Masyarakat secara tiba-tiba dikejutkan dengan Akuan Bersumpah (SD) bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri yang tampil dengan dakwaan baru yang cukup mengejutkan dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang berlaku pada 2006. Azilah membuat pengakuan mengejutkan apabila mendakwa Datuk Seri Najib Razak mengarahkannya membunuh wanita Mongolia tersebut. Bekas anggota polis berpangkat Cif Inspektor itu dalam SD bertarikh 17 Oktober lalu juga mendakwa Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri (TPM) turut mengarahkannya melupuskan mayat wanita itu. Kes pembunuhan berprofil tinggi yang pernah menggemparkan seluruh negara ini kembali mencetuskan teka-teki dan sekali lagi terlalu banyak persoalan mula timbul akibat daripada pengakuan terkini dari Azilah. Masyarakat yang hampir sudah melupakan kes ini umpama terjaga dari lena apabila Azilah membuat pengakuan eksklusif seperti ini.
Hakikatnya antara persoalan yang timbul ialah, kenapa baru sekarang Azilah membuat SD seperti ini? Apa motif ianya dibuat sekarang? Adakah ini satu lagi konspirasi politik yang mempunyai agenda tersembunyi seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak? Apapun persoalannya, hanya Azilah yang mampu merungkai segala misteri dan teka teki tersebut. Natijahnya nampak gayanya kes yang dianggap sudah selesai ini perlu dibuka semula dalam naratif baru dengan sudut pandang yang berbeza. Ironinya dari peringkat awal kes ini lagi masyarakat yakin Azilah dan Sirul hanyalah kambing hitam kerana mereka saling tidak mengenali mangsa serta tiada sebab dan keperluan yang mendesak sehingga perlu membunuh dan meletupkannya dengan begitu kejam. Ini adalah fakta yang sangat jelas kerana sepanjang perjalanan kes ini tidak pernah dibuktikan sebarang perkaitan atau perhubungan antara mangsa dan kedua-dua pembunuh yang boleh membawa kepada tindakan mereka membunuh mangsa. Jadi sejak dulu hingga kini semua pihak tertanya-tanya siapa sebenarnya yang mengarahkan kedua-dua anggota polis ini membunuh mangsa dengan begitu kejam sekali. Misteri ini tidak pernah terungkai sehingga sekarang walaupun kedua-dua mereka sudah dijatuhkan hukuman mati.
Walaupun sudah 13 tahun namun belum terlewat untuk kita mencari kebenaran yang tersembunyi selama ini. Najib dalam reaksi awal terhadap SD tersebut secara tegas menafikan tidak terlibat atau tidak memberi arahan seperti yang didakwa oleh Azilah. Malah kali ini Najib turut mengambil satu lagi pendekatan berani apabila dilaporkan bersedia untuk membuat sumpah laknat untuk menafikan dakwaan yang terkandung dalam akuan bersumpah yang dikeluarkan Azilah tersebut.
Malah Najib juga mendakwa ini adalah satu lagi konspirasi politik untuk senyapkan beliau dan lebih menarik lagi ada dakwaan bahawa Azilah pernah dibawa keluar dari penjara Kajang untuk bertemu dengaan VVIP sebelum SD ini keluar. Pihak penjara Kajang pula tampil menafikan sekeras-kerasnnya bahawa Azilah tidak pernah dibawa keluar untuk berjumpa dengan mana-mana VVIP seperti yang didakwa. Jadi perkembangan kes ini semakin menarik untuk kita mengkaji, menilai dan melihat pengakhirannya kelak.
Akibat dari perkembangan terkini ini pelbagai pihak mula menggesa polis membuka semula siasatan kes ini bagi merungkai misteri yang terpendam selama ini. Badan Peguam misalnya menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan teliti terhadap dakwaan Azilah ini sehingga “kebenaran dalam kes itu mesti muncul”.
Justeru demi menegakkan undang-undang atas prinsip rule of law serta demi memastika tiada siapa yang teraniaya dalam kes ini baik kedua-dua pembunuh mahupun Najib sendiri adalah wajar kita mengambil peluang untuk mencari kebenaran dalam kes ini. Biar semua pihak berpuas hati dan dapat mengetahui siapa yang mengarahkan pembunuhan ini dan apa motif utama wanita Mongolia ini dibunuh kejam. Harus diingant kes ini juga menarik perhatian dan minat pelbagai pihak luar terutama ahli keluarga wanita tersebut serta media antarabangsa. Jadi kita perlu buktikan juga kepada semua pihak perjalanan proses undang-undang di negara ini sangat telus dan adil serta sentiasa berpaksikan kebenaran. Ayuh inilah masa untuk kita mencari kebenaran!
Tentang Penulis
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam majalah berkala seperti Dewan Masyarakat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.