Sekilas Tentang Bajau Laut

Baru-baru ini, tular mengenai Ebit Lew mengislamkan sekampung orang Bajau Laut di Semporna, Sabah. Pelbagai reaksi yang timbul berikutan peristiwa mengucapkan dua kalimah syahadah tersebut.

Orang Bajau Laut ataupun Moken, sea gypsies atau pelahu ni adalah antara kaum yang telah ketinggalan arus kemodenan. Mereka adalah bangsa tanpa kewarganegaraan tetapi telah mendiami pesisiran pantai antara Sabah, Filipina dan Indonesia (termasuk juga Thailand) sejak sekian yang lalu.

Susah untuk menyelesaikan isu mereka kerana mereka sebenarnya telah wujud sebelum adanya persempadanan dan kedaulatan negara moden yang membentuk sempadan-sempadan atau tanah pentadbiran sesebuah negara.

Masyarakat Bajau Laut ini mengekalkan kehidupan tradisi di laut dan menganuti kepercayaan pagan. Sebahagian daripada mereka juga memiliki wajah seperti kacukan kerana dipercayai berlakunya perkahwinan ataupun eksploitasi bangsa penjajah terhadap mereka.

Bajau Laut secara tradisi adalah nelayan yang hebat. Mereka adalah penyelam yang mampu menyelam ke dasar laut dalam tempoh masa yang lama untuk mencari mutiara, kahanga, kima (giant clamp) atau ikan tanpa menggunakan oksigen. Selain itu, mereka juga mahir membina bot dan perahu mereka sendiri.

Orang Bajau Laut pandai mencari kawasan laut yang sedikit cetek dan terlindung dari angin bagi membina penempatan di atas air. Rumah-rumah ini bersaiz kecil dan mempunyai struktur binaan yang minima. Walau bagaimanapun, ada yang masih tinggal di dalam perahu dan dari sinilah muncul istilah (pelahu) untuk menggambarkan suku kaum ini.

Ada dalam kalangan mereka mula membina penempatan di atas darat di pulau-pulau sekitar perairan tempat tinggal mereka. Jangan terkejut kerana ada yang yang telah mencapai kemodenan setelah tinggal di darat. Mereka ini walau bagaimanapun sudah enggan dikenali sebagai Bajau Laut. Golongan ini telah pun mempunyai strata dan status tersendiri dalam masyarakat tempatan.

Terdapat juga usaha untuk membawa mereka kepada kehidupan beragama. Bukan hanya pendakwah Islam cuba untuk berdakwah kepada mereka tetapi juga mubaligh Kristian. Ada di antara mereka memeluk Islam tetapi tidak betul-betul mengamalkan ajaran Islam dan mengekalkan sebahagian unsur paganisme dalam beragama. Yang menariknya, ada di antara mereka yang berkali-kali memeluk agama Islam. Kerana itu, tidak hairan sekiranya banci negeri Sabah meletakkan status agama mereka sebagai Islam.

blank

blank

Gambar-gambar tanah perkuburan ini dirakam pada sekitar tahun 2007 oleh sahabat saya Abang Khalid. Beliau adalah antara pemimpin tempatan Semporna yang cakna dengan isu dan permasalahan orang Bajau Laut di Semporna. Saya naikkan di laman ini untuk berkongsi dengan pembaca bagaimana terdapat percampuran unsur pagan dan Islam dalam kehidupan mereka.

Dulu, orang Bajau Laut mempunyai budaya ‘unik’ di mana mereka akan meninggalkan orang-orang tua yang sudah uzur dan sakit di atas terumbu karang sehingga meninggal dunia dan barulah diuruskan hal pengebumian mereka. Amalan ini walau bagaimanapun tidak lagi diamalkan.

Kubur-kubur mereka mempunyai batu nisan yang diukir dalam bentuk patung manusia bagi menunjukkan status jantina mereka. Bilangan patung pada petak kubur menunjukkan bilangan ahli keluarga yang dikebumikan di sana.(bulat = lelaki, berbucu = perempuan). Selain itu, nisan berbentuk rumah adalah untuk mayat wanita dan nisan berbentuk perahu adalah untuk mayat lelaki. Ada patung-patung yang diukir sebagai memakai tudung.

Kubur-kubur ini menjadi sebahagian dari bukti bahawa mereka diislamkan tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam. Banyak NGO-NGO bahkan badan dakwah negeri yang berdakwah kepada mereka tetapi kurang berjaya menerapkan kehidupan beragama.

Walaupun diiktiraf oleh pertubuhan dunia sebagai bangsa nomad di perairan ini, mereka kini menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya adalah diskriminasi, dilayan sebagai hamba, dihina kerana tiada status kewarganegaraan dan tiada peluang pendidikan. Malah, mana-mana NGO yang aktif dalam membela nasib mereka pasti tahu bahawa ada gadis-gadis yang dieksploitasi menjadi pelacur dengan dibayar harga murah seperti ubi kayu dan beras. Ada di antara mereka terjebak dalam kartel meminta sedekah yang bertindak ganas membaling batu ke kereta apabila tidak dilayan dan sebahagian mereka terlibat dalam ketagihan menghidu gam.

Untuk mengubah nasib mereka, gerakan edukasi harus dilaksanakan secara menyeluruh. Mereka harus diberi ilmu untuk menjadi orang cerdik pandai atau setidak-tidaknya supaya jangan dieksploitasi. Setahu saya, setakat ini hanya golongan “aliran kiri” yang berjaya menubuhkan sekolah-sekolah alternatif dan konsisten dalam memperjuangkan nasib dan pendidikan orang Bajau Laut.

Komen