‘When she skates, she feels free’
BELUM pernah lagi saya menumpahkan air mata usai menonton filem bertemakan skateboard atau dalama bahasa Melayu, papan selaju. Tetapi Skater Girl sukses merempuh dinding empangan dan membebaskan air tanpa apapun batasan.
Filem-filem skateboarding seperti Lord of Dogtown, Grind dan Mid 90s, seringkali mengangkat ritual para umat skateboarders, budaya tanding yang memberontak, serta konflik keluarga dan persahabatan. Namun, menonton filem yang kini ditayangkan di panggung Netflix ini luar biasa pengalamannya.
Pertanyaan semisal, apa akan berlaku saat sekeping papan skateboard hadir dalam bahagian hidup anak-anak di kawasan pedalaman India yang miskin? Atau pertanyaan selanjutnya adalah, bagaimana sekeping papan skateboard yang lahir di negeri California tuntas ‘mengganggu’ amalan serta tradisi masyarakat yang dipisahkan dalam kasta sosial seperti yang berlaku dalam Skater Girl?
Prerna anak gadis belasan tahun kelahiran kampung pedalaman di Rajasthan, India mengabadikan seluruh jiwa raganya berkhidmat untuk kedua ibu bapanya. Hidup mereka yang miskin dan sulit nyaris membunuh apa saja impian anak gadis seusianya. Sehinggalah pada suatu hari, pertama kali dalam hidupnya, Prerna jatuh cinta dengan skateboard setelah diperkenalkan seorang lelaki mat saleh yang mengunjungi kampungnya.
Saat itu, Prerna, sebagaimana para umat skateboarder yang taat sanggup melakukan apa pun demi cinta sakti terhadap sekeping papan beroda; walau terpaksa menderhaka kepada bapa kandung sendiri yang memutuskan takdirnya untuk berkahwin.
Untuk rekod, filem yang diarahkan Manjari Makijany ini merakamkan kepayahan hidup masyarakat miskin yang ditundukkan sistem kasta, patriaki, dan tradisi perkahwinan bawah umur serta kesan-kesannya terhadap anak-anak seusia Prerna.
Kehadiran Skateboarding dalam hidup Prerna, Ankush dan anak-anak lain sebagai ubat bahkan sebagai harapan yang mengguncang aturan hidup masyarakat kampung di Rajashtan.
Seperti salah satu skrip yang dilontarkan watak yang dimainkan Jonathan Readwin, lelaki yang memperkenalkan skateboard kepada Prerna, ‘doesnt matter where you go in the world, everybody hate skateboards’ sebenarnya menyampaikan pesan agung paling asli mengenai sifat skateboarding itu sendiri iaitu; rebelius serta melawan arus.
Tak terlebih saat satu kampung ribut apabila anak-anak menukarkan babak-babak kehidupan kampung yang sendu dengan aksi skateboard yang agresif, malah naratif sekeping papan yang dianggap sebagai budaya yang teruk telah memecahbelahkan tembok kasta yang membataskan pergaulan anak miskin – kaya serta mendokong satu pernyataan jelas bahawa tidak ada satupun gender yang lebih berhak meletakkan kakinya atas sekeping skateboard. Saat siapapun yang tunduk kepada skateboarding, di dalam hatinya termaktub jelas, biar berbezanya warna kulit, gender mahupun keyakinan, kita semua umat yang bersaudara.
Namun impak Skater Girl yang paling meruntun hati nurani saya ialah apabila Prerna memutuskan untuk melarikan diri pada jam terakhir sebelum dinikahkan untuk memasuki pertandingan skateboard yang sedang berlangsung di kampungnya.
Samada ia terlalu tipikal atau terlalu utopis untuk berlaku dalam dunia nyata, saya tidak dapat bayangkan bagaimana patah serta rosaknya hidup seorang anak gadis remaja belasan tahun seperti Prerna sekiranya skateboard tidak menyelamatkan masa depannya.
Eskapisme Prerna membuktikan bahawa skateboarding bukan sekadar sukan yang kini diterima di Olimpik. Tetapi ia adalah sebuah matlamat hidup, sebuah keyakinan maha elegan buat anak gadis miskin seperti Prerna yang tidak pernah punya cita-cita melainkan menunggu masa dikorbankan tradisi hidup zaman berzaman.
Ternyata sifat skateboarding itu berkonflik. Dalam naratif kemiskinan, anak-anak yang putus harapan serta amalan patriarki dan tradisi yang membebankan, idea bertemakan skateboard yang ditulis dalam filem ini sesungguhnya merungkai semula episod realiti hidup hari ini.
Barangkali kerana faktor usia, sebagai umat skateboard, saya tidak begitu terpesona dengan pengiktirafan dunia (Olimpik) terhadap skateboard. Secara peribadi saya lebih senang untuk tidak mengambil pusing sama ada diterima atau diiktiraf. Kerana bagi saya, sesebuah cara hidup, budaya tanding pastinya punya jalan yang berlainan dari yang normal.
Tetapi jiwa saya lebih berdentum melihatkan impak skateboarding terhadap kondisi sosial. Keberadaan skateboard sebagai satu anugerah bukan lagi tentang jerit pekik supaya diterima masyarakat, tetapi kebersamaannya terhadap keadaan orang-orang yang putus harapan hidupnya kerana miskin atau yang potensinya dibataskan kerana faktor leceh seperti gender, kaum dan sebagainya.
Saat menghabisi filem Skater Girl, produksinya telah membina sebuah skatepark terbesar di India untuk tujuan pembangunan anak-anak di situ. Dan ini bukanlah usaha pertama. Untuk pengetahuan semua, komuniti non-profit seperti Skateistan atau Skatepal (sekadar menyebut beberapa nama) sudah membangunkan program-program berkaitan skateboarding di negeri-negeri non privilej seperti di Afghanistan, Palestin, Burma dan sebagainya. Usaha dan upaya mereka membuktikan bahawa skateboard, selain berfungsi sebagai budaya tanding unggul tanpa undang-undang dan paksaan juga berperanan sebagai agen pembebasan.
Filem Skater Girl, sepertimana hasil seni yang lain tidak mungkin mampu merubah segala-galanya.
Tetapi kesannya luar biasa dalam mencipta imaginasi dan inspirasi maha magikal dalam peradaban manusia.
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.