Soldadu Muda Dan Penderaan Di Kem

Seperti yang aku katakan sebelum ini, walaupun aku tak suka disiplin dan peraturan yang mengekang kebebasan aku, tetapi menjadi seorang anggota tentera tetap impian aku dari kecil. Semua orang tahu, tentera dan disiplin tak mungkin dipisahkan, tetapi entah mengapa, aku langsung tidak menganggap perkara itu sebagai satu halangan besar untuk aku meneruskan cita-cita menjadi seorang askar.

Di sekolah aku hanya habis belajar setakat Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Nampaknya hanya itu saja sijil yang mampu aku kendong. Di saat ramai rakan-rakan sebaya mula mencari nasib di bidang perhotelan dan perkilangan, aku pula pergi mendaftar diri di Rejimen 509 Askar Wataniah.

Tak kuasa aku nak kerja di kilang, asyik menghadap benda yang sama sepanjang masa. Begitu juga hotel, satu hal kena melayan kerenah orang yang pelbagai tu, dah macam hamba abdi. Lebih baik aku masuk askar, simpanan pun simpananlah. Ada juga elaun. Dapat skil kawad dan menembak.

‘Saham’ pun tinggilah sikit kalau nak berhadapan dengan bakal mentua, hehehehe.

Namun daripada hanya seorang anggota tentera simpanan, selepas dua tahun, aku terpilih untuk diserapkan ke anggota regular. Ini kata orang ibarat impian menjadi nyata!

Akhirnya apa yang aku cita-citakan sebelum ini menjadi realiti. Pada 2 Jun 1987, aku dengan rasminya memakai nombor badan 6006650 Prebet Adam Bin Jaafar. Aku puas!

Selepas menjalani latihan singkat (sebab aku dah menjalani latihan asas ketenteraan masa di Rejimen Wataniah), aku dihantar ke 6 Renjer, Kem Syed Putra, Tambun, Perak. Aku ditempatkan di Kompeni C. Dengan ini aku bergelar SOLDADU MUDA, istilah pada kami anggota-anggota baru yang masuk unit.

Dalam unit tersebut ada lebih kurang 38 orang anggota baru yang lain. Pada mulanya, kami ditempatkan di satu berek khas. Kami diasingkan daripada anggota-anggota lama. Kemudian, waktu itu kami diberitahu bahawa kami perlu menjalani latihan singkat selama enam minggu. Dalam jangka masa inilah aku dimaklumkan kami akan dicampurkan dengan anggota-anggota senior dalam satu latihan yang dinamakan ‘eksesais setia kawan’.

Masa ni, aku mula rasa tak sedap hati.

blank

Semasa dalam kem, budaya sepak terajang ni dah jadi semacam ‘rutin’, denda lain tu tak payah cakaplah. Kata penyelia aku yang berpangkat Koperal, lepas ni bila kau jadi senior, kau pula yang akan buat benda yang sama pada junior yang lain. Aku diam saja. Nak kata kejutan budaya, taklah juga. Sebab aku pun bukanlah ‘kosong’ habis dalam tentera ni, dah dua tahun jadi simpanan jadi bukanlah satu yang mengejutkan sangat pun.

Aku tahan apa saja yang anggota lama ini buat pada aku dan rakan-rakan. Memandangkan anggota pasukan Renjer ni terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan, tak hairan kalau kita tengok yang Melayu buli yang India, yang India buli yang Iban, yang Iban buli yang Cina… Macam-macamlah!

Tetapi aku akui, lama-kelamaan aku makin tertekan dengan penderaan fizikal dan mental yang dilakukan oleh anggota-anggota senior ini. Makin lama makin melampau. Apa yang boleh aku katakan, kami semua didera hampir 24 jam! Hanya kalau ada latihan saja kami ‘selamat’. Tak kira siang atau malam, kami akan ‘kena’. Tengah tidur pun mereka kejutkan. Hampir tiga atau empat bulan juga kami dilayan seperti haiwan!

Tangan aku ni, pernah melecur dicucuh dengan rokok yang menyala. Aku dipaksa menjilat tapak selipar seperti seekor anjing dan dipaksa minum air yang dicampur kicap, cuka, belacan, kuah kari dan gula. Sampai sakit perut dan pening kepala aku dibuatnya.

Lebih menyakitkan hati, ada antara anggota senior ni bawa kawan-kawan yang terdiri daripada orang awam masuk ke dalam kem sedangkan itu adalah satu kesalahan besar. Bayangkan macam mana malunya aku dan kawan-kawan bila orang awam tengok kami dibuli sebegitu rupa.

Paling memalukan, dorang suruh aku sapu kemaluan sendiri dengan kiwi hitam sampai habis satu tin! Masa tu kemaluanku melecet dan sakit, ibarat disapu dengan tanah kering. Masa nak buang air kecil, sakitnya Tuhan saja yang tahu. Kemuncak pada penderaan ini, aku disuruh menghisap zakar seorang anggota berketurunan India.

Serius waktu itu aku memang tak sanggup, apatah lagi zakarnya berkulup kerana tidak berkhatan. Takut punya pasal, aku buat juga sehingga satu peringkat aku muntah sebab ‘benda’ tu sangat busuk. Masa itu, aku betul-betul marah kerana ia telah menjatuhkan maruah dan martabat aku sebagai seorang Islam, sebagai seorang tentera!

Ada lagi, masa aku disuruh mencium dan menjilat selipar yang macam anjing tu, sambil menjilat mereka menjerit perkataan pariah! pariah! berulang kali padaku. Apa yang aku buat semua tak betul. Ada satu ketika kepalaku dihentak ke dinding bertubi-tubi seperti dalam adegan gusti. Kami juga diarahkan berbogel dan bergusti sesama kami!

Disebabkan penderaan yang ‘gila’ itu, kepala aku selalu sakit dan pening… Apatah lagi aku sering tak cukup tidur. Aku sering nampak pecahan cahaya yang terang dan terdengar seolah-olah bunyi letupan dalam kepala dan telinga.

Kalau tanya aku siapa anggota senior yang menderaku itu, sejujurnya aku memang tak ingat kerana ketika itu aku baru dalam pasukan. Yang pasti, aku cukup ingat satu nama ni… Koperal Pillay!

Aku pernah laporkan perkara ini kepada Pegawai Pemerintah, Leftenan Kolonel Daud tetapi beliau macam buat tak tahu saja. Kerana terlalu marah dengan manusia bernama Koperal Pillay, pernah aku rasa macam nak tembak saja dia tetapi aku tahu ia salah dalam Islam.

Membunuh itu salah, kecuali terdesak!


Tulisan Syahril A. Kadir ini merupakan petikan dari buku Konfesi Prebet Adam

Komen