Stadium Shah Alam: Fasiliti Kelas Pertama, Mentaliti Dunia Ketiga

ISU Stadium Shah Alam hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, setelah timbul ura-ura stadium gergasi itu akan dirobohkan untuk diganti dengan stadium baharu yang bersaiz lebih kecil. Timbul juga persoalan tentang membaik pulih stadium tersebut yang dikatakan bakal menelan belanja lebih besar berbanding kos pembinaannya pada tahun 1994 dulu yang berjumlah RM480 juta. Dan juga seperti biasa timbul persoalan adakah duit rakyat akan digunakan jika stadium baharu dibina atau baik pulih dilakukan yang kemudian membawa kepada isu politik.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagaimanapun telah mengumumkan kos keseluruhan untuk baik pulih Stadium Shah Alam termasuk Kompleks Sukan Shah Alam (melibatkan Stadium Tertutup Melawati) dianggarkan mencecah RM787 juta. Penilaian ini dibuat dengan mengambil kira kos baik pulih Kompleks Sukan Negara melibatkan Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Tertutup Axiata dan fasiliti lain yang dikatakan mencecah RM1 bilion sebelum Suka Sea 2017 dulu.

Hakikatnya, Stadium Shah Alam memang sudah nazak. Umurnya sudah hampir mencecah 30 tahun dan saiz gergasinya menelan belanja selenggaraan yang tinggi.

Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh bangkitkan persoalan, adakah keputusan membina Stadium Shah Alam 28 tahun dahulu satu keputusan yang masuk akal?

Fasiliti Kelas Pertama

Stadium Shah Alam diilhamkan dari rekaan Stadion Poljud di Split, Croatia. Rekaan kedua-dua stadium saling tidak tumpah. Tetapi apa yang membezakan keduanya adalah dari segi saiz. Berbanding kapasiti 80,372 untuk Stadium Shah Alam, Stadion Pojud hanya mempunyai kapasiti 34,198.

Stadion Poljud dibina sejak tahun 1979, ketika Persekutuan Yugoslavia masih wujud sebagai sebuah negara. Ia dibina khas untuk Sukan Mediterranean pada tahun tersebut. Selepas temasya sukan tamat, kelab bola sepak Hadjuk Split menjadi pengguna utama Stadion Poljud. Selain itu stadium ini turut digunakan bagi acara olahraga Eropah dan juga perlawanan bola sepak antarabangsa melibatkan Croatia.

Dalam 43 tahun kewujudannya, Stadion Poljud kekal berfungsi dengan baik bahkan telah dimodenkan beberapa kali.

Bagaimana sebuah stadium yang jauh lebih tua dari Stadium Shah Alam masih kekal elok?

Stadium Shah Alam siap dibina pada tahun 1994, 15 tahun selepas Stadion Poljud. Ketika dibuka secara rasmi, ia merupakan stadium terbesar di Malaysia dan antara yang termoden di Asia. Saya masih ingat pembukaan rasmi stadium itu diserikan dengan kejohanan bola sepak yang menjemput kelab luar negara seperti Bayern Munich, Flamengo, Leeds United dan Dundee United untuk beraksi bersama pilihan Selangor. Ia sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku dalam dunia bola sepak zaman itu.

Pembinaan Stadium Shah Alam adalah mahkota yang menobatkan Selangor sebagai negeri termaju dan mungkin terkaya di Malaysia. Ia menceritakan bagaimana sebuah kerajaan negeri terlebih dahulu berupaya membina stadium gergasi sebelum kerajaan persekutuan melakukannya dengan Stadium Nasional Bukit Jalil yang hanya siap tahun 1998.

Pembinaan Stadium Shah Alam dengan kapasiti 80,372 dikatakan bersesuaian dengan status pasukan bola sepak negeri Selangor yang bernama jolokan The Red Giants yang juga merupakan pasukan bola sepak negeri paling berjaya di Malaysia ketika itu. Tidak banyak kelab bola sepak dalam dunia ini yang boleh mendabik dada mempunyai stadium dengan kapasiti sebesar Stadium Shah Alam.

Mentaliti Dunia Ketiga

Namun seperti kebanyakan fasiliti kelas pertama yang wujud di Malaysia, Stadium Shah Alam menjadi mangsa mentaliti dunia ketiga. Mentaliti dunia ketiga ini tidaklah terhad pada kegagalan mengurus dan mengguna fasiliti dengan baik, tetapi turut merangkum sikap membina sesuatu tanpa berpada-pada dan dengan tidak berfikir secara panjang.

Stadium Shah Alam nazak pada hari ini kerana saiz gergasinya bermakna belanjanya juga gergasi. Diibaratkan jika kita ini bergaji biasa-biasa sahaja, tetapi ada hati mahu berkereta BMW atau Mercedes. Sudahnya tidak mampu menanggung kos selenggara atau baik pulih kereta tersebut sehingga ia tidak terurus, kerap rosak dan akhirnya tersadai.

Begitulah juga dengan Stadium Shah Alam. Entah apa yang bermain di fikiran pentadbir dan perancang zaman itu sehingga tidak berfikir panjang membina sebuah stadium gergasi tanpa memikirkan aspek kelestarian (sustainability). Tidak ada pemikiran panjang untuk memastikan setelah stadium siap dibina, bagaimanakah ianya boleh digunakan dengan cara boleh membawa pulang hasil kewangan bagi menampung penyelenggaraan stadium itu sendiri?

Tidak ada temasya sukan antarabangsa berprestij yang dianjurkan di stadium itu melainkan Piala Dunia Belia FIFA 1997. Tidak seperti di Eropah dan Stadion Poljud, tiada sirkit olahraga berprestij yang boleh dianjurkan oleh Stadium Shah Alam. Tidak ada juga acara konsert antarabangsa yang boleh diadakan setiap tahun, manakan tidak di Malaysia yang semakin tenggelam dalam arus ekstremisme agama, negara ini dan Shah Alam khususnya bukanlah destinasi pilihan artis ternama menganjurkan konsert jelajah mereka.

Satu-satunya harapan untuk Stadium Shah Alam mendapat kutipan tiket adalah melalui pasukan bola sepak Selangor. Tetapi cubalah kita berfikir secara logik, jika Bayern Munich yang pernah berkunjung ke Stadium Shah Alam pun menunggu hingga tahun 2005 untuk berpindah ke Allianz Arena yang berkapasiti hanya 75,024; maka kegilaan apakah yang membuatkan Selangor berfikiran pasukan bola sepak mereka jauh lebih ramai penyokong berbanding Bayern Munich?!

Bahkan jika kita lihat, kelab seperti Manchester United, Atletico Madrid, Paris Saint Germain dan banyak lagi kelab gergasi di Eropah menghuni stadium yang berkapasiti lebih rendah berbanding Stadium Shah Alam. Sedangkan kita semua tahu kelab-kelab ini jauh lebih ramai penyokong. stadiumnya hampir sentiasa penuh kerana mutu bola sepak yang disajikan dan harga tiket mereka mencecah ratusan Ringgit Malaysia.

Tetapi mampukah Selangor dan liga bola sepak tempatan mencapai tahap yang sama dengan bola sepak Eropah? Berpijaklah di bumi nyata. Ini bola sepak Malaysia. Johor Darul Ta’zim yang masa kini dinobatkan sebagai kelab terhebat di Malaysia pun tidak mampu mengisi lebih separuh dari stadium mereka inikan pula Selangor yang kini menjadi pasukan sandarkan pada kenangan?

Semua ini perkara yang nampaknya tidak terlintas di kepala pentadbir dan perancang Selangor ketika mereka membina Stadium Shah Alam. Yang ternampak di fikiran mereka mungkin rasa bangga tidak kena tempat apabila memiliki stadium gergasi yang sudahnya jadi projek gajah putih. Atau mungkin juga, pembinaan projek mega seperti Stadium Shah Alam itu perlu kerana ada poket yang hendak dipenuhkan.

Kesilapan perancangan ini dinazakkan lagi dengan mentaliti dunia ketiga kita dalam mengurus dan mengguna fasiliti. Seperti mana tandas awam kita uzur, pejabat kerajaan kita compang camping dan jalan raya kita berkawah sana sini, Stadium Shah Alam menjadi mangsa. Ia tidaklah menghairankan apabila banyak fasiliti sukan dalam negara ini juga menjadi mangsa yang sama akibat mentaliti dunia ketiga kita.

Kini Stadium Shah Alam ibarat satu sumpahan di tengah bandar raya Shah Alam. Untuk dirobohkan sepenuhnya, sudah ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk stadium gergasi ini. Untuk dibaik pulih, ratusan juga ringgit pula diperlukan bagi tujuan itu.

Ia ibarat pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Demikianlah.

Komen