Sivik Dan Kewarganegaraan, Si Pelakon Tambahan

“Baiklah, awak semua boleh buat kerja sendiri ya.”
“Harini Cikgu subjek matematik akan ganti kelas awak jam 9 nanti.”

Pada zaman sekolah dahulu, terdapat satu subjek di sekolah yang mana subjek tersebut sering tidak ditekankan. Bukan itu sahaja, kelas subjek itu juga sering digantikan dengan kelas mata pelajaran lain. Ia dapat diibaratkan hanya sebagai pelakon tambahan di dalam dunia pendidikan negara. Cuba teka, apakah mata pelajaran yang selalu dianaktirikan ini?

Mestilah mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

Persoalannya, adakah mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan ini sebegitu tidak penting untuk pelajar? Apakah peranan dan kepentingannya untuk generasi muda kita hari ini? Dan bagaimana sepatutnya subjek ini diimplementasikan dalam kalangan pelajar?

Sebelum itu, apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai sivik? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ada mendefinisikan sivik sebagai ilmu tatarakyat dan hak serta tanggungjawab seseorang terhadap masyarakatnya. Ilmu tatarakyat pula dihuraikan sebagai ilmu berkenaan bagaimana seseorang hidup dalam masyarakatnya. Selain itu, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan pula ditakrifkan sebagai mendidik pelajar dari kecil untuk mempunyai pemikiran yang jelas mengenai peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara serta memberi pencerahan kepada warganegara yang bakal mengambil bahagian dalam membuat sebarang keputusan mengenai masyarakat.

Pendek kata, mata pelajaran sivik di sekolah sepatutnya melahirkan warganegara yang bersifat patriotik, bersatu-padu dan juga bertanggungjawab sebagai rakyat. Di sini kita dapat lihat bahawa subjek sivik dan kewarganegaraan ini amat penting dalam proses mewujudkan satu negara yang aman dan makmur. Namun, kenapa mata pelajaran ini sering diabaikan?

Subjek ini seharusnya diimplementasi menggunakan cara yang pelbagai, kreatif, dan seronok kepada pelajar. Jika difikirkan, sebenarnya terdapat banyak cara dan langkah untuk mengangkat subjek ini ke tingkat yang lebih tinggi dalam sistem pendidikan negara. Yang mana akan membuatkan mata pelajaran sivik ini tidak membosankan, ianya perlu diajar bukan untuk peperiksaan semata-mata tetapi untuk benar-benar menyedarkan pelajar tentang apakah kepentingan dan fungsi setiap dari mereka dalam masyarakat dan negara.

Sebagai contoh, bagi melahirkan pelajar yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat, aktiviti khidmat komuniti boleh dijalankan oleh pelajar. Ianya bukan sahaja dapat menyebabkan pelajar mengetahui tanggungjawab sivik dan kewarganegaraan, mereka juga dapat memupuk sikap toleransi, kerjasama dan semangat berpasukan dalam diri mereka.

Kesimpulannya, mempelajari Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan seterusnya mengaplikasikannya ke dalam kehidupan seharian adalah satu langkah yang amat penting. Ianya akan memberi pelbagai kesan kepada masyarakat dan negara. Contohnya, dengan mendalami subjek tersebut, kes jenayah di dalam negara akan berkurang, sampah tidak akan dibuang merata-rata sewenangnya sehingga menyebabkan berlaku pencemaran dan juga setiap rakyat akan mengetahui hak dan tanggungjawab mereka terhadap negara.

Oleh itu, ayuhlah kita menjadikan subjek ini sebagai pelakon utama!

(Artikel ini adalah tulisan saudari Izzah Z)

Komen