Selepas Kimanis, Apa Hala Tuju PH?

Sekiranya pilihan raya umum (PRU) dianggap sebagai satu perang besar, maka pilihan raya kecil (PRK) selayaknya dikira sebagai satu pertempuran. Beberapa siri pertempuran membentuk satu peperangan. Selepas berakhirnya perang besar PRU 14, maka siri-siri PRK yang berlangsung kemudiannya bolehlah kita anggap sebagai pertempuran-pertempuran kecil sementara menanti tibanya perang PRU 15 pula.

Ada sejumlah sepuluh PRK yang telah dijalankan selepas PRU 14. Lima untuk kerusi DUN dan lima untuk kerusi Parlimen. Keputusan dari kesemua sepuluh PRK pasca PRU 14 adalah seimbang untuk blok pembangkang dan kerajaan, dengan masing-masing memenangi lima dari sepuluh PRK yang diadakan.

Namun, jika keputusan ini disusun mengikut tarikh PRK dijalankan, maka ada satu kebimbangan yang perlu diberi perhatian oleh Pakatan Harapan. Empat dari lima kemenangan PH berlaku pada tahun 2018, secara berturut-turut dalam empat siri PRK yang dijalankan (N49 Sungai Kandis, N27 Balakong, N32 Seri Setia dan P132 Port Dickson). Ia berlaku ketika keputusan PRU 14 masih lagi terasa hangatnya dan ketika sentimen pengundi masih lagi rata-rata memihak kepada PH, bukan kepada BN atau PAS.

Trend ini berubah sebaik sahaja beralih ke tahun 2019, apabila euphoria Malaysia Baharu sudah mula surut dan prestasi (or the lack of) kerajaan PH mula menjadi buah mulut rakyat. PRK P78 Cameron Highlands menyaksikan BN menang PRK pertama mereka. Ianya disusuli pula dengan PRK N24 Semenyih yang sangat signifikan, signifikan kerana buat pertama kalinya dalam PRK pasca PRU 14 berlaku peralihan kerusi. Ketika kesemua PRK sebelumnya hanya mengekalkan status quo tanpa sebarang peralihan kerusi, N24 Semenyih menyaksikan kerusi DUN yang asalknya milik PH dirampas oleh BN.

Tahun 2019 juga menyaksikan BN menang dalam dua lagi PRK lain, N27 Rantau dan P165 Tanjung Piai manakala satu-satunya saguhati buat PH hadir dalam PRK P186 Sandakan. Keputusan N27 Rantau dan P186 Tanjung Piai tidak membawa apa-apa peralihan kerusi, tetapi keputusan P165 Tanjung Piai memperlihatkan peralihan kerusi dari PH ke BN, diikuti pula dengan pencapaian majoriti yang besar untuk BN. Dari lima PRK yang dijalankan dalam tahun 2019, BN menang empat darinya dengan dua peralihan kerusi.

Tanda-tanda kemerosotan sokongan terhadap PH sudah boleh dilihat jelas dalam siri-siri PRK tahun 2019 dengan P165 Tanjung Piai memberikan petanda paling ketara. Sekiranya ada yang beranggapan bahawa keputusan PRK dalam tahun 2019 tidak boleh diterjemahkan sebagai kemerosotan sokongan terhadap PH, maka PRK tahun 2020 di P176 Kimanis adalah bukti paling jelas untuk menyangkal mereka yang masih lena diulit mimpi indah.

Kimanis Yang Pahit

P176 Kimanis adalah satu kelainan jika hendak dibandingkan dengan PRK lain sebelumnya. Pertama, ia PRK pertama yang menyaksikan ketiadaan PH sebagai parti bertanding, sebaliknya WARISAN selaku parti sekutu PH dan yang membentuk kerajaan negeri Sabah yang akan mencabar kerusi parlimen yang asalnya dipegang oleh BN. Kedua, kedudukan Kimanis yang terletak di Sabah, negeri yang terdiri dari pelbagai suku kaum, majmuk serta muhibah dan tidak terikut dengan politik perkauman seperti yang kerap berlaku di Semenanjung.

Dalam erti kata lain, Kimanis adalah testbed untuk menguji sejauh mana kemerosotan sokongan terhadap kerajaan hanya tertakluk kepada PH atau ia turut melibatkan WARISAN, dan juga ujikaji untuk melihat jika politik toksik atau tidak sihat yang berlaku di Semenanjung boleh terbawa ke Sabah juga. Selain itu isu-isu setempat turut menjadi persoalan, antaranya isu hangat Pas Sementara Sabah (PSS), pembangunan setempat dan peluang pekerjaan.

Tidak cukup dengan itu, pertaruhan paling besar di Kimanis adalah keputusan semasa PRU 14 dimana BN menang tipis dengan hanya 156 majoriti. Ini menjadikan medan tempur Kimanis sukar diduga apa lagi bila BN memilih calon baharu setelah Anifah Aman enggan bertanding lagi, sekaligus melontarkan soalan adakah BN mampu meraih sokongan tambahan dengan calon baharu, atau WARISAN hanya perlu menggembleng sedikit lagi sahaja usaha untuk meningkatkan sokongan pada calon mereka yang sebelum ini hanya tewas tipis ketika PRU 14.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya. BN menang dengan undian yang lebih banyak dan majoriti yang lebih tinggi walaupun peratusan keluar mengundi adalah lebih rendah berbanding PRU14 sedang WARISAN pula menyaksikan kemerosotan undi. Maka persoalan besar yang timbul selepas Kimanis adalah, mungkinkah kejatuhan sokongan terhadap PH turut berjangkit kepada WARISAN? Dan jika benar ini berlaku maka adakah isu-isu politik di Semenanjung yang banyak berkisar pada hal perkauman turut merebak ke Sabah?

Hala Tuju Pakatan Harapan

Selepas PRK P176 Kimanis, PH dan WARISAN mengumumkan bahawa satu post mortem akan dibuat bagi mengenal pasti punca kekalahan PH-WARISAN di Kimanis. Pada hemat saya, tidak ada gunanya post mortem dibuat. Kekalahan demi kekalahan yang menimpa PH dalam PRK kebelakangan ini adalah jelas puncanya.

Pengundi yang mengundi PH ketika PRU 14 telah mula beralih arah. Mengenal pasti kenapa wujudnya sentimen begini adalah penting buat PH untuk tindakan mengubah arus tersebut.

Kemenangan PH dalam PRU 14 adalah hasil sokongan rakyat kerana mereka mengimpikan dua perkara.

Menumbangkan kerajaan kleptorat pimpinan Najib Razak dan menjayakan reformasi institusi (institutional reform) di Malaysia. Impian pertama telah tercapai, BN telah ditumbangkan dan Najib Razak sedang dibicarakan. Namun usaha-usaha reformasi institusi, walaupun diakui akan mengambil masa tetapi usaha menjayakannya masih dilihat terlalu lemah dan lembap tanpa satu time frame yang pasti.

PH sebenarnya tidak perlu terikut dengan agenda politik BN atau PAS yang menunggang isu perkauman atau agama demi survival politik mereka. Pengundi PH ketika PRU 14 bukan begitu dan mereka tidak akan mahu terlibat dalam permainan politik kaum atau agama. Juga, mereka yang menyokong PH tidak akan termakan dengan janji-janji pilihan raya ala Barisan Nasional, seperti pelancaran projek atau upacara pecah tanah yang kerap berlaku apabila adanya PRK.

Dalam erti kata lain, di sebalik kemerosotan sokongan terhadap PH kebelakangan ini, jawapannya bukanlah untuk PH mengikuti permainan politik BN. Sebaliknya PH harus terus membawa agenda politik mereka sendiri yang inklusif, adil dan tidak terpasung pada hal kaum atau agama. Panduan yang mudah buat PH ialah untuk melihat kembali pada PRK yang berlaku dalam tahun 2018, ketika Pakatan Harapan masih lagi dilihat sebagai satu pakatan yang komited terhadap Malaysia Baharu, reformasi institusi, kebebasan demokrasi dan perubahan kepada Malaysia yang lebih baik.

Kegagalan mengekalkan semangat politik PH yang asal akan hanya membuatkan lebih ramai lagi pengundi beralih arah, mungkin awalnya sekadar memberi amaran ketika PRK, tetapi jangan sampai pula ia berubah kepada agenda ‘jom ubah’ bila tibanya perang besar PRU 15 nanti.

Komen