Sisi Gelap Sustainable Development Goals

Matlamat pembangunan mapan atau Sustainable Development Goals (SDGs) sering dihebohkan sebagai agenda utama pembangunan dunia. Menjelang tahun 2030, khabarnya tiada lagi kemiskinan, keadilan dan kesaksamaan dapat ditegakkan dan dunia menjadi tempat paling aman dan sejahtera untuk didiami.

Ya! 2030 bukanlah terlalu jauh. Sekarang kita sedang berada di tahun 2020, 10 tahun lagi kita akan sampai ke tahun 2030 dan adakah sekarang dunia benar-benar sedang bebas dari kemiskinan, bagaimana pula dengan kesaksamaan dan keadilan khasnya dari sudut gender dan status sosial? Sudah mula ditegakkan atau belum?

Adakah setiap pelosok dunia kini jadi kawasan yang selamat dan sejahtera untuk didiami?

Ini semua persoalan-persoalan besar yang harus kita tanyakan setiap kali kita bergosip dan bercerita macam nak runtuh tentang SDGs ini.

Kita tahu sebenarnya sistem hubungan antarabangsa yang sedang kita langgani sekarang tidak akan membenarkan kita mencapai segala macam agenda dalam SDGs ini. Di atas kertas dan pada mata kita memang nampak molek, tidak ada siapa yang tidak mahu menghapuskan kemiskinan dan tidak ada siapa yang tidak mahu hidup dalam alam sekitar yang bersih.

Semua orang mahukan itu, tapi ketidakseimbangan dalam hubungan antarabangsa tidak membenarkan kita menikmati semua itu secara bersama-sama. Kesejahteraan nampaknya layak dimiliki oleh negara-negara kaya sahaja.

Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, United Kingdom, Australia dan Jepun adalah negara-negara yang selalu dirujuk sebagai negara sejahtera. Mereka dikatakan menjadi contoh kepada segala macam kebaikan dan usaha-usaha besar untuk kesejahteraan dunia.

Namun di sebalik segala-galanya itu, mereka sebenarnya menjadi punca dan contoh terbaik dalam kita melihat bagaimana ketidakadilan sistem hubungan antarabangsa menjadi penghalang besar untuk kita melihat pencapaian memberangsangkan dalam SDGs ini.

Kira-kira setahun lalu telah terdedah laporan mengenai bagaimana negara-negara membangun seperti Malaysia telah dijadikan sasaran sebagai tapak pelupusan sampah yang datangnya dari negara-negara maju yang disenaraikan tadi.

Ya! Untuk memastikan negara mereka cantik, indah, selamat, sejahtera, mapan, bersih dan segala macam kata-kata molek, mereka telah membuang kekotoran sendiri ke negara orang.

Biarlah negara orang kotor, asalkan negara sendiri cantik.

Ini adalah satu bentuk pembulian besar negara-negara maju terhadap negara-negara membangun. Ia bukan sahaja menambah beban dan masalah, tetapi menghumban sejuta kesukaran buat negara-negara membangun untuk mencapai sasaran kemapanan sendiri.

Tindakan seperti ini melihatkan kepada kita bahawa SDGs hanyalah sebuah bayang kepalsuan kerana negara-negara maju masih hipokrit dan mementingkan diri sendiri dalam menjayakannya.

Selagi mana tiada sebarang mekanisme keadilan dapat ditegakkan dalam mengurus hubungan antarabangsa, selagi itu agenda seperti SDGs ini hanya menjadi mainan dan ilusi ciptaan negara-negara maju sahaja.

Apa yang dinyatakan ini bukanlah satu usaha untuk menutup segala kelemahan dan kebobrokan institusi yang wujud dalam kalangan negara-negara membangun, ia harus diakui wujud, namun apa yang lebih penting, paksi keadilan wajar ditegakkan untuk negara-negara membangun ini menerima ruang yang sama dan tidak ditindas dengan mudah seperti isu pembuangan sampah ini.

Paksi kejayaan SDGs sebagai komponen penting pembangunan dunia adalah keadilan dan negara-negara maju harus bersikap benar sebagai sebuah negara maju dan bukannya berselindung di sebalik perkataan maju, mapan dan sejahtera dan kemudiannya mencampakkan segala kekotoran ke negara-negara membangun.

Janganlah kita berbangga dengan kecantikan kota London misalnya kerana segala sampah di kota itu kini berada di Semenyih dan bersedia untuk dilupuskan.

Komen