Setahun Yang Tersia

Salah satu pencapaian membanggakan negara kita sejak dari Merdeka, ialah upaya mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang demokratik dalam erti kata mampu milik dan boleh diakses oleh segenap lapisan.

Walaupun mungkin ada perbezaan pandangan tentang kualiti atau keberkesanan sistem pendidikan kebangsaan ini, satu hal yang kita perlu akui ialah ia bersifat menyeluruh dan berjaya dalam memastikan setiap anak Malaysia mendapat pendidikan sewajarnya. Kita ada sejumlah 7,780 sekolah rendah dan 2,440 sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan di seluruh Malaysia. Sekolah-sekolah ini memberikan peluang pendidikan kepada 2,741,955 murid sekolah rendah dan 1,988,781 murid sekolah menengah, pada kadar enrolmen 91.38% untuk sekolah rendah dan 81.23% untuk sekolah menengah.

Dicampur dengan enrolmen di sekolah swasta, boleh dirumuskan dalam hal pendidikan sekolah negara kita telah mencapai kadar enrolmen hampir sejagat. Ini dapat diterjemahkan dengan kadar celik huruf yang tinggi melebihi 95%. Di Malaysia, majoriti anak-anak kita berada dalam sistem persekolahan kebangsaan dan kebanyakan mereka akan berjaya melengkapkan tempoh 11 tahun (6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah) sebelum melangkah ke Tingkatan 6 atau pendidikan tertiari yang lain.

Kendatipun begitu, ia tidak bermakna tiada anak Malaysia yang tercicir dalam persekolahan. Statistik tahun lepas disulami dengan pandemik Covid-19 menunjukkan sejumlah 0.13% keciciran di sekolah rendah dan 1.26% di sekolah menengah. Faktor keciciran ini adalah pelbagai, tapi dua punca utama yang boleh dikaitkan ialah kemiskinan dan kemunduran.

Kemiskinan memang tidak dapat dinafikan antara punca utama berlakunya keciciran murid. Walaupun yuran sekolah kerajaan adalah sangat berpatutan dan wujudnya bantuan atau subsidi lain, masih ada kos sampingan seperti pengangkutan, makan dan perkakasan pembelajaran yang menghalang anak Malaysia dari kalangan keluarga B40 berada dalam sistem persekolahan kebangsaan. Selain itu, desakan kewangan yang memerlukan murid meninggalkan sekolah dan bekerja membantu keluarga juga antara penyebab keciciran berlaku.

Jika tidak kemiskinan, wujud pula faktor kemunduran yang menghalang pembelajaran. Kemunduran ini boleh saja mencakupi aspek ketiadaan pendidikan di kalangan keluarga sekaligus membuatkan mereka buta kepada pentingnya persekolahan, atau juga aspek pembangunan di mana keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman tanpa infrastruktur yang baik serta jarak sekolah yang jauh membuatkan mereka memilih untuk tidak menyekolahkan anak.

Justeru, walau segigih mana pun usaha dibuat untuk memastikan kadar enrolmen sekolah tinggi, kita masih tidak mampu mencapai kadar 100%. Tiada yang sempurna.

Dan hal ini membawa kita semua kepada apa yang berlaku semalam, 20 Januari 2021 iaitu hari pertama persekolahan ketika negara sedang berdepan gelombang ketiga Covid-19.

Dengan kes harian yang mencecah empat angka setiap hari, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan saat akhir untuk mengadakan persekolahan secara dalam talian. Ia adalah tindakan yang telah dituntut sejak sekian lama oleh para guru, ibu bapa dan murid tetapi masih mengejutkan kerana sejak sekian lama disuarakan, KPM memilih untuk hanya berdiam diri tanpa memberi sebarang hala tuju yang jelas.

Maka apabila keputusan diambil untuk mengadakan persekolahan dalam talian, ia mengejutkan semua pemegang taruh yang sudah pun bersedia dengan kelengkapan sekolah dan dalam kes tertentu, ada murid yang sudah pun pulang ke asrama sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin membuat kejutan saat akhir apabila mengumumkan pengangguhan sesi persekolahan bersemuka seluruh negara pada 16 Januari 2021, berbaki lagi tiga hari sahaja lagi sebelum sesi persekolahan bermula dan untuk sekolah asrama, pada hari yang sama para pelajar asrama ditetapkan untuk pulang ke asrama.

Maka seluruh negara dari anak murid ke para guru dan ibu bapa berada dalam keadaan tidak bersedia. Kerana secara tiba-tiba persekolahan perlu dibuat dalam talian dengan pihak KPM sendiri tidak mempunyai perancangan yang jelas untuk memastikan semua murid dapat melibatkan diri.

Lalu apa yang akan berlaku?

Jika isu keciciran dalam sesi persekolahan biasa berlaku sebelum ini kerana masih wujud masalah kemiskinan dan kemunduran, maka selepas dari 20 Januari 2021 masalah keciciran ini akan menjadi lebih besar.

Hakikatnya tidak semua murid datang dari keluarga yang sama tahap sosioekonominya. Sedang persekolahan dalam talian menuntut penggunaan gajet seperti telefon bimbit, komputer atau tablet; berserta dengan liputan Internet dan kuota data secukupnya.

Sekali lagi, faktor kemiskinan dan kemunduran menjadi penghalang kepada peluang pesekolahan sama rata. Murid dari keluarga miskin berdepan isu ketiadaan atau kekurangan gajet yang perlu untuk persekolahan dalam talian. Murid dari keluarga yang dibendung kemunduran juga berdepan dengan masalah tiadanya liputan Internet untuk menyokong persekolahan dalam talian.

Situasi ini diburukkan lagi dengan pelaksanaan PKP 2.0 oleh kerajaan yang memberi kelonggaran kepada sektor tertentu beroperasi, akibatnya ada ibu bapa yang terpaksa keluar bekerja sedang anak pula terpaksa tinggal di rumah untuk melalui persekolahan dalam talian tanpa bimbingan.

Semalam, kita dihidangkan dengan imej indah belaka bagaimana persekolahan dalam talian dijalankan di rumah-rumah keluarga yang berkemampuan, yang ada cukup gajet untuk setiap anak yang bersekolah, lengkap dengan meja dan kerusi serta bilik sendiri yang selesa. Imej indah belaka ini dijaja ke serata media untuk menggambarkan semuanya OK.

Yang tidak diceritakan ialah kisah Orang Asal di pedalaman yang mungkin tercicir kerana tiada liputan Internet atau kisah keluarga B40 yang hanya ada satu telefon bimbit untuk dikongsi bersama oleh tiga anak yang bersekolah. Tidak ada siapa mahu mengambil gambar anak-anak Malaysia dari keluarga miskin dan mundur yang duduk terlopong di hadapan rumah kerana sekolah ditutup.

Kita tidak boleh nafikan, persekolahan dalam talian akan mewujudkan lebih ramai murid yang keciciran. Sebetulnya dalam krisis pandemik ini kita tiada pilihan lain demi keselamatan anak-anak Malaysia, tetapi kita juga tidak boleh lari dari persoalan penting yang patut dijawab oleh Menteri Kanan Pendidikan dan KPM sendiri.

Selama setahun berdepan krisis pandemik, apa yang telah mereka buat? Apa persediaan yang dirangka, apa strategi yang mahu diguna pakai? Kenapa walaupun setelah ditekan oleh pelbagai pihak untuk sekurang-kurangnya membentangkan satu pelan yang jelas dan tersusun, pihak menteri dan kementerian masih lagi kelihatan tidak bersedia dengan mempraktikkan persekolahan dalam talian secara seragam atau berdepan apa-apa situasi luar jangka.

Kegagalan untuk bersedia walaupun sudah setahun berdepan pandemik Covid-19 tidak boleh diterima. Kegagalan ini akan merencatkan proses pembelajaran murid yang kesannya pasti jauh lebih besar di masa hadapan. Kegagalan ini juga akan mewujudkan lebih banyak kes murid keciciran dan yang paling kritikal, melebarkan jurang antara anak si kaya dan maju dengan anak si miskin dan mundur.

Mereka ada tempoh setahun untuk bersedia, tetapi sayang mereka lebih suka berpolitik.

Melihat kepada kegagalan menteri kanan dan kementerian dalam mengurus perkara semustahak begini membuatkan kita semua tertanya, sejauh manakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini benar-benar prihatin dan ambil berat terhadap kebajikan rakyat, khususnya anak-anak Malaysia yang kini berada dalam sistem persekolahan kebangsaan?

Setahun yang tersia ini, rasanya sudah cukup untuk kita sedar.

Komen