Sehari Dalam Hidup Seorang Macai Yang Kehabisan Hujah

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Hidup seorang macai mudah. Bangun pagi, berak kencing, melantak mengisi tembolok dan mencari pasal seraya memperlekehkan orang. Dalam proses itu, mereka membodohkan diri.

Ada seorang Macai, kita rujuk dia sebagai M. Nah, M untuk Macai. Dia bangga berbangsa Melayu, dan beragama Islam. Akan tetapi tiada apa pada dirinya dapat melambangkan Melayu dan Islam. Orang Melayu kita tahu adatnya berhalus dan tuturnya bersantun. Orang Islam pula kita tahu dia suka dan cintakan ilmu.

Akan tetapi Macai seringnya semberono, angkuh, kurang waras dan jahil. Paling menyedihkan dia anti ilmu. Begini, baru ini saya bertemu dengan YB Wong Shu Qi, dari Kluang. Beliau pernah belajar dalam bidang komunikasi di Taiwan. Sebagai basa-basi, saya memberitahunya hari ini ramai pelajar di Taiwan sedang belajar bahasa Melayu. Ada seorang teman saya mengajar bahasa Melayu di Taiwan selama 8 bulan. Bukan itu sahaja, kami di Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menganjurkan seminar di Taiwan awal tahun ini. Saya malah memberitahu, kerangka yang digunakan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu turut merangkumkan suku kaum Orang Asli di Taiwan.

YB Shu Qi memperihalkan pengalaman beliau melakukan suntingan sebuah penyelidikan salah seorang Profesornya lama dahulu. Penyelidikan itu mengenai Orang Asli Taiwan yang dinamai Wulu Bunun. Beliau teruja memberitahu saya mengenai beberapa istilah yang dikatakan ada persamaan (tetapi berlainan makna) jika dibandingkan dengan bahasa Melayu.

Oleh juga rasa teruja, saya menciap ringkas pengalaman beliau itu.

Spontan datang seorang M. Macai. Yang bangun pagi, berak kencing, melantak mengisi tembolok dan mencari pasal seraya memperlekehkan orang.

Dia menciap kembali status saya itu dengan niat memperlekehkan. Dia mengatakan begini: ‘Dan-dan orang asal Taiwan pula ada persamaan bahasa mereka dengan bahasa Melayu’.

Saya hairan, macai amat anti ilmu. Dia malah pergi setapak lagi apabila saya menjejerkan beberapa kajian mengenai hubungan dunia Melayu dan Taiwan. Ciapan Macai itu berbunyi: ‘Selagi boleh backup. Good dog.’

Saya tidak berniat memanjangkan perihal kesemberonoan dan kebodohan seorang macai, dan macai-macai lainnya. Di ruang ini saya ingin membincangkan sedikit tentang hubungan dunia Melayu dan Taiwan. Untuk mereka yang tidak mahu jadi macai yang tidak berapa pandai, jemputlah terus membaca perkongsian saya ini.

Profesor Wan Salleh Wan Ibrahim ada mengarang sebuah bab menarik dengan judul ‘Melayu di Pulau Hainan dan Taiwan’.

Terdapat beberapa teori mengenai asal usul orang Melayu. Salah satunya ialah terdapatnya suku kaum Melayu Purba di benua Cina. Pusat petempatan orang Melayu Purba ini adalah di ‘kawasan persimpangan Sungai Kuning, Yangzi dan Wei’. Orang Melayu Purba ini hidup ‘kira-kira 10,000 tahun yang lampau iaitu pada Zaman Neolitik’. Pun, untuk berjujur, gagasan ini asalnya banyak dikemukakan oleh Arthur Cotterell dalam ‘China: A History’ (42-43, 49-50, 58-60). Menurut Wan Salleh, ‘budaya wilayah Melayu lembangan Yangzi ini adalah budaya Daxi di mana pusat kerajaan pertama adalah kerajaan Chu atau Man. Ibu kotanya bernama Ying. Budaya ini kurang diberi perhatian oleh sejarawan Cina kononnya ia berbeza dari tujuh budaya Cina yang lain.’ (195)

Budaya Daxi ini ‘mempunyai ciri-ciri artifak arkeologi seperti botol silinder, belanga, pinggan berwarna putih serta tembikar merah’. Produk lain dari Melayu Purba ini antara lain adalah tembikar bercap tali, belanga berkaki tiga, alat penggali berbahu, cangkul dan hiasan jed.

Apa yang lebih menggiurkan adalah terdapat sebuah pulau di China yang agak ke selatan, namanya Hainan yang kaum Orang Aslinya adalah suku Li, Miao dan Cam. Penduduk Hainan ini dipercayai sering berulang-alik ke Borneo dan Vietnam, menyusur Taiwan dan kadang ke Ryukyu (Okinawa). Barang dagangan yang mereka bawa adalah kulit rusa, madu, barang hutan dan mereka lebih senang bercucuk tanam, memburu dan menangkap ikan.

Di Taiwan pula, budaya antara 50-6 ribu Sebelum Masehi adalah budaya Changpin. Menurut Wan Salleh, sejak berakhir budaya Changpin ini dan beralih ke budaya Dapenkeng, ‘suku kaum Melayu Taiwan mulai mahir belayar di pinggir pantai China, mereka juga telah belayar ke Jepun, Vietnam, Filipina dan Borneo.’

Di China dan Taiwan, Orang Asli Taiwan ini tidak dianggap sebagai sebahagian dari orang Cina dan malangnya masyarakat terbanyak memberikan gambaran negatif kepada mereka:

Pulau Taiwan merupakan khazanah suku-suku kaum Austronesia. Suku kaum Taiwan yang ramai bilangannya iaitu sebanyak 21 suku kaum, namun hanya 13 suku kaum sahaja yang diiktiraf. Situasi ini disebabkan oleh pengalaman sejarah dan prasangka Cina ke atas kelompok suku kaum Melayu. Pada masa lalu, mereka menamakan kelompok ini dengan istilah-istilah negatif seperti pingpu (kelompok asli di dataran), gaoshan (kelompok asli gunung) dan mereka yang sukar ditakluki disebut fan (orang gasar). Manakala istilah yuanzhumin (Orang Asli) adalah istilah baru yang digunakan di dalam perlembagaan Taiwan pada masa kini. Dalam kajian linguistik ke atas taburan penduduk bahasa Formosa dan Yamui didapati hampir 50 peratus kelompok bahasa mereka telah pupus disebabkan ramai suku kaum ini telah bercampur dan berkahwin dengan suku kaum Cina.’ (202).

Baru-baru ini, dalam satu ciapan YB Shu Qi menjelaskan, antara persamaan bahasa orang Bunun yang beliau kesani ketika melakukan penyuntingan kajian Profesornya itu adalah ayam (untuk kata burung); lima (untuk lima); rumah (untuk keluarga). Suku lain yang juga ada sedikit persamaan adalah Paiwan.

Hari ini, gambaran Orang Asli di Hainan dan Taiwan ini ibaratnya orang Cham di Kemboja. Pada mulanya nasib orang Melayu Taiwan ini tidaklah begitu baik memandangkan mereka adalah kaum minoriti yang terhimpit oleh gejala politik melibatkan China. Saya petik apa yang digarap oleh Wan Salleh:

Orang-orang Melayu Taiwan telah tinggal terpisah lama dari alam Dunia Melayu Malaysia dan Indonesia (prasejarah hingga kurun ke-17 selepas masehi). Mereka merupakan golongan yang tertindas, terhimpit, dan pupus dari segi politik, dan ekonomi. Kebanyakan tanah-tanah pusaka mereka dirampas dan mereka disingkirkan ke kawasan pinggiran seperti bukit, gunung, serta perkampungan budaya yang mereka sendiri tidak ada hak milik. Suasana politik hak milik Taiwan, yang menjadi persengketaan oleh Cina Komunis dan golongan Nasionalis Taiwan, yang ingin mengekal kemerdekaan dari China, menyebabkan orang minoriti Melayu Taiwan diiktiraf sebagai baji politik yang tegar. Baji politik orang asli yang menjadi isu Taiwan bukan keseluruhan Cina Han ini menjadi ‘isu’ atau ‘masalah Taiwan (Taiwan wenti). (205).

Gerakan demokrasi yang mencetuskan Taiwanisasi dan penjarakan dari China kemudiannya membolehkan masyarakat Orang Asli ini diiktiraf sebagai yuanzhumin (Orang Natif) dan bukannya hoan-a atau Orang Liar. Mujur Orang Melayu Taiwan kemudian dilindungi dalam Perlembagaan Taiwan menerusi Indigenous People’s Basic Law. Sarjana yang paling banyak mengkaji mengenai nasib suku Melayu Taiwan ini adalah Melissa J. Brown dari Berkeley yang membolehkan beliau menghasilkan bukunya ‘Is Taiwan Chinese?’ (2004).

Salah seorang Melayu Taiwan tersohor adalah dari suku kaum Puyuma iaitu Chung Hui Me yang dikenali sebagai penyanyi A-Mei atau Amit.

Membaca mengenai nasib orang Melayu di Taiwan ini menginsafkan kita agar tidak melakukan diskriminasi terhadap minoriti di alam Melayu, seperti kaum Cina dan India. Malah oleh kompleksnya Melayu di zaman pra dan proto sejarah, tidak mustahil Cina yang mendarat di Tanah Melayu satu masa dahulu, khusus yang tiba dari Hainan, adalah dari orang Li, Miao, dan Cham yang merupakan sebahagian orang Melayu. Tidak dipungkiri lagi mereka adalah golongan Melayu yang menjamah daging babi. Akan tetapi, oleh sebab Perlembagaan Malaysia hari ini mengikitiraf Melayu itu hendaklah Islam maka mereka tidak dapat disikapi sebagai Melayu.

Sekiranya kita ingin belajar, kita akan beroleh pencerahan. Jangan jadi macai. Hidup sehari-hari macai adalah membodohkan masyarakat. Mereka sendiri tidak mahu belajar dan sikapnya sentiasa anti ilmu. Dengan itu mereka menunjuk-nunjukkan kebebalan dan kejadongan mereka (meminjam istilah Syed Hussein Alatas). Mereka konon megah dan cukup bangga menjadi Melayu, dan Islam seraya menampal poster-poster Melayu di akaun media sosial. Padahal apa sahaja tindak tanduk mereka itu tidak Melayu, apatah lagi tidak Islam. Kita yang betul Melayu akan berasa meluat, jeran, jijik dan kasihan dengan kebebalan mereka.

Tetapi sungguh begitulah macai. Mereka sendiri memilih jalan jahil dan kesemberonoan menjadi ciri penting. Hayat seorang macai amat mudah. Bangun pagi, berak kencing, melantak mengisi tembolok dan mencari pasal seraya memperlekehkan orang. Sekali-sekala mereka akan berteriak boskur. Dalam proses konon mengangkat Melayu-Islam mereka acap membodohkan diri.

Ingat pesan saya Faisal Tehrani; jadi orang pandai. Jangan jadi macai.

Komen