Sek Kito Jange Pecoh

Segalanya telah tersurat. Satu Malaysia telah menerima seorang Perdana Menteri baru. Namanya Muhyiddin Yasin. Dan dia, Perdana Menteri yang ditunggu-tunggu sekalian umat Melayu dan Islam di abad ini.

Terima dengan rela atau tidak, itu belakang cerita. Kita sudah dididik untuk tidak mempertikaikan apa-apa yang telah ditentukan di atas sana. Tugas kita adalah redha, menerima dan meneruskan hidup seperti biasa.

Berpuas hati atau tidak, itu tidak penting. Kerana kita rakyat Malaysia yang feudal dan taat setia tiada berbelah bahagi kepada kaum elit (baca: kaum umara’). Itu tidak boleh dinafikan dan tidak boleh disanggah.

Banyak drama dan adegan dibintangi kaum elit (baca: ahli politik yang dibelakangi kapitalis dan bisnes, serta institusi raja) meriuh-rendahkan suasana negara lewat hujung Februari ini. Meski seminggu berlalu tanpa hujan lebat di Lembah Klang, tetap basah layar garis masa Facebook setiap rakyat Malaysia. Sokongan, makian dan bangkangan telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak bosan untuk didiami.

Saya melewati satu majlis gig rakyat di malam minggu. Ini adalah pentas terakhir sebuah kugiran dari negeri Pantai Timur tanah air, No Good dalam tour yang mereka jalankan semenjak awal tahun, Tubik Derak Tour. Dengan lirik lagu berloghat Kelantan, acara gig rakyat membumi ini meninggalkan kesan mendalam pada diri saya.

“Assalamualaikum Tuae Puae, Dato’ Datin, Rakyat Menteri,
Mitok izin ni band No Good nyanyi lagu haluae kiri,
Kalu tok bui gak tok apo, kito tepuh peduli apo,
Bukae sengeling tunjuk metto, nok beringak ko sek demo blakko.”

Perasaannya lain berbanding saya mendengar di telefon bimbit saat pergi dan pulang ke tempat kerja. Penangan live music! Bulu roma meremang dan keringat berjujuran dari segenap sudut tubuh. Lampu malap berkelip-kelip dan penonton turut serta berlaung.

“SEK KITO JANGE PECOH
SEK KITO JANGE PECOH
PAH CEROH JANGE PECOH
SEK KITO JANGE PECOH!!!”

Semangat apakah yang dibawa kugiran punk ini?

Mengapakah saya tidak pernah menyedari bahawa semangat ini yang sepatutnya membara dalam jiwa setiap rakyat tanah air ini?

Drama perebutan kuasa ini adalah bukti bahawa kaum elit di atas sana hanya pedulikan kepentingan mereka. Dan kepentingan mereka tidak pernah menjadi kita: kepentingan rakyat melata.

Fokus utama pertembungan ini bukanlah pertembungan melibatkan parti politik dan ahli politik. Tetapi ia sepatutnya menjadi pertembungan rakyat melawan kaum elit politik.

Mereka telah membakul-sampahkan suara kita pada tahun 2018: bahawa kita mahu kuburkan UMNO-Barisan Nasional yang telah merosakkan negara kita. Ketirisan dan korupsi adalah musuh kita waktu itu. Dan kita berjaya menendang kaum elit pemakan harta rakyat ini. Kita tiada pilihan lain, kecuali mengundi Pakatan Harapan. Sehinggalah kerajaan baru yang terdiri hari ini dianggotai puak-puak UMNO yang kita sudah terajang lewat 9 Mei 2018.

Sekarang, tidakkah kita merasa bahawa suara kita saat itu sudah direndahkan? Seolah-olah mereka memegang kuasa absolut ke atas kita? Bukankah kita, kaum pekerja dan proletariat yang sepatutnya menjadi tuan negara ini, dan menentukan nasib kaum-kaum elit ini?

‘Sek kito jange pecoh’ yang saya fahami adalah seruan kepada kita rakyat marhaen. Kita sepatutnya memikirkan nasib sesama kita berbanding memikirkan nasib dan rezeki ahli politik hari esok.

Apakah nasib kita, kaum pekerja dan proletariat jika kita bersikap apologetik dan feudalistik terhadap kaum-kaum elit ini?

“Siapa pun yang naik menjadi pemerintah saat ini tidak akan mendatangkan perubahan sosial kepada rakyat. Kita kaum pekerja ini tetap akan hidup susah dengan gaji minima rendah dan kesenjangan ekonomi melarat. Lantas untuk apa kita menyokong ahli politik?”

Ini pesan Hadri Shah. Dan saya tidak pernah lupa. Malah ia semakin jelas hari ini. Dipahat kukuh selepas acara gig rakyat.

Lalu semangat apakah yang perlu kita rakyat Malaysia bawa?

Jika kaum elit yang bertindak seolah mereka menentukan nasib kita, tidak pantas lagi kita menyerahkan nasib kita pada mereka. Begitu yang terjadi Hong Kong, pertengahan tahun 2019, sehinggalah kerajaan Hong Kong menurut tuntutan rakyat. Bukan sekali. Tapi dua kali!

Begitu juga di Iran dan Indonesia. Termasuklah revolusi Perancis di kala zaman Voltaire dan Descartes. Semua ini bukti, rakyat adalah kuasa dan rakyat boleh menentukan nasibnya sendiri.

Ahli politik sudah lama mengkeldaikan kita. Dan kita sudah membenarkan perkara ini berlaku sekian lama.

Bagaimana? Dengan budaya conformity, feudalisme, perangai ‘takpe-lah’ dan sikap pasif kita. Seperti yang sudah saya nyatakan di awal makalah ini. Kita sudah dididik untuk menerima apa sahaja yang ditentukan di atas sana. Kita tidak diajar untuk bertanya. Kita tidak diajar untuk tidak berpuas hati. Dan kita tidak dibenarkan untuk mempertikaikan apa pun.

Sistem ini adalah sistem yang merantai kita sehingga kita sangat tenang, redha dan menyerah. Oleh itu, kita rela menyerahkan nasib kita kepada kaum elit. Sehinggakan mereka-mereka yang dibelakangi kapitalis dan jerung-jerung bisnes berani mensialkan kita.

Kepentingan kita, rakyat marhaen tidak pernah selari dengan kepentingan dan matlamat kapitalis. Mereka mengejar keuntungan, sehingga menyahkan matlamat kita: ingin hidup harmoni dan bertolak ansur sesama sendiri, ingin menghirup udara segar dan minum air bersih di bumi tanah air. Semua itu, bukan kemahuan kapitalis dan bisnes-bisnes.

Kita hidup dalam era post-modernism. Siapa paling banyak duit dia yang akan menang. Cash is king!

Lalu, kita tidak akan mampu menang jika hendak menggunakan kekuatan modal untuk bertembung dengan kapitalis dan bisnes besar.

Kekuatan kita adalah kekuatan angka. Kita bersatu menggembleng tenaga dan berganding bahu. Dengan cara itu, kita mampu memberikan tekanan kepada kaum elit untuk tidak lagi mempermainkan kita. Hanya dengan cara itu, pemerintah tidak berani membelakangkan kita.

Di Malaysia ini, sepatutnya rakyat adalah kuasa. Bukan kaum elit. Bukan ahli politik dan bukan parti politik.

“Hok ni koya biso, hok tu koya debe.
Beringak sikek boh, Malaysia ni rakyat pege!”

Komen