Sebelum Menonton ‘Anwar’

Seorang pemuda dari generasi baharu hari ini bertanyakan kepada saya, apakah rasanya menjadi anak muda ketika era Anwar Ibrahim ditahan, dan dipecat dari kerajaan? Jawapan saya, mesti gali semula bahan-bahan bacaan lama saya untuk kembali menyalakan apa yang mungkin hanya tersisa sumbu.

Salah satu penerbitan paling bermakna dan sangat memberi impak tentunya majalah Tamadun keluaran Oktober 1998 dengan foto Anwar berpidato di perkarangan Masjid Negara, dan foto lebih kecil merakam momen beliau ditangkap. Majalah itu dikelola dan dimiliki oleh Ahmad Lutfi Othman. Antara penulis tamu di Tamadun pada tahun tersebut antara lain ialah guru saya Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah, Fathi Aris Omar (sekarang di Media Selangor), dan saya sendiri.

Saya memang berhasrat menonton filem Anwar. Ada banyak sebab untuk menontonnya. Bukan sangat kerana beliau kini perdana menteri. Mungkin lebih kerana saya memang penggemar biopik, terlibat dalam industri; juga kerana sebab Farid Kamil. Tidak ramai yang tahu, saya mula-mula mencungkil bakat lakonan Farid untuk sebuah pementasan yang diadaptasi dari novelet Shahnon Ahmad berjudul Tivi. Teater itu diketengahkan pada 9 dan 10 Mei 2003, iaitu dua dekad lampau. Juga saya ingin menonton Anwar kerana ia air tangan Zunar.

Pun, sebelum menonton Anwar, saya ingin menjelajah kembali kenangan lalu itu. Dalam majalah Tamadun keluaran 1998 tersebut, Syed Husin Ali menulis rencana bertajuk ‘Tolak Anwar Tolak Mahathir’. Prof Syed Husin menulis agak panjang, tetapi saya paling terhimbau perenggan ini, yakni catatan beliau tentang bagaimana dan mengapa Anwar terdesak mengisytiharkan ‘reformasi’. Tulis Syed Husin:

“Anwar menjangka ia akan ditahan dibawah ISA atau akta-akta lain. Semasa rencana ini ditulis seminggu sudah berlalu dan beliau masih belum ditahan. Beberapa tuduhan baru telah dihadapkan kepada beliau, kononnya kerana menghasut dan menyekat penyiasatan polis. Dalam pada (itu setiap hari rumahnya dibanjiri penyokong serta pelawat. Setiap malam beliau berpidato membersihkan dirinya di hadapan beribu-ribu pendengar. Ucapan-ucapan beliau dirakam dalam ‘tape’ dan disebar luas ke seluruh negara. Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan beliau dan surat-surat beliau kepada perdana menteri.

“Beliau telah mengisytiharkan mahu membentuk satu gerakan reformasi. Apakah corak reformasi dan bentuk gerakan itu belum jelas lagi. Hanya empat buah pertubuhan, yang paling terkenal di antaranya Abim yang mendukung gerakan ini. Akan tetapi simpati kepada beliau sangat meluas sekali, terutama sekali di kalangan orang muda, golongan rendah, dan golongan profesional serta pegawai-pegawai kerajaan. Masalah Anwar ialah, dalam budaya Umno seseorang yang kehilangan kuasa tidak akan mendapat banyak sokongan. Pemimpin-pemimpinnya takut kehilangan pangkat, kedudukan dan kekayaan. Oleh kerana itu mereka cepat akan melafazkan taat setia kepada pemimpin yang berkuasa.”

Perenggan di atas menjelaskan bagaimana pemecatan Anwar menggerakkan semacam satu gerakan besar dan bagaimana PKR akan lahir nanti. Harus diingat ketika itu belum ada media sosial dan telefon pintar. Kami semua bergantung pada berita mulut ke mulut, atau menyaksikan sendiri insiden tersebut dengan mata kepala. Ketika Anwar ditahan polis misalnya, ramai antara kami memang berada di perkarangan rumah Anwar melihat pihak berkuasa menyerbu kediamannya dengan ganas. Ia juga menjelaskan bagaimana susah payah Anwar untuk mendapatkan dukungan masyarakat sivil.

Dalam majalah sama, wartawan veteran Samsuri Roslan memperihalkan malam penangkapan Anwar iaitu bagaimana Anwar ditahan, bagaimana orang ramai marah dan memburu perdana menteri tatkala itu, dan bagaimana Zahid Hamidi ikut memperjuangkan reformasi meskipun kemudiannya kita tahu beliau meninggalkan Anwar untuk mendapat kerusi empuk. Samsuri menulis lanjut:

“Kemudian pada sebelah malamnya, dianggarkan 10,000 orang menuju ke rumah Mahathir di Seri Perdana. Ketika itu, polis mulai bertindak. Dengan menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air untuk menyuraikan tunjuk perasaan. Pada malam itu juga Anwar ditahan di kediamannya. Saya tidak berkesempatan berkunjung Ke rumah Anwar semasa penahanannya itu. Penangkapan Anwar sememangnya sudah diduga.

“Sesetengah masyarakat tidak berpuas hati dan ada bibit-bibit yang mereka mahu menyokong pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang. Pada keesokannya, sebelum pergi ke bangunan Sultan Abdul Samad untuk menyaksikan pendakwaan mahkamah, saya singgah dahulu di sebuah jabatan kerajaan untuk menyelesaikan hal peribadi. Tiba-tiba saya disambut dengan penuh girang oleh seorang pegawai kerana sememangnya mereka mengetahui saya adalah seorang penulis dan bekas wartawan. Pastinya mereka ingin tahu mengenai Anwar. Hampir dua jam kami berbual. Sebaik sahaja masalah selesai saya pun keluar kerana ingin tahu perkembangan Anwar di mahkamah. Sebelum keluar, saya sempat menoleh seketika dan pegawai itu sedang dikerumuni oleh rakan-rakannya yang lain.

“Pada jam 3:00 petang, penyokong dan orang ramai berkumpul semula di sekitar Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Orang terlalu sesak dan saya agak bosan dengan situasi terbabit. Khabarnya, pada 4:45 petang pasukan keselamatan telah melepaskan gas pemedih mata ke arah penyokong Anwar dan orang ramai di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan perkarangan mahkamah. Banyak pihak melihat Anwar kini sebagai pejuang reformasi. Sudah ada penangkapan di bawah ISA termasuk Ketua Pemuda Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Kesemua mereka berjuang habis-habisan untuk menegakkan reformasi.”

Perenggan di atas menjelaskan bibit-bibit permulaan perjuangan rakyat untuk menolak Umno yang hanya menjadi kenyataan pada 2018. Ia juga memberi sedikit petunjuk untuk generasi hari ini memahami mengapa Zahid boleh ikut serta dalam kerajaan perpaduan.

Majalah ‘lejen’ ini turut membawa sama satu wawancara dengan A Samad Ismail, tokoh sasterawan dan juga wartawan. Samad meramalkan kebangkitan Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar Ibrahim, untuk memimpin gerakan rakyat. Dalam satu soalan yang diajukan kepadanya, Samad menyatakan begini:

“Sudah tentu tidak ada halangan untuk isteri Anwar meneruskan perjuangan Anwar. Di Sri Lanka, Perdana menterinya iaitu seorang wanita meneruskan perjuangan mendiang suaminya. Megawati Sukarnoputri di Indonesia meneruskan perjuangan ayahnya iaitu Sukarno. Di Filipina, Presiden Aquino meneruskan perjuangan suaminya menentang Marcos dan mengepalai gerakan ‘People’s Power’ yang berjaya menggulingkan rejim Marcos. Hanya jangan samakan keadaan negara-negara itu dengan keadaan di negara kita.

“Dalam politik, pemimpin tidak turun dari langit. Pemimpin dibentuk oleh perjuangannya. Presiden Aquino mulanya hanya suri rumah sahaja tetapi terseret ke dalam gelombang politik yang sedang bergolak akibat pertentangan rakyat terhadap Marcos. Indira Gandhi pun tidak berminat dalam politik tetapi diangkat menjadi presiden Kongres Kebangsaan India kerana tokoh-tokoh veteran parti itu tidak dapat bermuafakat untuk mencari pemimpin baru mereka. Oleh tokoh-tokoh veteran Kongres, kerana menganggap Indira masih mentah dalam politik, dapat dijadikan alat mereka. Tetapi Indira Gandhi cepat belajar berpolitik dan lama kelamaan lebih pintar dan licin dari tokoh-tokoh veteran Kongres, malah lebih tegas dan berani dari mereka. Tetapi jalan yang perlu ditempuh untuk menjadi pemimpin tidak mudah. Ia banyak bergantung kepada kegigihan seseorang menangani cabaran dan ujian. Biasanya dalam keadaan tertekan dan terdesak, manusia cepat belajar dan mendapat pengalaman.”

Seperti ramalan Pak Samad, Wan Azizah benar-benar muncul sebagai pemimpin di saat rakyat meraba. Memang beliau pincang dan kelihatan longlai di awalnya malah terdapat banyak suara meragukan. Akan tetapi luar biasa sekali, beliau bertahan lebih dua dekad dan kini bekas timbalan perdana menteri, dan isteri perdana menteri ke-10. Bahkan patut ada sebuah filem genre muzikal untuk membabadkan beliau pula.

Saya tidak sabar untuk menonton Anwar. Bagus tidak bagus filem Anwar ini mungkin jatuh kedua untuk seseorang seperti saya yang pernah menempuh era tersebut dan melihatnya dengan mata kepala sendiri. Bagus tidak bagus filem Anwar mungkin jatuh di posisi ketiga, keempat, atau entah berapa tangga di bawah. Ini lantaran saya hanya mahu kembali merasai apa yang pernah ditempuh detik tersebut.

Menonton Anwar adalah menyertai sebahagian dari sejarah. Saya ingin kembali menjadi sejarah itu. Menonton Anwar menjadi bermakna kerana kami, generasi terdahulu, kami semua adalah sejarah. Yang ditiadakan dari media arus perdana seperti TV3, RTM1, atau Utusan Malaysia. Sejarah yang diangkat jujur di penerbitan seperti Tamadun, yang sungguh beruntung; saya salah seorang kolumnisnya.

(Artikel tulisan saudara Faisal Tehrani ini asalnya diterbitkan di Free Malaysia Today dan diterbitkan kembali di Solidaritas dengan izin)

Komen