Sejarah Ringkas Menteri Wanita

Portfolio Menteri Wanita kali pertama diwujudkan pada tahun 2001 ketika era Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Selepas Pilihan Raya Umum ke-10 pada 29 November 1999, satu jawatan baru telah diwujudkan dan diberi nama Menteri Hal Ehwal Wanita. Pemegang pertama jawatan ini ialah Shahrizat Abdul Jalil. Skop jawatan ini diluaskan kemudiannya untuk meliputi pembangunan keluarga, lalu namanya ditukar menjadi Menteri Wanita dan Keluarga.

Apabila Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dan Pilihan Raya Umum ke-11 diadakan, sekali lagi skop jawatan menteri ini berubah. Kali ini ia meliputi aspek masyarakat. Nama kementerian pun bertukar menjadi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), tetapi nama jawatan menteri kekal sebagai Menteri Wanita dan Keluarga. Mungkin untuk memberikan penekanan atau keutamaan pada hal wanita dan keluarga.

Tetapi, sebutan mudahnya kerap dirujuk sebagai Menteri Wanita sahaja. Dan seperti penyandang pertama Shahrizat, jawatan ini kekal dikhaskan untuk wanita sahaja.

Namun pada tahun 2008, selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang supermajoriti 2/3 yang dipegang enak sejak 1969; penyandang jawatan Menteri Wanita bertukar. Ini kerana Sharizat yang terpalit isu membela lembu fidlot di dalam kondominium tewas bertanding pilihan raya di tangan gadis berusia 27 tahun bernama Nurul Izzah Anwar.

Justeru Tun Abdullah Badawi terpaksa mencari calon menteri yang lain daripada kalangan ahli parlimen BN. Dan yang ada ketika itu ialah Ng Yen Yen, Timbalan Presiden MCA. Maka kerusi Menteri Wanita diserahkan kepada beliau.

Tun Abdullah Badawi tidak kekal lama sebagai Perdana Menteri selepas rekod buruk PRU12. Beliau diganti oleh Najib Razak dan Najib merasakan perlu jawatan Menteri Wanita dipegang oleh pemimpin UMNO. Apatah lagi belum pernah dalam sejarah Ketua Wanita UMNO tidak menjawat jawatan menteri kabinet. Maka Shahrizat yang bela lembu fidlot di dalam kondominium diangkat menjadi senator Dewan Negara dan diberikan jawatan Menteri Wanita. Ng Yen Yen pula dipindahkan menjadi Menteri Pelancongan.

Tetapi skandal lembu fidlot Shahrizat semakin di luar kawalan hingga membawa kepada perbicaraan mahkamah. Walaupun (dengan campur tangan kerajaan) mahkamah mendapat Shahrizat tidak bersalah, kerosakan telah pun berlaku dan Sharizat terpaksa melepaskan jawatan Menteri Wanita. Maka berlakulah satu keganjilan luar biasa apabila Najib Razak sendiri sebagai seorang lelaki menjadi Menteri Wanita dan menjaga hal ehwal wanita.

Pada tahun 2013 dan dengan berlakunya Pilihan Raya Umum ke-13, sekali lagi BN dinafikan supermajoriti 2/3 malahan kehilangan lebih banyak kerusi parlimen. Sekali lagi juga tiada calon Menteri Wanita yang sesuai dari UMNO, maka terpaksalah Najib Razak memilih Rohani Abdul Karim dari Parti Pusaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari Sarawak.

Rohani memegang jawatan Menteri Wanita sehinggalah tahun 2018 dan seterusnya Pilihan Raya Umum ke-14. Pada PRU14, BN kalah buat pertama kalinya dan kerajaan baharu dibentuk oleh Pakatan Harapan (PH). Najib Razak tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan tempatnya diganti oleh Tun Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir memilih Menteri Wanita baharu dengan melantik Dr. Wan Azizah yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri. Bersama Dr. Wan Azizah ialah Timbalan Menteri Wanita iaitu Hannah Yeoh. Kedua-dua mereka membawa banyak perubahan dalam hal ehwal wanita, keluarga dan masyarakat. Antaranya ialah membangunakan Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Kanak-kanak, pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak di bawah SUHAKAM, pengenalan i-Suri di mana suami menyumbang 2% dari caruman KWSP ke dalam akaun isteri dan kolaborasi dengan pihak swasta dalam menangani pembuangan bayi.

Akan tetapi, Langkah Sheraton yang berlaku pada Februari 2020 menarik rahmat Menteri Wanita sedia ada ke atas rakyat Malaysia. Tumbangnya kerajaan PH akibat pengkhianatan juga menyaksikan penyandang Menteri Wanita bertukar.

Di bawah kerajaan Perikatan Nasional, Menteri Wanita baru ialah Rina Harun dengan dibantu timbalannya iaitu Siti Zailah. Sebaik sahaja memegang jawatan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan dan rakyat berdepan norma baharu seperti bekerja dari rumah. Lantaran itu tindakan pertama Menteri Wanita adalah mengeluarkan poster memberi nasihat kepada golongan wanita untuk bersolek dan berpakaian formal ketika bekerja dari rumah, selain dari poster meminta wanita menggunakan suara Doraemon jika mahu minta pertolongan suami. Poster itu mendapat kecaman sewajarnya.

Mungkin kerana serik dikecam teruk, Menteri dan Timbalan Menteri Wanita kemudiannya memilih untuk berdiam diri hampir setahun lamanya. Tiada siapa tahu ke mana mereka menghilang atau apa yang sedang dibuat mereka. Kalau adapun khabar, ia hampir tidak masuk akal. Contohnya apabila timbalan menteri, Siti Zailah beli kambing daripada penduduk kampung dan beri tong air hitam untuk dikongsi 27 buah keluarga.

Dan kemudian secara tiba-tiba Menteri Wanita, Rina Harun membuat kejutan. Beliau muncul dengan wajah baharu, tubuh lebih langsing dan baju yang lebih bergaya. Tidak cukup dengan itu, tular gambarnya bergaya persis model menggayakan fesyen terkini dalam sesi bergambar yang dibuat di pejabat menteri.

Oh ya, semua ini berlaku ketika sekian banyak wanita hilang pekerjaan akibat pandemik, ibu tunggal sengsara sendiri, kaum Hawa terdedah pada keganasan rumah tangga akibat tekanan PKP, sebahagian wanita berdepan tekanan jiwa kerana pandemik dan PKP, remaja perempuan pula dirogol dalam lokap polis dan seorang wanita diminta oleh polis menayangkan payudara dalam sekatan jalan raya.

Ya, semua itu berlaku ketika Menteri Wanita hilang setahun ‘kuruskan badan’ untuk membuat kerja sambilan sebagai model.

Sekian, sejarah ringkas Menteri Wanita.

Komen