Siapa Ismail Sabri?

Hari ini Malaysia telah dianugerahkan Perdana Menteri ke-9 dalam sosok bernama Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.

Siapa Ismail Sabri?

Persoalan ini timbul kerana hingga tamat separuh masa 2021, nama Ismail Sabri tidak pernah dijangka oleh sesiapa sebagai calon yang bakal menjadi Perdana Menteri ke-9. Di ketika itu, nama-nama ‘panas’ yang berlegar di mulut rakyat adalah Anwar, Azmin, Mahathir, Muhyiddin, Najib dan Zahid.

Tetapi Ismail Sabri muncul entah dari mana untuk menjadi Perdana Menteri ke-9. Sedikit-sebanyak, untung nasib beliau mungkin boleh dikreditkan kepada Muhyiddin atau Mahiaddin Yassin yang melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika hayat-hayat akhir kerajaan Perikatan Nasional (PN). Malahan dengan posisi timbalan itu, Ismail Sabri pernah cuba untuk menawarkan diri sebagai pengganti Muhyiddin secara peralihan kuasa tanpa menumbangkan kerajaan PN.

Namun kerajaan PN akhirnya tumbang dikhianati rakan sendiri. Muhyiddin hilang jawatan Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet gugur dan buat seketika, kita benar-benar menjangkakan seseorang yang bukan Ismail Sabri bakal menjadi Perdana Menteri ke-9.

Jangkaan kita meleset.

Dalam satu percaturan politik yang licik, UMNO kembali menjadi satu dan berpakat menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri mereka. Pada masa yang sama, mereka berjaya memujuk parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti-parti komponen PN khususnya BERSATU untuk turut menyatakan sokongan. UMNO juga berjaya mengajak Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mencukupkan majoriti 114 buat Ismail Sabri dilantik Perdana Menteri.

Melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mungkin menjadi sindiran sesetengah pihak. Tetapi jika pihak yang menyindir ini adalah mereka yang sama berhujah tentang pembaharuan politik Malaysia, mungkin beberapa fakta tentang Ismail Sabri perlu diberi perhatian.

Pertama sekali, Ismail Sabri adalah dari generasi kepimpinan UMNO pasca Mahathir. Bukan ‘Mahathir PM7’, tetapi ‘Mahathir PM4’. Walaupun menyertai UMNO sejak 1980-an, Ismail Sabri hanya dapat bertanding dalam pilihan raya buat pertama kali pada tahun 2004 di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi bergelar Perdana Menteri.

Peluang Ismail Sabri muncul apabila kawasan parlimen Bera diwujudkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hasil pecahan dari parlimen Temerloh. Dipilih sebagai calon BN untuk bertanding julung kalinya, Ismail Sabri menang dengan majoriti 4,982 undi menewaskan calon PAS. Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008, beliau sekali lagi mengekalkan kerusi parlimennya dan hasil kejayaan itu membuatkan Ismail Sabri dilantik ke jawatan Menteri Belia dan Sukan oleh Abdullah. Ismail Sabri mengekalkan kerusi Bera untuk dua pilihan raya umum berikutnya, termasuklah yang terakhir pada 2018 walaupun dengan majoriti yang lebih sedikit hasil pertembungan tiga penjuru BN-PH-PAS.

Maka bolehlah kita andaikan berbanding Anwar, Muhyiddin, Najib atau Zahid; Ismail Sabri adalah dari generasi kepimpinan UMNO baharu yang bukannya datang dari zaman ‘Mahathir PM4’. Ismail Sabri juga mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri negara yang pertama lahir selepas Merdeka, iaitu pada 18 Januari 1960.

Mungkin, kelainan dan kesegaran baharu yang dibawa oleh sosok Ismail Sabri ini boleh diambil kira jika kita mahu bercakap tentang muka baharu dalam politik negara. Ismail Sabri adalah nama yang keluar dari kelompok Mahathir, Anwar, Muhyiddin, Najib atau Zahid; muka-muka lama yang seperti sudah menjadi artifak dalam muzium politik. Ismail Sabri bukan wakil rakyat yang asal dari era ‘Mahathir PM4’, tetapi dari zaman Pak Lah dan alaf baharu. Ismail Sabri juga adalah seorang Perdana Menteri yang lahir di tahun 1960 hampir tiga tahun selepas Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘Merdeka!’ tanggal 31 Ogos 1957.

Tetapi adakah akan wujud pembaharuan yang diharapkan rakyat Malaysia?

Ada yang akan berkata tidak. Dan mungkin ada betulnya.

Ismail Sabri walaupun boleh dikira orang baharu (jika dibandingkan dengan yang lain tadi) akan tetapi dia datang dari parti UMNO, parti yang dilihat sebagai masih lagi mewakili idealisme politik lama. Meletakkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9 tampak sesegar kopi panas, tetapi ia kemudian terasa seperti kopi semalam apabila kita menyedari Perdana Menteri itu dari parti UMNO.

Bukan sedikit yang sedang mencongak, sejauh manakah Ismail Sabri dapat bertahan sebelum dia dipengaruhi presiden partinya sendiri, Zahid atau mantan presiden parti Najib. Apatah lagi kedudukan majoriti 114 yang dipegang adalah tipis dan tergantung pada kesetiaan BERSATU dan PAS untuk kekal memberi sokongan.

Jadi, era pembaharuan politik Malaysia oleh orang baharu, atau politik kekal di takuk lama kerana parti keramat?

Persoalan itu hanya dapat dijawab selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah.

Komen