Seni Perang Shafie Apdal

Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita menyaksikan pengkhianatan nasional pada skala yang tidak pernah terlihat dan bagaimana demokrasi dilacurkan demi kuasa. Selepas kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) tersungkur, satu demi satu pula kerajaan negeri yang dipilih secara demokratik ditumbangkan, bermula dengan Johor, Melaka, Perak dan seterusnya Kedah.

Pengkhianatan ini berlaku dengan pujuk rayu serta sogokan kepada ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri untuk berpaling tadah dan melompat parti. Hasilnya satu pihak akan kehilangan kerusi manakala di satu pihak pula akan bertambah kerusinya. Selepas itu percaturan dibuat dan pihak yang beroleh majoriti dengan mudah merampas kuasa untuk menubuhkan kerajaan yang baharu.

Beginilah bagaimana demokrasi dilacurkan. Pengundi yang beratur di bawah terik mentari atau titisan hujan ketika mengundi semasa PRU14 dahulu rupanya hanya membuang masa. Tidak ada guna mengundi seorang wakil rakyat apabila si wakil rakyat itu sewenangnya melompat seperti katak untuk kepentingan diri sendiri.

Jika kita rasakan saranan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk tidak berpolitik semasa pandemik COVID-19 itu satu saranan yang waras, percayalah bahawa saranan itu hanyalah gula-gula. Di belakang kita semua, puak politikus ini sibuk mengatur strategi untuk membolot kuasa selagi ada. Persetankan COVID-19 dan nasib rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hal kuasa adalah jauh lebih mustahak bagi politikus ini.

Maka tidak hairanlah bila selepas tumbang kerajaan Persekutuan diikuti kerajaan negeri Johor, Melaka, Perak dan Kedah; satu lagi komplot pelacuran demokrasi sedang giat dilaksanakan. Kali ini, nun jauh di seberang Laut China Selatan.

Gugurnya kes pertuduhan ke atas Musa Aman sebenarnya petanda awal tentang komplot yang diusahakan. Bebas dari perbicaraan mahkamah, Musa Aman terus sihat walafiat dan giat ke sana ke sini melobi sokongan. Hasilnya mahsul, dilaporkan sejumlah 32 ADUN kini bersama Musa Aman untuk menubuhkan kerajaan negeri Sabah yang baharu.

Tetapi jika ada sesuatu yang boleh dipelajari dari episod-episod pelacuran demokrasi yang berlaku sebelum ini di peringkat Persekutuan, Johor, Melaka, Perak dan Kedah maka ianya adalah untuk membubarkan kerajaan sebelum ia boleh ditumbangkan. Dan ini strategi yang digunakan oleh Ketua Menteri, Shafie Apdal sebaik sahaja beliau sedar bahawa kedudukan kerajaan negeri pimpinan Warisan/PH berada dalam bahaya untuk ditumbangkan.

Percaturan Shafie Apdal adalah jelas. Warisan dan sekutunya tidak dapat mempertahankan majoriti di dalam DUN Sabah setelah blok Musa Aman dan PN memiliki angka 33 ADUN dari jumlah penuh 60 kerusi. Namun sebelum sempat Musa Aman dan penyokong menghadap Yang di-Pertua Negeri, Shafie Apdal terlebih dahulu memohon perkenan pembubaran DUN untuk mengadakan pilihan raya negeri yang baharu.

Tindakan Shafie Apdal ini adalah nekad. Ini seni perang yang jika Sun Tzu, pengarang The Art of War masih hidup, dia sendiri mungkin akan tunduk hormat tanda kagum.

Tiada siapa yang sukakan wakil rakyat yang bersifat seperti seekor katak, melompat ke mana sahaja ada kuasa dan wang. Apabila Musa Aman muncul dengan blok 33 ADUN, yang terlihat jelas di mata para pengundi ialah ‘katak-katak’ yang perlu dibuang kerana pengkhianatan mereka terhadap demokrasi. Dan tiada masa yang lebih baik untuk menghukum ‘katak-katak’ ini melainkan dari memangil satu snap election atau pilihan raya mengejut, ketika sakit hati rakyat yang menjadi pengundi masih belum kering lukanya.

Kini kelebihan memihak kembali pada Shafie Apdal yang sebelumnya telah kehilangan majoriti di dalam DUN. Beliau kini dilihat pemimpin yang bersedia mengorbankan kerajaannya sendiri demi mengembalikan mandat kepada rakyat melalui saluran demokrasi yang sah iaitu peti undi. Sementara Musa Aman pula terperangkap dalam imej si pengkomplot, menyogok wakil rakyat demi nafsu politik beliau sendiri. Bagi ‘katak-katak’ yang bersama dengan Musa Aman, nasib mereka kini terumbang-ambing, sama ada masih akan bertanding dalam pilihan raya negeri atau tidak. Jika bertanding, mereka akan dilihat sebagai ‘calon katak’ yang kaki lompat serta gila kuasa dan wang. Besar kemungkinan mereka tidak lagi mampu menarik undi rakyat yang sudah bosan dengan penipuan ‘katak-katak’ ini.

Jika isu integriti ‘katak-katak’ adalah satu masalah buat Musa Aman dan blok beliau, ada isu lain yang jauh lebih besar menghantui gabungan Perikatan Nasional (PN). Tidak mustahil, ini juga satu perkara yang diteliti oleh Shafie Apdal hingga beliau berani memanggil satu pilihan raya mengejut.

PN yang masih lagi baru belum pernah diuji dalam pilihan raya besar, berbanding gabungan Warisan dan PH yang jelas telah berjaya dilaksanakan ketika PRU14 lalu. Dua parti utama dalam PN, Bersatu dan UMNO kini berdepan isu pembahagian kerusi, sementara satu lagi parti iaitu PAS berkemungkinan juga berhajat besar mahu bertanding di satu atau dua kerusi. Bagaimana parti-parti di dalam PN ini dapat mencapai kata sepakat pembahagian kerusi, menjadi tanda tanya paling utama. Dan ini belum dikira lagi dengan pandangan parti-parti Sabah lain yang pastinya mahukan bahagian mereka sendiri supaya tidak dilihat menjadi pak turut kepada parti-parti asal Semenanjung.

Berbeza pula dengan Warisan dan PH, blok ini hanya perlu untuk menggunakan formula pembahagian sedia ada semasa PRU14 dengan sedikit pengubahsuaian memandangkan kerusi DUN akan meningkat ke angka 73 berbanding 60 kerusi sebelum ini. Dan walau apapun keputusan yang dicapai, apa yang pasti ialah Warisan akan mendapat jumlah kerusi paling besar untuk ditandingi. Dengan status selaku parti negeri dan bukannya pasti asal Semenanjung, kelebihan Warisan ialah ianya akan dilihat sebagai pilihan terbaik untuk pengundi Sabah memilih parti yang akan menjamin hak autonomi negeri Sabah berbanding memilih PN yang jelas dilihat akan tunduk pada telunjuk Putrajaya.

Seperti yang dituliskan sebelum ini, seni perang Shafie Apdal ini tidak mustahil boleh dikagumi oleh seorang jeneral perang seperti Sun Tzu.

Siapa yang bakal menang pilihan raya negeri Sabah adalah terlalu sukar untuk diramalkan. Tetapi di atas papan catur terlihat jelas Warisan dan PH memiliki kelebihan dari sudut moral dan kerjasama sepasukan.

Pun begitu, jika Shafie Apdal dan Warisan/PH tersungkur setidaknya mereka terlihat berundur dengan melawan.

Tetapi jika Shafie Apdal beroleh kemenangan, maka ia satu seni perang yang boleh dijadikan panduan untuk kerajaan negeri PH yang masih ada mempertahankan kedudukan mereka jika berlaku usaha sabotaj dari pihak lawan. Dan tidak mustahil juga ia akan menjadi rujukan untuk ramai penganalisis politik berfikir kembali, mungkinkah membubarkan parlimen adalah pilihan terbaik buat Mahathir Mohamad ketika krisis Langkah Sheraton tempoh hari.

Oh, tidak lupa juga kemenangan Shafie Apdal dan Warisan/PH boleh sahaja mengukuhkan kembali kedudukan beliau sebagai calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan.

Mungkin inilah agenda paling besar dalam seni perang Shafie Apdal.

Komen