Satu Syahadah, Beragam Fahaman: Tanggapan Ringkas Terhadap Syahadah Kedua

Syahadah merupakan perkara yang paling asas di dalam akidah Islam. Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah. Dengan mengucapkan syahadah ini dengan penuh keyakinan, seorang individu menjadi muslim. Saya menggunakan huruf ‘m’ kecil secara sengaja kerana harus membezakan antara keyakinan di hati (huruf ‘m’ kecil) dan menjadi Muslim mengikut identiti sosial (huruf ‘M’ besar). Seorang ‘M’uslim terikat kepada identiti perkauman (communal identity) ataupun identiti politik. Contohnya, seseorang itu menjadi Muslim kerana dilahirkan di dalam keluarga Muslim, ataupun keterpaksaan menjadi Muslim melalui undang-undang (kerana tidak dibenarkan menukar agama ataupun sebagai syarat untuk berkahwin dengan seorang Muslim). Penting diingatkan bahawa istilah مسلم (muslim) berasal daripada kata kerja aslama, yakni “dia yang berserah”. Oleh itu, istilah ini lebih merujuk kepada apa yang kita lakukan sebagai seorang Muslim dan bukan sebagai lencana atau identiti di kad pengenalan. Masalahnya, menjadi muslim kurang diperhatikan berbanding menjadi Muslim. Makanya, ungkapan kita di dalam syahadah merujuk kepada proses kesaksian dan bukannya identiti sosial mahupun politik.

Sepanjang sejarah, kita melihat bagaimana syahadah menjadi dasar renungan mengikut aliran-aliran keislaman yang berbeza-beza. Di Tanah Jawa, contohnya, ada tokoh abad ke-19, Ranggawarsita, yang memahami Tauhid daripada sudut falsafah mistik kejawenan yang bersifat non-dualisme sehingga muncullah syahadah yang menyatukan dan meleburkan diri dengan Tuhan (konsep ḥulūl dan fanā). Ini merupakan tema yang terlihat di dalam falsafah mistik dari tokoh-tokoh seperti Mansur Al-Hallaj (858-922M) dan Syekh Siti Jenar (1404-1517M). Siti Jenar, atau nama sebenarnya, Raden Abdul Jalil, merupakan seorang wali di Tanah Jawa abad ke-15 yang membawa ajaran Manunggaling Kawula Gusti, yakni falsafah mistik non-dualisme yang berangkat dari syahadah akan Tuhan yang Tunggal dan Esa.

Pemahaman syahadah sebegini dapat pula dibandingkan dengan pendekatan puritan yang dipegang oleh tokoh dari Najd pada abad ke-18, Muhammad ibn ‘Abd al-Wahhab (1703-1792) yang cenderung radikal di dalam menanggapi aspek Tauhid di dalam syahadah sehingga membangkitkan semangat membanteras apa jua yang dianggap syirik walaupun tidak dianggap sedemikian oleh ulama-ulama muktabar dari Islam arus perdana pada waktu itu. Pemahaman puritan dan radikal terhadap kesaksian “Tiada tuhan melainkan Allah” ini juga pernah diangkat oleh Dinasti al-Muwahiddun yang berbangsa Berber di wilayah Maghribi (Afrika Utara) pada abad ke-12. Pengasasnya, Ibn Tumart (1080-1130), menolak adanya sifat-sifat Tuhan yang difahami secara antropomorfik (seperti Tuhan mendengar dan melihat, dan sifat-sifat ini azali). Pemahaman begini, yang diangkat oleh dinasti sebelumnya, al-Murabithun, dianggap oleh Ibn Tumart sebagai menduakan Tuhan yang Satu. Oleh itu, ke-Esaan Tuhan dianggap mutlak tanpa nuansa oleh Ibn Tumart dan khilafah yang diasaskannya.

Hari ini, syahadah pertama (“tiada tuhan melainkan Allah”), masih terus-menerus dikupas oleh para pemikir daripada pelbagai aliran. Ismail Raji al-Faruqi (1921-1986), sebagai contoh, menulis Tawhid: Its Implications for Life and Thought (1982) yang mengangkat konsep monoteisme sebagai prinsip asas di dalam pengalaman beragama di dalam Islam. Begitu juga Fazlur Rahman (1919-1988), di dalam bukunya Major Themes of the Qur’an (1999) yang menekankan Tauhid sebagai konsep penting yang membawa kepada pembentukan sebuah susunan masyarakat yang adil dan beretika. Pandangan ini kemudiannya dikembangkan di dalam wacana gender seperti yang dikupas oleh Amina Wadud di dalam bukunya, Qur’an and Women (1999). Beliau menggunakan bingkai Tauhid untuk membantah dominasi dan hierarki kaum lelaki ke atas wanita kerana Al-Qur’an itu sendiri mengangkat nilai kesetaraan gender dan kedua-dua gender ini bertakwa kepada Tuhan secara saksama. Menurut beliau, ketakwaan seorang wanita terhadap Tuhan tidak perlu melewati ketaatannya kepada kaum lelaki.

Pada masa kini, kita digusarkan pula dengan penyelewengan terhadap konsep Tauhid seperti yang terlihat di dalam gerakan-gerakan ekstrimis yang ganas. Atas nama Tuhan yang Maha Esa serta teriakan Allahu akbar (“Allah maha besar”), golongan ekstrimis ini merosakkan harta benda dan mengambil nyawa sesuka hati. Mereka lupa bahawa Tauhid membawa erti yang kita selaku manusia tidak berhak merampas hak Tuhan (seperti mengambil nyawa dan menghukum insan yang lain sesuka hati) dan penghujung kepada kemusliman kita ialah ketenangan jiwa dan kedamaian. Akar dari perkataan Islam itu sendiri ialah سلام, yakni damai dan tenang. Jadi, kita akur akan potensi Tauhid untuk membina peradaban yang berpaksikan kedamaian dan kemaslahatan bersama (jika difahami dengan baik dan tepat) atau merosakkan peradaban (jika diselewengkan dan disalahtafsir). Inilah fungsi ganda di dalam fahaman monoteisme yang dikupas oleh Rachel S. Mikva di dalam buku Dangerous Religious Ideas (2020). Bagi beliau, hanya sikap kritislah yang telah dan dapat mengekang agama daripada menjadi kuasa yang merosak sepenuhnya sepanjang sejarah.

Di sinilah saya melihat kontribusi penting Syazreen Mohd di dalam membangun refleksi yang kritis lagi kreatif di dalam bukunya, Syahadah Kedua. Bagi beliau, penting untuk kita membentuk seorang muslim (huruf ‘m’ kecil) yang benar-benar yakin dan berserah kepada Tuhan yang Maha Esa. Ini dapat dilakukan dengan memfokuskan kepada frasa kedua syahadah (“dan Muhammad pesuruh Allah”). Dengan memahami dengan teliti akan risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., kita dapat berTauhid dengan lurus dan berhikmah. Syazreen akur akan bahaya fahaman monoteisme yang bersifat puritan, seperti yang dinyatakan di atas. Malah, Rodney Stark, seorang ahli sosiologi terkemuka, pernah membahaskan aspek yang sama mengenai konsep monoteisme di dalam bukunya, One True God: The Historical Consequences of Monotheism (2003). Stark membahaskan bagaimana konsep monoteisme mempunyai dua kekuatan: meyatukan kelompok dan memisahkan manusia. Aspek kedua inilah yang membimbangkan. Atas nama Tuhan yang Satu, manusia sering melihat Tauhid sebagai alasan membawa seluruh manusia tunduk di bawah satu keyakinan, satu kekuasaan dan satu corak pandang. Inilah yang membuat agama-agama monoteisme lebih bersemangat menyebarkan agama masing-masing berbanding agama-agama bukan monoteis. Malangnya, sejarah juga menunjukkan bagaimana pemahaman terhadap monoteisme ini kerapkali berakhir dengan keganasan dan militansi. Walaupun Stark memfokuskan analisanya terhadap sejarah monoteisme di dunia Barat, khususnya agama Kristian, pengalaman Islam sepanjang sejarah mempunyai kesamaan di dalam beberapa hal.

Jadi, Syazreen membawa solusi pandangan yang menurut saya, amat kreatif: syahadah terhadap keTuhanan yang Maha Esa itu tidak seharusnya mengabaikan aspek kedua, yakni syahadah terhadap risalah Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. Aspek inilah yang ingin diketengahkan melalui buku Syahadah Kedua. Menurutnya, ungkapan kedua di dalam syahadah Islam (“dan Muhammad pesuruh Allah”) adalah tajalli atau manifestasi akan hakikat keTuhanan yang Esa. Oleh itu, kita seharusnya mengambil pelajaran daripada cara Rasulullah s.a.w. beriman kepada Tauhid. Sekiranya Rasulullah s.a.w. dikirim sebagai rahmatan lil alamin (Q.21:107), maka umat Islam haruslah mencontohinya. KeTauhidan beliau tidak memaksa, dan tidak pula melalui kekuasaan dan kekerasan. “Dan sekiranya kamu [Muhammad] bersikap kasar lagi keras hati,” jelas Al-Qur’an (3:159), “tentulah mereka lari dari kelilingmu.” Sisi-sisi ramah dan penuh rahmah inilah yang dikembangkan melalui buku Syahadah Kedua.

 Pembaca boleh memahami mengapa Syazreen mengusulkan bingkai pemahaman yang, menurut saya, sangat kreatif dan berpotensi, yakni bersyahadah kepada “Muhammad pesuruh Allah” sebelum “Tiada tuhan melainkan Allah”. Dengan demikian, Tauhid tidak difahami secara puritanikal sehingga menafikan kemajmukan yang ada dan mematikan nilai-nilai yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti sikap toleransi, kedamaian, keadilan, kesaksamaan dan berlumba-lumba di dalam kebaikan. Tauhid sejati membina peradaban bersama, bukan meruntuhkan perbezaan sehingga ingin mewujudkan satu agama yang mendominasi dunia. Ada sebabnya mengapa Tuhan menciptakan perbezaan, termasuk kepelbagaian agama dan kelompok. Tugas kita ialah menjalin persefahaman dan bekerja untuk kebajikan bersama. Inilah syahadah kita terhadap risalah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan berlandaskan pemahaman yang Tuhan itu Satu tetapi ciptaan Tuhan itu beragam. Sudah tentunya, Tauhid tidak berseberangan dengan adanya kemajmukan di dalam dunia. Seperti ungkapan Khaled Abou El Fadl: “At various stages and contexts in Islamic history, the doctrine of shahadah provided the dynamic impetus that led Muslims to explore and integrate traditions and cultures as diverse as the Greek, Persian, Roman, Indian, Chinese, Berber, Kazak, Kurdish, Turkic, Habashi or Ethiopian, Tajik, Uzbek, Malay, Javanese, and many more.” (Reasoning with God, 2014)

Jadi, apakah kita mahu mendominasi dan melenyapkan perbezaan ini? Atau Tauhid mengajar kita untuk saling belajar dan berlapang dada, serta mencari titik pertemuan untuk mengintegrasi apa yang baik dari pelbagai sumber peradaban dan keyakinan yang ada di dalam dunia? Sekiranya kita merenung kembali kepada syahadah kedua, pasti jelas jawapannya. Tauhid kita adalah melalui contoh Rasulullah s.a.w. Makanya, Aku bersaksi: Muhammad pesuruh Allah; Tiada tuhan melainkan Allah.

Mohamed Imran Mohamed Taib adalah pengasas Pusat Pemahaman Silang Agama di Singapura; editor bersama Budi Kritik (2019), sebuah kompilasi esei mengenai isu-isu yang menyentuh masyarakat Melayu kontemporari; dan anggota kumpulan diskusi, The Reading Group.

Komen