar mengurangkan insentif itu dengan mengecilkan ruang arbitrage harga. Penyeludup tidak lagi boleh berpura-pura sebagai pengguna biasa yang mengisi diesel murah di stesen dan kemudian menjualnya semula dalam kuantiti besar.
Di peringkat logistik, program Budi MADANI Diesel dengan penggunaan fleetcard untuk ribuan syarikat logistik memastikan rekod penggunaan lebih telus. Jika dahulu ada pihak mengambil kesempatan “top up” berlebihan dan mengalihkan diesel ke pasaran gelap, kini setiap liter lebih mudah dijejaki. Ini bukan sahaja menjaga kos operasi syarikat yang sah, malah membantu menstabilkan harga barang keperluan supaya tidak naik mendadak.
Kerajaan juga tidak melupakan golongan nelayan dan pengguna bot kecil yang turut layak menerima subsidi bersasar melalui BUDI95. Ini memastikan bekalan bahan api untuk sektor ini kekal mampu milik tanpa perlu bergantung kepada skim subsidi pukal yang mudah bocor kepada pihak yang salah.
Akhirnya, inilah intipati reformasi subsidi di bawah kerajaan Madani: bukan memansuhkan bantuan, tetapi memperbetulkan hala tujunya. Subsidi bersasar bukan sahaja menutup pintu penyeludupan dan ketirisan diesel, malah membebaskan ruang fiskal negara untuk disalurkan semula kepada projek pembangunan, jaringan keselamatan sosial serta pelaburan masa depan rakyat.
Reformasi sebegini mungkin tidak sepopular janji “semua murah, semua percuma”. Tetapi jika kita benar-benar mahu menjaga poket rakyat dan masa depan negara, langkah berani menamatkan pesta ketirisan diesel inilah sebenarnya benteng pertama melawan penyeludupan – dan itulah yang sedang dilakukan kerajaan hari ini.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.









