SEANDAINYA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh sebulan dua ini, kita berkemungkinan besar akan melihat perpecahan politik Melayu yang jauh lebih teruk berbanding ketika PRU14 atau pun ketika kewujudan Parti Melayu Semangat 46 dahulu.
Politik Melayu tidak lagi semudah memilih antara UMNO atau PAS seperti apa yang berlaku dalam banyak PRU yang lain. Hari ini, politik Melayu secara mudahnya terpecah kepada tiga kelompok besar dengan di dalamnya terdiri beberapa pecahan parti Melayu yang lain.
PRU15 mungkin akan menyaksikan pertembungan antara gabungan parti-parti politik. Gabungan ini terdiri dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA). Di antara empat gabungan yang akan menentukan percaturan politik khususnya di Semenanjung, tiga darinya mengandungi parti Melayu yang berada di sayap paling kanan atau kanan-tengah.
Barisan Nasional
Barisan Nasional seperti lazimnya bertunjangkan tiga parti berasaskan kaum iaitu UMNO, MCA dan MIC. Parti terbesar, UMNO seperti kita sedia maklum adalah parti Melayu terbesar dan buat kebanyakan masa di dalam sejarah politik negara menjadi satu-satunya parti Melayu tunggal.
Tetapi pasca PRU14 menyaksikan UMNO tidak lagi segagah dahulu. Sebaliknya parti ulung bangsa Melayu ini berdepan krisis dalaman dan luaran. Krisis rasuah melibatkan beberapa pemimpin parti telah melemahkan UMNO akibat munculnya perebutan kuasa dalaman bagi mengisi vakum kepimpinan yang ada. Dari segi luaran, UMNO berdepan saingan parti-parti Melayu lain serta terhakisnya sokongan akar umbi akibat krisis dalaman parti itu sendiri.
Walaupun mencatatkan keputusan yang baik dalam PRN Melaka dan Johor, ia bukanlah kayu ukur mutlak untuk meletakkan UMNO selesa mendatangi PRU15. Senario dalam PRU mungkin berbeza dengan Pilihan Raya Negeri (PRN). Dan ini tidak mustahil akan menjejaskan UMNO sebagai parti terulung orang Melayu.
Perikatan Nasional
Cabaran buat UMNO dan BN datang sebenarnya dari PN yang di dalamnya dianggotai oleh dua parti Melayu lain. Satu parti berasaskan nasionalisme bangsa iaitu BERSATU, manakala satu lagi berasaskan fundamentalisme agama iaitu PAS.
Walaupun mungkin tidak mempunyai sokongan yang besar seperti UMNO dan BN, gabungan PN memiliki kelebihan kerana kekuatan BERSATU dan PAS yang berbeza antara mereka. BERSATU lebih mirip kepada UMNO, dan berkemungkinan besar mempunyai peluang lebih cerah di negeri-negeri pantai barat Semenanjung. Manakala pas pula dilihat lebih kuat di negeri-negeri pantai timur atau utara Semenanjung yang boleh dikira sebagai Malay Belt.
Apa yang diperlukan oleh BERSATU dan PAS melalui gabungan PN mereka adalah peluang untuk satu lawan satu menentang UMNO dalam PRU15. Jika senario ini berlaku, berkemungkinan UMNO dilihat berpeluang cerah menang ke atas BERSATU tetapi situasi yang sama tidak boleh dirumuskan apabila bertemu PAS di kawasan Malay Belt tadi.
Gerakan Tanah Air
GTA merupakan gabungan termuda antara gabungan politik yang ada. Namun satu perbezaan ketara di dalam GTA berbanding gabungan lain ialah ianya dianggotai sepenuhnya oleh parti berasaskan kaum Melayu.
Tonggak utama GTA adalah parti PEJUANG yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad. Walaupun tidak segah UMNO atau BERSATU atau pun PAS, akan tetapi keupayaan Mahathir selaku tokoh yang boleh menarik sokongan sekelompok Melayu tidak boleh dinafikan. Ini terbukti dalam PRU14 apabila Mahathir menjadi faktor utama yang menjerumus kepada jatuhnya BN dan UMNO.
Dan menjelang PRU15, PEJUANG kini mempunyai kelebihan apabila bersekutu dengan parti seperti PUTRA, BERJASA dan IMAN. Kesemuanya parti berasaskan kaum yang mensasarkan undi Melayu-Islam, lalu menjadikan undi Melayu sebagai rebutan utama dalam pilihan raya akan datang.
Pakatan Harapan
Satu-satunya gabungan politik yang dilihat tidak mengandungi elemen politik Melayu adalah PH. Terdiri dari lima parti komponen, satu-satunya parti yang mungkin boleh dikira berasaskan kaum dan bergantung penuh pada undi Melayu adalah AMANAH, yang merupakan serpihan dari parti PAS.
Namun konsep AMANAH yang berteraskan Islam progresif tidaklah mendapat sambutan yang besar dari masyarakat pengundi Melayu, melainkan mungkin di kawasan bandar yang bersifat lebih terbuka dan maju. Jujur perlu kita akui, AMANAH masih bergantung harap pada undi bukan Melayu untuk berpeluang menang dalam kerusi ditandingi pada PRU15 nanti.
Rumusan
PRU15 akan menyaksikan pertembungan parti-parti Melayu pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Secara keseluruhan akan ada lapan parti berasaskan Melayu atau Islam yang akan bersaing dalam PRU15.
Undi Melayu adalah majoriti dalam mana-mana PRU sebelum ini dan ia akan kekal sama pada PRU15 nanti. Tetapi dengan sekian banyak parti Melayu wujud dan pertembungan lebih dari dua penjuru di setiap kerusi, pastinya perebutan undi akan menjadi sengit.
Senario ini tidak pernah berlaku dalam politik Melayu sejak Merdeka lagi.
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.