Zaman berzaman, pendidikan dijadikan komoditi untuk berniaga. Zaman moden pasca abad ke-21 ini lebih aneh – disebalik gajet-gajet canggih dan sistem keselamatan sosial oleh negara berkebajikan – golongan yang miskin; tetap tidak mampu untuk mempunyai pendidikan. Sebaliknya, golongan berpendapatan tinggi yang mempunyai kewangan yang kukuh – akan lebih mudah mendapat peluang.
“School has become the world religion of a modernized proletariat, and makes futile promises of salvation to the poor of the technological age.” Ivan Illich, Deschooling Society
Satu masa dahulu, masyarakat terbahagi kepada beberapa teres dan strata sosial yang menjadikan manusia terbahagi kepada kasta-kasta. Dari generasi ke generasi, manusia dirabunkan daripada memahami realiti percanggahan di antara golongan elit dan golongan miskin, borjuis dan proletariat. Lebih malang, percanggahan itu masih kekal berlaku sehingga kini; melalui sistem pendidikan.
Politik Persaingan
Untuk memahami bagaimana sistem ini berjalan, kita harus teliti bagaimana sistem pendidikan yang dilaksanakan di sesebuah negara itu. Pengasingan sosial ini selalunya diterapkan seawal mungkin, pada usia yang muda untuk membentuk minda masyarakat terbabit. Kadangkala percanggahan elit dan miskin ini ditukar-ganti dengan nama yang muluk-muluk untuk menenangkan ketegangan sosial di antara kelas.
Ini yang dinamakan politik persaingan. Dalam politik persaingan, murid dibahagikan kepada beberapa kategori samada pandai, sederhana dan tidak pandai. Mereka kemudian dikumpulkan mengikut label tersebut. Sepanjang tahun, ada murid yang tidak pernah naik kelas sederhana ataupun cemerlang. Mereka kekal menghuni kelas hujung sehingga tamat persekolahan.
Dalam politik persaingan, mereka yang mampu bersaing akan dibenarkan hidup, menghuni kelas atas untuk mentadbir kelas bawahan. Dan perkara ini diajarkan seawal anak-anak kecil dengan umur 7 tahun. Sementara mereka yang tidak mampu bersaing, tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi akan dipaksa untuk menghuni kelas bawahan untuk menjadi orang suruhan kelas atasan.
Pengasingan Kelas
Proses terancang untuk memastikan pengasingan kelas di antara kelas miskin dan kelas elit ini tidak terhad di dalam bilik darjah sahaja.
Di luar kelas, murid yang menduduki kelas hadapan ini akan menghadiri kelas-kelas tambahan dan bengkel menjawab soalan seberapa banyak yang boleh, kerana mereka mempunyai kemampuan kewangan yang membolehkan mereka berbuat demikian. Sementara itu murid-murid kelas belakang yang majoritinya datang dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah – tidak mampu menghadiri kelas tambahan dan bengkel menjawab soalan akibat kekangan kewangan.
Kuasa kewangan digunakan sebagai alat untuk mengasingkan kelas-kelas yang berbeza ini. Di hujungnya, sebuah padang yang tidak rata untuk anak-anak ini bersaing kerana peluang yang jauh berbeza. Pengasingan ini nampaknya tidak terhenti di situ sahaja, murid-murid dibahagikan kepada aliran Sains dan Sastera mengikut kemampuan akademik mereka yang diukur hanya melalui satu penanda aras; bukan kepada minat dan kecenderungan peribadi.
Murid yang cemerlang peperiksaan pada satusatu tahap akan dipaksakan oleh sistem untuk menganut aliran Sains tanpa pilihan, sementara murid yang tidak cemerlang pula akan dihantar masuk aliran Sastera, juga tanpa pilihan. Akibatnya, aliran Sains dipenuhi dengan manusia analitikal tanpa jiwa seni; sementara aliran Sastera dipandang jelek kerana dipenuhi dengan mereka yang tidak cemerlang dalam ukuran akademik.
Hegemoni Kelas Dominan
Berbeza dengan negara maju, aliran Sains dan Sastera dipenuhi oleh individu yang mempunya passion terhadap Sains atau Sastera itu sendiri kerana mereka memilih untuk masuk ke aliran tersebut bukan berdasarkan pencapaian linear satu-satu ujian, tetapi berdasarkan minat dan kecenderungan yang dipupuk dan disedari sejak dari kecil.
Maka lahirlah generasi Sains yang berlumba-lumba untuk menempatkan diri mereka di kelompok atas masyarakat tanpa memikirkan golongan lain; serta generasi Sastera yang tidak pandai menulis atau ber-sastera. Perkara ini begitu jelas sehingga dapat dilihat kepada bentuk bangunan yang dihasilkan tanpa ciri-ciri seni yang tinggi; ataupun kepada industri sastera yang dipenuhi dengan karya oleh individu di luar aliran sastera itu sendiri.
Antonio Gramsci menggunakan istilah ‘hegemoni’ untuk menggambarkan dominasi sesebuah kelas terhadap kelas yang lain. Ini menurutnya bukan sekadar keupayaan untuk kawalan politik dan ekonomi, tetapi juga keupayaan kelas dominan ini untuk memperlihatkan sudut pandang mereka terhadap kelas yang dikuasai. Ini menyebabkan kelas yang dikuasai memandang perkara ini sebagai pekerjaan baik-baik pada masa hadapan. Sementara anak-anak yang menghuni kelas belakang pula, tidak akan mempunyai akses kepada pengajian tinggi seterusnya akan mengisi kekosongan jawatan kelas pekerja bawahan.
Item seperti self esteem, sikap percaya diri serta nilai seperti keadilan dan kesetaraan tidak dapat diimplementasi ke dalam minda anak-anak kelas belakang kerana di akhir sesi persekolahan, mereka akan melihat kejayaan rakan-rakan mereka di kelas hadapan dengan perasaan iri dan hairan. Mengapa rakan-rakan mereka mempunyai peluang yang tidak sama seperti mereka? Mengapa rakan-rakan mereka itu tidak hadir dan membantu mereka untuk sama-sama naik dalam pelajaran? Golongan ini, yang pada akhirnya kecewa dan tidak percaya kepada pelajaran, memilih untuk meneroka perkara baharu kerana tidak dapat memahami keperluan sekolah dan pelajaran di dalam diri mereka.
Ini terjadi kerana pelajaran tidak sedikitpun membantu mereka menangani kesukaran hidup, malah membeza-bezakan pula mereka di antara satu sama lain. Melalui hegemoni juga Gramsci menyatakan, keseluruhan sistem kepercayaan, nilai, perilaku serta moral mempunyai kesan untuk menyokong status quo di dalam hubungan kekuasaan ini. Dalam konteks ini, hegemoni boleh didefinisikan sebagai ‘prinsip terancang’ yang disisip ke dalam proses sosialisasi kehidupan seharian. Kesedaran seperti ini dimasukkan ke dalam fikiran populasi awam sehingga ia dikenali sebagai aturan awam agar falsafah, budaya dan moral penguasa elit terpapar sebagai sesuatu yang ‘normal’ sekali lagi.
Masa Depan Pendidikan Moden
Untuk yang bijak memerhati, punca kepada permasalahan ini adalah apabila institusi pendidikan menjadi terlalu rigid dengan arahan monotonous melalui hegemoni pelan mengajar, kurikulum, pedagogi dan ketidakmahuan sistem untuk melihat kepada masalah politik dan budaya. Douglas Kellner di dalam makalahnya Toward a Critical Theory of Education menekankan perkembangan pedagogi radikal akan membolehkan guru melepaskan diri mereka dari model sebegini untuk melihat kepada beberapa model lain yang lebih menekankan kerjasama seperti Deweyan experimental education, pedagogi alternatif dari Freire atau konsep baharu pendidikan oleh Illich.
Menurutnya lagi, pembelajaran koperatif yang melibatkan lebih banyak dialog serta hubungan sosial yang interaktif mampu mempromosi demokrasi, sikap kerjasama serta nilai sosial positif terutamanya untuk memenuhi sifat percaya diri dalam pembelajaran.
Pembelajaran moden yang melihat dunia di dalam fesyen linear berdasarkan cetakan-cetakan sejarah sebenarnya sedang menipu manusia kerana perhambaan masih lagi berlaku samada di negara ketiga mahupun negara pertama. Yang berubah hanyalah terma-terma teknikal yang tidak difahami umum untuk mengaburi mata awam.
Jika pendidikan moden masih menggunapakai politik persaingan, membahagi murid berdasarkan potensi intelek semata-mata, mengajarkan superioriti individu lebih tinggi dari kerjasama serta berfungsi untuk mengekalkan kelas-kelas sedia ada untuk memastikan kuasa elit untuk memerintah golongan bawahan; nyatalah pendidikan moden telah menjadi alat kepada sebuah sistem lama yang satu masa dahulu dikenali sebagai kasta.
Oh, tidak seorang pun di kalangan kita menyedarinya bukan?
“School is the advertising agency which makes you believe that you need the society as it is.”
Ivan Illich
(Artikel ini adalah petikan dari buku Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang)