PRK DUN Slim melabuhkan tirainya semalam dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz menang dengan 13,060 undi menewaskan calon Pejuang, Amir Khusyairi Mohd Tanusi (2,115) dan Bebas, Santharasekaran a/l Subramaniam (276). Mohd Zaidi menang pertarungan tiga penjuru dengan majoriti 10,945 undi.
Kemenangan BN dalam PRK Slim sememangnya telah dijangka, memandangkan Slim adalah kubu kuat BN sejak beberapa penggal dan ia kekal tidak berubah tangan walaupun DUN Behrang, DUN Sungkai dan malahan Parlimen Tanjong Malim dimana ketiga kerusi DUN ini berada menyaksikan perubahan parti yang menang. Tetapi perkara yang mungkin tidak dijangka ramai ialah kemenangan BN dalam PRK Slim ini dicapai dengan jumlah undi yang lebih banyak berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14). Bahkan juga undi sebanyak 13,060 yang diperolehi BN jauh mengatasi jumlah undi yang berjaya diperolehi Pakatan Harapan (PH) dan PAS ketika PRU 14 iaitu 10,247 undi.
Kemenangan besar BN di PRK Slim ini sekaligus menimbulkan persoalan, apa yang sudah terjadi pasca PRU 14 dan pasca Langkah Sheraton apabila kerajaan PH ditumbangkan dengan pembentukan Perikatan Nasional (PN). Di manakah letaknya semua blok politik yang ada hari ini, termasuklah Muafakat Nasional (MN), dalam dinamik politik negara yang semakin mengelirukan?
Maka ini pemerhatian saya usai PRK Slim 2020.
Hegemoni Melayu-Islam Dalam Lanskap Politik Malaysia Adalah Benar
Dan PRK Slim adalah manifestasi pada hegemoni ini dan idea pemerintahan kerajaan Melayu-Islam yang memang kena dengan tekak kelompok pengundi di Slim. Apakah kelompok pengundi di Slim? Majoriti mereka adalah Melayu (75%) yang merupakan penduduk luar bandar dengan sebahagian besar adalah peserta rancangan FELDA yang sinonim dengan sokongan ke atas BN.
Sentimen di kalangan kelompok Melayu luar bandar atau peserta FELDA ini adalah, kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam banyak tergugat oleh pemerintahan PH selama 22 bulan. Dalam konteks PRK Slim, ancaman ini berlaku di dua peringkat kerajaan iaitu persekutuan dan negeri (Perak ditadbir PH selari dengan kerajaan persekutuan PH). Lantaran baik dari sudut negara atau negeri, majoriti pengundi Slim berpandangan nasib dan masa depan mereka gagal dibela sekiranya PH berkuasa.
Sentimen ini sangat menebal di kalangan pengundi Melayu di Slim dan ia mungkin menjelaskan kenapa berlaku perubahan arus pengundian yang ketara kepada BN dan bukan dua calon yang lain. Pengundi Melayu rata-ratanya yakin undi kepada BN di bawah kepimpinan UMNO akan dapat melindungi Melayu dan Islam dari ancaman PH.
Kleptokrasi, Rasuah Atau Salah Guna Kuasa Bukan Isu Penting
Strategi Pejuang dan sekutunya PH dalam berdepan PRK Slim ini adalah untuk menggunakan peluru yang sama ketika PRU 14 lebih dua tahun lalu. Namun senario politik Malaysia sudah berubah dan selera pengundi Melayu khususnya bukan lagi persoalan kleptokrasi, rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku ketika era kerajaan BN dahulu.
Bagi pengundi Slim yang demografiknya bukanlah pengundi kawasan bandar, isu-isu ini mungkin terlalu kompleks buat mereka atau tidak mengujakan langsung. Pengundi Slim lebih cenderung pada isu sara hidup kendiri, persoalan bread and butter dan bagaimana kerajaan dapat membantu mereka. Biar pun Najib Razak dan Zahid Hamidi tercalar imej mereka dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram, pada majoriti pengundi Slim ia bukan isu pokok.
Adakah ini bermakna kompas moral pengundi Melayu luar bandar sudah terpesong jauh? Mungkin. Tetapi mungkin juga buat kelompok pengundi di Slim ini, mereka tidak peduli. Ya pemimpin BN tercemar dengan kes jenayah besar, tetapi BN sebagai parti jauh lebih mengambil berat keperluan rakyat luar bandar berbanding PH.
Akar Umbi BN Masih Wujud Dan Terus Berkembang
Satu pemerhatian jelas yang terlihat ketika PRK Slim ialah wujudnya barisan yang tersusun di kalangan semua parti komponen BN. Dua parti utama yang sebelum ini digelar sudah hampir mati pasca PRU 14, MCA dan MIC, masih kekal aktif menjalankan gerak kerja dalam PRK ini dan sedikit sebanyak menarik sokongan bukan Melayu kepada calon BN yang datang dari parti UMNO. Kewujudan akar umbi BN memainkan peranan besar dalam PRK ini.
BN juga dibantu oleh dua parti India lain, IPF dan Parti Makkal Sakti Malaysia, walaupun kedua parti ini bukanlah parti komponen BN. Di dalam DUN Slim, pengundi India adalah kelompok kedua terbesar dengan 13% dari jumlah keseluruhan pengundi berdaftar. Keputusan PRK Slim memberikan gambaran sokongan masyarakat India juga kini lebih banyak teralih kepada BN.
Kelebihan bergerak sebagai satu parti adalah antara resipi utama kejayaan BN dalam PRK Slim. Perkara yang sama tidak dapat dilihat di pihak lawan.
Bersatu Tiada Kekuatan Akar Umbi, Dan Pejuang Gagal Mewarisi Apa-apa
Salah satu falasi yang kerap dihebahkan dalam build up untuk PRK Slim ini adalah, ahli-ahli Bersatu sedang berhijrah dalam skala besar mengikut Mahathir Mohamad dan Pejuang di seluruh negara. Realitinya seperti yang ditunjukkan dalam PRK Slim, penghijrahan ini jika benar berlaku impaknya sangatlah kecil untuk mengubah situasi sebuah pilihan raya kecil bahkan yang melibatkan kerusi dewan undangan negeri.
Fakta yang tidak dapat dinafikan ialah Bersatu sebenarnya tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di Slim. Jika kesemua ahli Bersatu di Slim beralih arah menyokong Pejuang, jumlah mereka masih terlalu kecil untuk membawa sebarang perubahan dalam lanskap politik Slim.
Keputusan PRK Slim membuktikan kebenaran fakta tersebut. Calon Pejuang hanya memperolehi 13.69% undi, merosot dari jumlah 33.08% yang diperolehi ketika PRU 14.
Dan sejauh mana pula keberkesanan Bersatu dalam menarik sokongan pengundi kepada BN? Jika dilihat bagaimana pemimpin dan petugas Bersatu disisihkan sepanjang kempen, adalah selamat untuk kira rumuskan impak mereka hampir tiada.
Permuafakatan PAS Sebagai Rakan Baik UMNO/BN
Imej yang kerap digambarkan adalah, PAS kini menjadi khadam kepada UMNO dan BN. Tetapi pemerhatian kasar di PRK Slim dan persepsi yang tergambar di kalangan pengundi Melayu memperlihatkan PAS sebagai rakan yang baik dalam Muafakat Nasional (MN).
Permuafakatan ini boleh dilihat di Felda Besout sebagai salah satu contoh. Markas PAS menjadi tempat berteduh dan makan minum untuk petugas BN. Sikap tolong-menolong dalam muafakat ini selari dengan jiwa gotong-royong Melayu dan persaudaraan Islam. Malahan, ia boleh saja diterjemahkan sebagai penyatuan dalam menjaga maruah Melayu dan Islam yang sedang diancam oleh agenda multiracial PH.
Ura-ura penyokong PAS akan beralih kepada calon Pejuang, seperti yang disuarakan oleh pemimpin Amanah, jauh meleset. Sebaliknya prinsip wala’ kepada pemimpin yang sebati dalam PAS memastikan penyokong PAS kekal setia dalam permuafakatan mereka bersama UMNO.
Kesepakatan PH Dan Pejuang Yang Ketandusan
Berbeza dengan BN dan MN, tiada kesepakatan wujud di kalangan parti-parti dalam PH dan sekutu mereka Pejuang. Jika pun ada usaha untuk memberikan sokongan atau bantuan, ia jelas dilihat tanpa sepenuh kekuatan.
PKR adalah yang paling ketara dilihat tidak membantu dalam kempen di PRK Slim, walaupun hakikatnya DUN Slim terletak di bawah parlimen Tanjong Malim yang dipegang oleh PKR. Ia menimbulkan tanda tanya tentang hubungan Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad, selanjutnya membuatkan pengundi yang mungkin cenderung kepada PH akhirnya berbelah bahagi.
DAP dan Amanah walaupun ada memberikan penglibatan dalam kempen, namun sekali lagi ianya tanpa sepenuh kekuatan. Ini sangat mengecewakan kerana kedua parti ini mempunyai representasi lebih besar di peringkat DUN dan parlimen berbanding MCA dan MIC. Tetapi imej yang digambarkan sepanjang kempen dan gerak kerja di Slim ialah DAP dan Amanah lebih kelihatan nyawa-nyawa ikan berbanding dua parti komponen BN tadi.
Penghujungnya, Pejuang dilihat seperti keseorangan tanpa sokongan padu dari rakan sekutu politiknya.
Apa Selepas Slim?
Minggu-minggu selepas Slim akan memperlihatkan lebih banyak suara yang makin lantang dari UMNO untuk PRU 15 diadakan segera. Slim adalah mesej jelas buat UMNO bahawa mereka kini berada dalam kelebihan untuk bukan sahaja memperolehi mandat baharu melalui PRU 15, tetapi juga untuk menguburkan Bersatu secara total.
Apa yang jelas, keputusan PRK Slim juga membuktikan bahawa masa depan Perikatan Nasional (PN) kini semakin kabur. MIC akan mengakui bahawa keputusan menarik diri dari PN dan kekal setia bersama UMNO dalam BN adalah betul. PAS pula akan menyedari bahawa untung nasib mereka lebih terjamin di dalam MN dan bukannya PN, seandainya PRU 15 berlaku sebelum tamat penggal.
Di pihak PH, perlu wujud kini satu kesedaran bahawa strategi lapuk membicarakan isu kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa pemimpin UMNO sudah tidak laku khususnya buat pengundi Melayu dan luar bandar. Ini tidak semestinya bermaksud bahawa kelompok pengundi tadi adalah simple minded folks yang tidak boleh hadam isu besar.
Boleh sahaja bagi mereka, Najib sudah didapati bersalah dan Zahid sedang dibicarakan maka sudah tiba masanya untuk jalan terus dan memikirkan hal makan minum rakyat dalam pandemik COVID-19 ini. Mempertikaikan kecerdikan pengundi Melayu dan luar bandar adalah kesalahan paling besar yang perlu dielakkan oleh PH.
Sebaliknya, PH perlu merangka strategi untuk benar-benar bergerak sebagai satu pasukan seperti mana yang diamalkan oleh BN. Abaikan pengkhianat PN yang selama ini menjadi fokus utama PH. Adalah jelas dalam PRK Slim, masa depan PN sudah tidak menentu dan hayat mereka sedang dihitung.
Kini fokus PH sepatutnya adalah untuk berdepan dengan BN yang sudah kembali membina kekuatan dan MN yang terbukti satu kerjasama politik yang utuh.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.