BARU sahaja reda isu diskriminasi kaum ketika bengkel persediaan SPM di SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru, timbul pula satu lagi isu yang menggugat perpaduan nasional serta menjejaskan integriti sistem sekolah kebangsaan.
Minggu lalu, tular satu video sidang media anjuran Persatuan Agamam Ani Hindu Malaysia mengenai sorang pelajar sekolah di Kuala Lumpur yang telah ‘digalakkan’ untuk menukar agama oleh gurunya sendiri bagi meningkatkan peluangnya menjadi pemain bola sepak kebangsaan.
Jika benar dakwaan ini, maka kita perlu bertanya apakah objektif sebenar mesej yang disampaikan oleh guru tersebut kepada pelajarnya?
Adakah untuk mengajar pelajar berbangsa India dan beragama Hindu tersebut bahawa di dalam negara Malaysia ini, mereka yang beragama Islam sahaja yang boleh menjadi pemain bola sepak kebangsaan?
Sekiranya inilah niat sebenar guru tersebut, maka sistem pendidikan kebangsaan kita kini dalam bahaya diancam ekstremisme agama.
Apakah kita mahu anak-anak Malaysia membesar berfikiran bahawa menjadi Melayu atau Muslim adalah satu-satunya cara untuk berjaya dalam hidup di negara ini dan diterima sebagai warganya?
Sistem pendidikan kebangsaan sepatutnya memupuk rasa persaudaraan di kalangan generasi muda kita. Mereka inilah yang akan mewarisi Malaysia di masa hadapan justeru sangat mustahak para pelajar ini diasuh dengan pendidikan yang mengangkat konsep kenegaraan Malaysia berdasarkan acuan perlembagaan.
Mereka seharusnya dididik untuk memahami warna kulit atau kepercayaan agama bukan penentu sama ada mereka diterima atau sebaliknya. Siapa kita dan apa yang kita sembah tidak sepatutnya menjadi penentu dalam bidang pendidikan, pekerjaan atau pun dalam sukan yang diceburi.
Guru terbabit sebenarnya bukan sahaja mencemar imej pendidikan negara, tetapi juga imej sukan negara dengan memberikan gambaran bahawa bidang sukan di Malaysia penuh diskriminasi. Apa lagi dalam bola sepak yang mempunyai sekian banyak kempen-kempen anti diskriminasi dianjurkan oleh pertubuhan seperti FIFA, AFC atau FAM.
Ketegasan Menteri Dan Kementerian Pendidikan Malaysia
Mahu atau tidak, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan kementeriannya perlu bertindak tegas menangani isu begini. Episod ‘berlembut’ dan cuba sweeping under the carpet seperti yang pernah dilakukan ketika mengangani insiden bengkel persediaan SPM di SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru hendaklah dielakkan dari berulang.
Benar menangani isu pendidikan seperti beban guru, kebajikan pelajar dan hal sekolah dhaif adalah penting. Tetapi bersuara tegas mengenai isu diskriminasi kaum dan agama juga wajar bagi memastikan sistem pendidikan kebangsaan tidak hilang integritinya.
Saya yakin menteri sendiri pasti tidak mahu ibu bapa bukan Melayu dan bukan Muslim terus hilang keyakinan terhadap sistem sekolah kebangsaan. Bagaimana mereka boleh menaruh kepercayaan seandainya anak-anak mereka berisiko menjadi mangsa diskriminasi kaum di sekolah atau lebih parah dipujuk untuk menukar agama oleh guru-guru yang sepatutnya menjadi pendidik anak bangsa?
Bahkan sekarang kita sendiri sudah boleh melihat bagaimana semakin ramai ibu bapa bukan Melayu dan bukan Muslim yang lebih memilih sekolah aliran lain untuk anak mereka. Ia bertitik tolak dari terhakisnya keyakinan terhadap sistem sekolah kebangsaan yang dilihat terpesong dari matlamat asal untuk memupuk perpaduan bangsa Malaysia.
Akibatnya anak-anak muda kita semakin terpecah dan terpisah. Sekolah aliran vernakular menjadi pilihan bangsa lain sedang sekolah kebangsaan semakin menjadi Melayu dan Islam, bukannya menonjolkan idea bangsa Malaysia seperti asalnya.
Kita selalu berfikiran bahawa masyarakat bukan Melayu yang tidak memilih sekolah kebangsaan sebagai tidak mempunyai semangat perpaduan dan enggan bergaul.
Tetapi adakah kita terfikir bahawa bagaimana kita menguruskan sekolah kebangsaan dan keputusan berbentuk perkauman atau keagamaan yang dibuat menjadi punca kenapa bukan Melayu dan bukan Muslim menolak sekolah kebangsaan.
Apa yang telah berlaku di SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru sebelum ini dan yang terbaru melibatkan seorang pelajar India di sebuah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini adalah bukti nyata punca sekolah kebangsaan semakin terpesong. Ia menjadi sarang untuk anak-anak Malaysia dibezakan mengikut warna kulit dan dipaksa menukar kepercayaan mereka.
Justeru kita perlu bertanya kepada menteri dan kementerian, sekolah kita untuk siapa sebenarnya?

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.