Suatu Catatan Pendidikan Dari Tanjung Malim

Imej pekan kecil yang romantik adalah apa yang wujud ketika British mentadbir Malaya, suatu wilayah geografi yang kini dikenali sebagai Semenanjung Malaysia, iaitu terkecuali Singapura. Imej pekan kecil adalah berbentuk sederet rumah kedai yang kini hanya diabadikan dalam foto-foto dan ilustrasi mengenai zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Ketika mana British Malaya terdiri daripada Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat dalam tempoh dari dekad 20-an, 30-an dan 40-an.

Apabila pekan kecil ini menjadi lebih besar, ia disebut sebagai pekan sahaja, tetapi dalam bahasa Inggeris, diistilahkan sebagai small town. Apabila besar sedikit, ia disebut town, dan dalam bahasa Melayu, ia dipanggil bandar. Tentulah ada bandar kecil dan bandar besar. Lebih besar lagi, ia menjadi bandar raya atau city. Semasa pentadbiran British, hanya kota Singapura dan Georgetown menjadi bandar raya.

Tetapi pentadbir British mempunyai sistem perancangan bandar yang tersusun. Bandar-bandar yang dirancangnya mempunyai komponen yang tetap. Pertamanya, jam besar yang kebiasaannya terletak di tengah bulatan dan menjadi rujukan semua penduduk bandar. Ia juga mempunyai kemudahan asas iaitu pasar, pejabat pos, stesen bas, masjid dan paling penting ialah pejabat kerajaan. Bagi bandar yang bernasib baik, adalah mereka yang mempunyai laluan keretapi.

Salah satu bandar itu adalah Tanjung Malim, yang terletak di Perak selatan dan bersempadan dengan Selangor. Ia menjadi lebih istimewa kerana di situlah didirikan Sultan Idris Training College (SITC) yang kini sudah menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Baru-baru ini penulis pergi ke Tanjung Malim dengan menggunakan Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur Sentral. Tentunya stesen keretapi Tanjung Malim adalah yang moden. Romantisisme stesen keretapi zaman Keretapi Tanah Melayu (KTM) atau Malayan Railway, sebelumnya dikenali sebagai FMS Railway sudah lama hilang daripada pemandangan.

Namun begitu masih tersergam bangunan-bangunan warisan SITC dalam kampus lama UPSI. Cumanya, bangunan-bangunan baharu yang didirikan kemudian mencemarkan lanskap warisan bandar Tanjung Malim, yang reka bentuk bandarnya adalah hasil daripada pentadbiran British.

SITC adalah antara institusi-institusi pendidikan yang didirikan oleh British sebelum Perang Dunia Kedua. Ketika itu, dalam pemikiran British, mereka akan mentadbir Malaya sebagai sebahagian Empayar British untuk beratus-ratus tahun lama lagi.

Selain SITC, British mendirikan Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Technical School di Kuala Lumpur dan Agricultural School di Serdang. Dalam kategori ini adalah Islamic College di Klang. Kesemuanya adalah untuk membekalkan tenaga kerja bagi pentadbiran British. MCKK untuk melatih pegawai perkhidmatan awam. SITC untuk melatih guru. Technical School untuk melahirkan juruteknik dan Agricultural School adalah untuk melahirkan pegawai-pegawai pertanian. Islamic College untuk melahirkan pegawai-pegawai agama. Lulusan institusi ini bukan saja dijamin pekerjaan dengan kerajaan, malah mendapat kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Technical School dan Agricultural School adalah tonggak pada ekonomi kolonial British, pelombongan bijih timah dan peladangan getah. Apa yang dilakukan oleh British itu adalah perkara lumrah bagi kuasa imperialis zaman. Belanda sendiri menubuhkan Institut Teknologi di Bandung dan Institut Pertanian di Bogor untuk berkhidmat untuk ekonomi Hindia Timur sebagai sebahagian daripada Empayar Belanda.

Apa yang menarik, institusi-institusi kolonial British itu kesemuanya dihubungi melalui keretapi. Kuala Kangsar, Tanjung Malim, Kuala Lumpur dan Serdang, kesemuanya mempunyai stesen keretapi.

Ketika mana Malaya sudah wajar mempunyai universiti, seharusnya MCKK dan SITC boleh dinaikkan tarafnya untuk menjadi universiti. Kedua-dua Kuala Kangsar dan Tanjung Malim mempunyai kedudukan indah untuk menjadi bandar universiti, iaitu Oxford dan Cambridge bagi Malaya.

Tetapi dapat difahami bahawa akhirnya Universiti Malaya didirikan di Singapura melalui penggabungan Raffles College dan King Edward VII College of Medicine. Ketika itu Singapura dianggap sebagai sebahagian dari Malaya, dan Universiti Malaya kampus Kuala Lumpur ditubuhkan.

Apabila Malaya merdeka, sebuah universiti kebangsaan yang menggunakan bahasa kebangsaan dirasakan perlu ditubuhkan. sekali lagi SITC wajar dinaikkan taraf. Namun akhirnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didirikan di Bangi.

Ketika mana Technical School berubah menjadi Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan akhirnya menjadi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sementara Agricultural School menjadi Universiti Pertanian Malaysia dan akhirnya, Universiti Putra Malaysia (UPM).

MCKK dan Kolej Islam Klang dinamakan sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) tetapi kekal sebagai sekolah. Sebuah universiti Islam lain kemudiannya ditubuhkan sebagai Universiti Islam Antarabangsa. SITC menjadi Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan berdekad-dekad kemudian, barulah ia menjadi UPSI. Bagaimanapun, Universiti Islam Malaysia (UIM) di Cyberjaya ditubuhkan atas semangat kesinambungan Islamic College itu.

Berjalan masuk ke dalam bangunan warisan UPSI, dengan memijak lantai-lantai papan, terkenang bahawa di situ dulu ketika di bawah penjajahan Inggeris, lahir guru-guru Melayu yang bukan sekadar menjadi kakitangan kerajaan. Ada antara mereka menempuh kesedaran politik di SITC. Dari situlah mereka sedar mengenai nasionalisme, nasib bangsa dan semangat kebangsaan untuk memperjuangkan kemerdekaan. Antara tokoh terkenal adalah Ibrahim Haji Yaacob, pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM). Di situ juga terserlah Ghafar Baba, aktivis Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang mencapai puncak perjuangannya dengan menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Maknanya, SITC bukan saja melahirkan tenaga kerja untuk pentadbiran kolonial tetapi muncul sebagai pusat intelektual bagi Malaya. Bayangkan bahawa pada masa itu tentulah sumber maklumat amat terhad dan bahan bacaan sangat sedikit. Tetapi dari situ sudah ada aktiviti intelektual. Pastinya perpustakaan, atau ketika itu dipanggil kutub khanah adalah kecil berbanding pada hari ini.

Penulis melihat dalaman UPSI yang bernama Perpustakaan Tuanku Bainun ketika berjalan menuju musola yang berada di dalamnya. Begitu besar dan cantik, tentu akan mengujakan pelajar yang berkecenderungan intelektual. Dengan lampu bacaan berwarna hijau seperti dalam Public Library of New York.

Tetapi diharapkan perpustakaan itu mampu membeli buku- buku terkini. Banyak perpustakaan awam dan ada juga perpustakaan universiti awam di negara ini hanya mampu menyediakan buku-buku lama, lebih-lebih lagi mereka berpendapat pembaca sudah boleh akses rujukan pada Internet.

Ada institusi pendidikan sanggup menggunakan dana untuk mengadakan projek-projek yang dirasakan boleh mendatangkan keuntungan seperti pusat-pusat boling atau padang golf, berbanding dengan menambah buku. Mereka perlu mengutamakan pulangan atas pelaburan (ROI) dalam bentuk angka kewangan, kerana universiti awam diminta oleh kerajaan mandiri.

Maka universiti tidak lagi tempat melahirkan intelektual. Maka pesta konvensyen juga dimeriahkan dengan konsert-konsert yang menelan banyak perbelanjaan dengan graduan turut bergembira bersama belon-belon dan “bear-bear” mereka.

Ketika mana universiti-universiti semakin kelihatan makmur apabila usaha-usaha perniagaan semakin berjaya dengan harga yuran semakin tinggi, para pelajar pula semakin sukar untuk mendapat pekerjaan yang setimpal dengan pelaburan pendidikannya. Sebaliknya para pelajar menanggung beban hutang pendidikan tingginya. Siswazah UPSI yang dilatih menjadi guru awam juga sudah tidak dijamin mendapat pekerjaan.

Namun begitu, harapan tetap ada bahawa suatu hari Malaysia dapat memiliki bandar universiti yang benar-benar berintelektual, seperti Oxford dan Cambridge. Tidak semestinya Tanjung Malim. Mungkin di Bangi, Serdang, Kampar, Sintok atau Pagoh. Atau sememangnya orang Malaysia tidak berminat untuk menghasilkan pusat intelektual.

Komen