Sogit Politak (Politikus + Katak) Sabah

Jika lebai boleh bertempik teriak menuntut agar undang-undang Islam seperti hudud dilaksanakan, makanya tentu sahaja etnik tertentu dalam negara kita boleh ikut berhujah, menuntut supaya undang-undang adat mereka diterimapakai. Apa yang mungkin lebai tidak tahu adalah dalam negara kita, pada Perlembagaan Malaysia di Perkara 160 (2) ada memperuntukkan bahawa adat itu setakat yang dipakai adalah bahagian dari undang-undang negeri.

Justeru kita perlu beringat, kedudukan undang-undang adat tidak boleh dipandang ringan.

Dalam hal ini lah terdapat satu adegan yang seronok atau ingin kita lihat. Bila mana rakyat dibenarkan melakukan sogit terhadap pemimpin atau ahli politik yang jahat.

Apakah yang dimaksudkan dengan sogit? Sejauh mana peri pentingnya ia sebagai bahagian dari adat. Akan tetapi lebih utama lagi, apakah itu adat?

Saidatul Nornis dalam ‘Undang-Undang Adat Dalam Konteks Peribumi Sabah’ menyatakan adat yang boleh dirujuk sebagai hukum itu harus memenuhi syarat yang; ia mestilah ada sejarah turun-temurun, dan bukan rekaan tiba-tiba. Seterusnya ia juga mestilah dianuti, diterima, disanjung dan dipatuhi masyarakat. Ketiga, adat itu hendaklah berterusan dan tidak terputus dari satu keturunan. Terakhir, adat hendaklah mempunyai kuat kuasa untuk mengenakan hukuman ke atas pihak yang melanggar adat.

Sogit adalah satu adat yang kekal diamalkan. Pandangan Saidatul tentang sogit sebagai adat itu dinyatakan sebagai:

‘Sogit ialah bayaran yang dikehendaki dibayar oleh pelaku kepada yang diperlakukan. Ia merupakan satu jenis pemberian untuk menebus kesalahan. Bayaran sogit mungkin kepada individu atau kepada keluarga atau kepada komuniti dalam kampung. Dengan pembayaran sogit diharapkan keharmonian dan keamanan dapat diwujudkan semula. Malah, kata sogit itu sendiri berasal daripada perkataan osogit yang bermakna sejuk manakala, denda pula merupakan ganti rugi kepada kecederaan atau ketidakadilan yang telah terjadi.’

Dalam pada itu, Daya Sansalu dalam tulisan akademik lain dengan tajuk ‘Kadazandusun di Sabah: Pendidikan dan Proses Pemodenan 1881-1967’ menghuraikan sogit dengan lebih terperinci;

Sogit bermakna denda adat yang dikenakan pada seseorang bagi tujuan memulihkan keharmonian kampung. Sogit juga dikenakan sebagai ganti rugi atas kecelakaan atau kemudaratan yang dilakukan seseorang terhadap orang lain atau sebagai penawar bagi tujuan meringankan kesalahan seseorang yang melanggar adat atau pantang larang.

Sekiranya kita mengambil kesalahan paling besar di kampung iaitu kelakuan cabul atau sumbang, penzinaan atau kecurangan maka tentulah; pencabulan mandat, kesumbangan janji dan ikrar serta penzinaan secara haram dengan parti yang tidak ‘dikahwini sah’ itu juga sesuatu yang jelek.

Dalam hal ini, sogit kepanasan untuk kesalahan cabul, sumbang dan zina adalah ‘denda’ paling berat. Dahulu kala, sogit kepanasan kampung ini ialah dengan membayar atau memberi empat ekor kerbau, empat buah gong besar, empat ekor babi gemuk, dan empat buah gong kecil.

Untuk segelintir individu yang mengabaikan unsur tradisi dan adat dalam kehidupan, undang-undang adat bumiputera Sabah ini dilihat lapuk dan ketinggalan. Tambah-tambah lebai pasti tidak senang duduk apabila mendengar adat didahulukan. Akan tetapi untuk beberapa lama, hingga kini, sogit hidup dan tidak mati. Adat adalah sumber hukum.

Ambil sahaja sogit, yang mana masyarakat Dusun awal, di masa lampau memandang sogit sebagai satu bentuk pendidikan agar anggota masyarakat tidak melanggar adat, dan pantang larang. Hari ini jika kita mengambil kira adat sebagai instrumen pendidikan, maka mengapa kita hendak memandang adat sebelah mata?

Meskipun negara sudah tiba ke tahun 2020, sogit masih relevan. Bahkan sogit untuk mendidik secara keras harus lah dilakukan. Sabah yang bermaruah tidak harus dipalit lendir dan ludah orang yang tidak diingini. Khianat mesti dihukum.

Pada tahun 2018, seorang guru lelaki di sebuah sekolah di daerah Penampang telah didakwa menggigit tangan seorang murid Tahun Empat lantas dikenakan sogit dengan memberikan ayam kepada kanak-kanak itu disaksikan Ketua Kampung Kituao. Ia sebagai tanda kedua-dua pihak sudah berdamai mengikut adat.

Kemudiannya, pada 26 Februari 2019, seorang lelaki dikenakan sogit oleh Mahkamah Anak Negeri (MAN) Tamparuli mengikut Seksyen 13 dan 58 Enakmen 1992 kerana mengeluarkan kenyataan melulu terhadap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau melalui aplikasi WhatsApp. Apa yang menggiurkan ialah mengikut peruntukan undang-undang adat itu, pesalah diarahkan membayar denda sebanyak RM800, dan seekor kambing masing-masing kepada Madius serta Johnny Upin, sebagai orang yang membuat laporan.

Kedua-dua kes di atas menjadi petunjuk bahawa undang-undang adat masih terpakai, berjalan dengan baik, dan masih diamalkan. Ia juga membawa maksud, Mahkamah Anak Negeri boleh mengarahkan sogit, dan tidak mustahil pula terpakai dalam hal pemimpin yang berkhianat atau berkatak. Jika hal ‘sekecil’ di atas dapat disogit, mengapa kita hendak melepaskan politikus yang menjadi politak (poli+katak).

Tidak ada alasan untuk pemimpin yang beragama Islam terlepas dari sogit, malah sewajarnya sogit dikenakan lebih tinggi buat mereka memandangkan yang melakukannya adalah beragama Islam. Pg Ismail Pg Musa, Siti Zubaidah Ismail dan Narizan Abdur Rahman dalam makalah mereka ‘Amalan Sogit Ke Atas Anak Negeri Sabah Beragama Islam Di Mahkamah Anak Negeri: Kajian Dari Perspektif Hukum’ (2018) menyatakan sogit adalah satu penalti mesti dan mereka yang beragama Islam turut tidak terlepas dari undang-undang moral ini:

Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (UndangUndang Adat Anak Negeri 1995) mentafsirkan sogit sebagai penalti adat yang berdarah (customary haematic penalty). Berdasarkan Kaedah tersebut sogit perlu dibayar dalam bentuk binatang ternakan iaitu babi, kambing, kerbau atau unggas (ayam). Berdasarkan penelitian fail kes di Mahkamah Anak Negeri yang dikaji, sogit juga dikenakan kepada masyarakat anak negeri Sabah yang beragama Islam. Sogit tersebut perlu diberikan dalam bentuk fizikal binatang ternakan tersebut ataupun dibayar dengan harga pasaran binatang ternakan tersebut. Sogit tersebut perlu diberikan kepada pihak yang terkilan untuk tujuan perdamaian.’

Sebagai rakyat dan pengundi yang terkilan dengan perangai dan tindak-tanduk politikus menjadi politak, maka tidak ada sebab rakyat Sabah tidak boleh menuntut sogit dengan menghukum pemimpin yang berahi ingin menjadi pengkhianat. Apatah lagi pengarang atau pengkaji di atas ada menyatakan yang sogit masih boleh atau molek dikenakan terhadap orang Islam dan ‘wajar bagi tujuan dakwah’. Tambahan pula jika kelakuan memalukan ini memburukkan nama Islam yang mana pemimpin beragama Islam dianggap sebagai tidak amanah.

Sesungguhnya pemimpin itu curang bukan sahaja kerana ia mengkhianat mandat pengundi di dalam pilihanraya. Ada yang berkempen menghujahkan pembangunan sebagai peri utama janji pilihanraya. Sebenarnya ada yang lebih penting, misalnya dari janji atau manifesto pembangunan. Masyarakat peribumi Sabah lebih mementingkan hak mereka. Jangan sekali-kali merampas hak anak bangsa. Ini kerana formula sekian lama yang ada ialah; ‘Aiso guno pombongunan. Pombongunan manakan hak dagai (tiada gunanya pembangunan untuk kami, pembangunan merampas hak kami).’

Pengundi Sabah boleh menggunakan hak mereka untuk melakukan sogit terhadap pemimpin cabul, khususnya yang khianat.

Dalam perlumbaan masing-masing pemimpin ingin berada di atas, rakyat Sabah jangan dengar seruan palsu. Dengar suara adat, pasti selamat.

Komen